Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:00am
‘Dashcam’ boleh menjadi bukti terhadap apa yang berlaku di jalan raya. - Foto hiasan

'Dashcam' kekang samseng jalan

SAMSENG jalan raya ada di mana-mana dan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa. Bagi segelintir pemandu kenderaan, bila-bila masa saja ada yang boleh bertukar watak menjadi baran dan ‘ganas’ apatah lagi jika wujud unsur provokasi.

Ini realiti hari ini. Sikap baran pengguna jalan raya ini boleh menyebabkan kemalangan dan akhirnya, ramai turut menjadi mangsa. Malah, ada kes kenderaan dirosakkan dan lebih teruk lagi mencetuskan pergaduhan dalam kalangan pengguna jalan raya sehingga membawa kecederaan dan kematian.

Apabila berlaku kemalangan dan pergaduhan, mereka saling menuding jari dan mempertahankan diri masing-masing.

Pemandu yang tidak bersalah sekalipun sukar untuk membuktikan berada di pihak benar dan bukan dirinya yang menjadi punca masalah itu.

Lebih teruk kalau pada akhirnya nanti, mereka yang tidak bersalah terpaksa menanggung segala-galanya - sudahlah sakit, duit pun habis dan silap langkah, nyawa boleh melayang.

Tragedi menimpa pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang maut selepas berlaku perselisihan faham berpunca daripada kemalangan kecil di Kilometer 239, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran persimpangan Southville City di Bangi, Sabtu lalu, contoh jelas untuk menunjukkan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa.

Dalam kes ini, kita belum tahu siapa yang bersalah sama ada lelaki yang kini direman polis atau mangsa sendiri kerana siasatan sedang dilakukan. Apa yang pasti kejadian itu menunjukkan wujud elemen samseng jalan raya dengan pihak yang terbabit mengambil tindakan mengikut emosi.

Kalau tabiat buruk pemandu seperti itu tidak diperbetulkan dan diberikan pengajaran menerusi hukuman sewajarnya, sampai bila-bila pun mereka yang tidak bersalah akan terus menjadi mangsa dan samseng jalan raya pula bebas tanpa sebarang tindakan.

Seiring perkembangan teknologi, hari ini sudah ada alat yang boleh berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ dan seterusnya menjadi bahan bukti terhadap apa juga yang berlaku termasuk ketika di jalan raya.

Fungsi ini boleh dilaksanakan dashboard camera atau dashcam iaitu kamera yang dipasang pada papan pemuka bagi tujuan merakam video pergerakan kenderaan.

Kamera ini yang turut dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) membolehkan peralatan itu merekod automatik lokasi dan kelajuan kenderaan ketika rakaman video dilakukan.

Hari ini, warga maya disajikan dengan bermacam-macam video hasil rakaman peralatan itu yang dimuat naik di media sosial, termasuk berkaitan samseng jalan raya.

Daripada rakaman itu, pastinya ramai geram apabila melihat aksi pembuli jalan raya.

Mungkin ramai masih ingat satu rakaman video mengenai cermin depan sebuah kereta dipecahkan penunggang motosikal menggunakan topi keledar semata-mata kerana pemandunya membunyikan hon di Seri Kembangan, di ibu negara pada Mei lalu.

Dengan bukti rakaman pada kereta mangsa, dalam tempoh empat hari sahaja lelaki terbabit ditahan dan diheret ke muka pengadilan sebelum dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Ini hanya satu daripada pelbagai kes yang berjaya diselesaikan dengan cepat oleh polis dan salah satu sebabnya, sudah tentu dengan bantuan bahan bukti hasil rakaman itu.

Ketika ini, sudah ramai pemilik kenderaan memasang dashcam walaupun undang-undang tidak mewajibkannya. Buktinya pelbagai rakaman dimuat naik di media sosial, sekali gus membantu pihak berkuasa menyelesaikan banyak kes termasuk kes jenayah.

Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan keperluan memasang peralatan itu ke atas semua kenderaan, sama ada persendirian atau pengangkutan awam.

Walaupun sebelum ini Kementerian Pengangkutan memaklumkan belum ada cadangan mewajibkan pemasangan dashcam, kini keperluan itu perlu dipertimbangkan secara serius.

Dashcam kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi pemilik kenderaan.

Sebagai permulaan, kerajaan boleh mewajibkan pemasangan peralatan itu bagi kenderaan baharu dan pada masa sama menggalakkan pemilik kenderaan sedia ada memasangnya secara sukarela.

Ini boleh dilakukan dengan mewajibkan semua syarikat pengeluar dan pengimport kenderaan memasangnya sebelum kenderaan dijual.

Mungkin juga dashcam boleh disyaratkan sebagai aksesori wajib setiap kenderaan baharu, tambahan lagi kos peralatan itu tidaklah mahal. Soal kos tidak sepatutnya menjadi isu apabila ia membabitkan aspek keselamatan.

Kita percaya pemilik kenderaan tidak keberatan memasangnya kerana rata-rata menyedari keperluan dan kepentingan peralatan ini.

Pemilik kenderaan sudah tentu tidak mahu menjadi mangsa samseng jalan raya dan mereka juga tidak akan menjadi pembuli kerana dashcam akan bertindak menjadi ‘senjata makan tuan’.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian.

Berita Harian X