Selasa, 13 Ogos 2019 | 11:01am

Hormat jati diri watan Tanah Melayu

BANGSA dari sudut undang-undang antarabangsa hari ini merujuk rakyat sesebuah negara yang diidentitikan dalam kerangka takrifan negara atau state-defined.

Di alam Melayu, istilah rakyat Raja lebih luas penggunaannya dan dari sudut sosiologi merujuk salah satu elemen Melayu.

Rakyat Raja Melayu beragama Islam akhirnya dikenali sebagai orang Melayu dan kekal sehingga kini dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekutuan 1957, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 mentakrifkan orang Melayu dan Orang Asli sebagai penduduk asal Tanah Melayu.

Dalam konteks takrifan bangsa pula, rakyat Raja Melayu ialah bangsa Melayu dan sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, hanya orang Melayu dikenali bangsa Melayu.

Ini kerana Orang Asli walaupun rakyat Raja Melayu, umumnya ingin mengekalkan etnik sebagai identiti kumpulan masing-masing.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu menunjukkan perkembangan negara-bangsa apabila kaum pendatang diterima sebagai warganegara.

Bagaimanapun kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asli sebagai bangsa asal dipelihara, malah terus dijamin dalam Perkara 153 dan 8(5) Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, bangsa Melayu pra 1948 dengan pasca 1948 perlu difahami dengan jelas.

Satu perkara tidak boleh diabaikan ialah taat setia setiap warganegara kepada elemen watan Tanah Melayu sebagai kewajipan kewarganegaraan.

Ia meliputi kedudukan Islam sebagai agama Tanah Melayu, institusi Raja Melayu, bahasa Melayu termasuklah tulisan Jawi, adat resam Melayu, serta kedudukan orang Melayu dan Orang Asli sebagai bangsa asal.

Kedudukan elemen watan tidak patut dipertikai kerana itulah syarat perlu dipenuhi sebelum seseorang itu diterima sebagai warganegara.

Dari sudut ini, penerimaan kaum pendatang atau bangsa asing sebagai bangsa Melayu (warganegara Persekutuan Tanah Melayu) perlu disertai kefahaman bahawa mereka hendaklah mentaati prinsip Keluhuran Perlembagaan. Ini termasuk mengasimilasi atau sekurang-kurangnya mengakomodasi jati diri watan Tanah Melayu.

Seorang warganegara Persekutuan Tanah Melayu tidak mungkin boleh mengekalkan ke’bangsa'an lain, sama ada China, India, Arab atau Eropah, namun pengenalan etnik boleh dikekalkan.

Sejarah membuktikan rakyat Raja Melayu semasa Kesultanan Melayu Melaka hidup harmoni pada zaman keagungannya, di samping bangsa lain yang berdagang mahupun mendiami Tanah Melayu.

Keharmonian sama dirasakan dalam masyarakat majoriti Melayu di mana-mana bahagian Tanah Melayu, begitu juga selepas Malaysia terbentuk.

Keadaan itu menunjukkan betapa elemen watan sekiranya dipelihara dan diamalkan dapat memupuk perpaduan nasional.

Ringkasnya, warganegara Persekutuan Tanah Melayu ialah bangsa Melayu yang terdiri pelbagai kumpulan etnik, anutan agama dan pendokong jati diri Tanah Melayu.

Ia tidak bersifat paksaan kepada penganutan agama Islam, sebaliknya jati diri watan Tanah Melayu prasyarat seorang warganegara, malah sehingga kini masih terpelihara dan menjadi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Prinsip Keluhuran Perlembagaan meletakkan jati diri watan Tanah Melayu di tempat tinggi dan tidak boleh dilihat sebagai diskriminasi kepada mana-mana pihak.

Bukan rakyat Raja Melayu ketika diterima sebagai warganegara Tanah Melayu, jati diri watan Tanah Melayu sudah sedia ada malah menjadi prasyarat ketaatan mereka.

Setiap warganegara mesti menghormati prinsip Keluhuran Perlembagaan, kerana di situ letaknya kedaulatan undang-undang.

Oleh itu, jati diri watan Tanah Melayu tidak boleh dicabar mahupun cuba digugat mana-mana pihak.

Demi menjaga keutuhan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang, maka setiap Menteri, Hakim, Ahli Parlimen dan pegawai yang dinyatakan undang-undang diwajibkan mengikrarkan sumpah jawatan seperti Jadual 6 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka bertanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan jati diri watan Tanah Melayu jelas lebih kukuh kerana ia termasuk dalam jaminan Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan yang tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Persekutuan Malaysia, jaminan kedudukan istimewa turut dinikmati mereka.

Begitu juga apabila berlaku perkahwinan antara orang Melayu dengan kaum bukan Melayu, zuriat mereka menjadi orang Melayu. Ini menunjukkan asimilasi boleh berlaku secara perkahwinan selama mana seseorang itu mengekalkan syarat di bawah takrifan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, mana-mana warganegara yang tidak boleh menghormati watan Tanah Melayu juga kedudukan istimewa anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak, serta ingkar untuk menghargainya patut berasa malu untuk mengaku sebagai bangsa Malaysia.

Penulis adalah Pemegang PhD (Konsep Kedaulatan Raja-Raja Melayu) dan Penasihat Gabungan MI’RAJ.

Berita Harian X