Khamis, 15 Ogos 2019 | 11:00am
TENTERA India mengawal di sempadan India-Pakistan di Akhnoor, dekat Jammu. - Foto AFP

Nasib Kashmir ulang cerita derita Palestin

APABILA Palestin menghadapi kelahiran negara haram Israel pada 1948, Kashmir pula menerima ketibaan tentera India setahun sebelum itu. Kedua-duanya mempunyai pengalaman pembabitan kuasa imperialis British.

Palestin mengalami malapetaka dipanggil Nakbah. Antara 1947 dan 1949, sekurang-kurangnya 750,000 daripada 1.9 juta penduduknya dijadikan pelarian di luar sempadan negara.

Tentera Zionis mengambil lebih 78 peratus kawasan Palestin melalui penghapusan etnik dan kemusnahan kira-kira 530 kampung dan bandar. Kira-kira 15,000 rakyat Palestin terbunuh dalam satu siri kekejaman besar-besaran, termasuk lebih 70 pembunuhan beramai-ramai.

Dalam tujuh dekad, lebih enam juta warga Palestin menjadi pelarian.

Kashmir pula menamakan peristiwa malapetakanya sebagai Hari Hitam. Pada 26 Oktober 1947, India ‘secara paksa’ merampas Kashmir. Selama 71 tahun hingga hari ini, India tanpa sebarang kelulusan perlembagaan dan asas moral secara paksa mengambil alih Jammu dan Kashmir.

Sepanjang 30 tahun terakhir di bawah India, seramai 94,479 warga Kashmir dibunuh tentera dan 10,125 lagi hilang nyawa di tangan orang India. Sejumlah 10,283 kejadian rogol beramai-ramai oleh warga India di Kashmir direkodkan. Dari segi kemusnahan, 20,005 wanita menjadi janda, 106,071 bangunan dimusnahkan dan 20,080 kanak-kanak menjadi yatim.

Kedua-dua rakyat Palestin dan Kashmir mengalami penderitaan skala berat. Pelanggaran hak asasi manusia, genosid dan penghapusan etnik serta pemusnahan harta benda dan mata pencarian.

Kedua-duanya menghadapi jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, selain terdedah pelanggaran hak asasi manusia, penangkapan sewenang-wenangnya, penahanan tanpa pertuduhan, pembunuhan tanpa pengadilan dan penyeksaan dalam tahanan.

Keadilan untuk Palestin dan Kashmir juga dinafikan apabila semua resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap pelaku, tergantung tanpa penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.

Sekarang Palestin ditinggalkan hanya sebahagian kecil tanah asal mereka, iaitu Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Warga Kashmir pula terperangkap dalam wilayah diduduki tentera India yang memberi kebebasan minimum untuk bergerak.

Terbaru pembatalan Artikel 370 dalam Perlembagaan India, yang memansuhkan hak istimewa Kashmir. Ia sama dengan undang-undang Israel yang disahkan pada 2018, untuk menetapkan Israel sebagai negara Yahudi.

Undang-undang itu menafikan rakyat Palestin Arab sebagai orang asal di bumi Palestin dan menegakkan ketuanan Yahudi serta dasar aparteid kerajaan terbabit.

Mencabut Perkara 370 daripada Perlembagaan India adalah untuk menguatkan ketuanan nasionalis Hindu terhadap majoriti Muslim di Kashmir.

Kini warga Kashmir akan menghadapi prospek menjadi pendatang di tanah asal mereka sendiri apabila India mendefinisikan kewarganegaraan negara itu hanya sah jika selaras dengan nasionalisme Hindu.

Kashmir akan mengalami kematian etnik dan agama secara perlahan oleh rejim India, sama seperti kematian rakyat Palestin oleh rejim Israel Zionis dalam tempoh tujuh dekad.

Pasukan keselamatan India sekarang sewenangnya menimbulkan ketakutan kepada setiap warga Kashmir melalui serangan disasar kepada setiap rumah, atas alasan tuduhan terbabit keganasan.

Tentera India dilihat menyerang rumah warga Kashmir dengan melemparkan batu ke tingkap rumah yang penduduknya terpaksa menjaga diri dengan selamat dalam rumah, kerana perintah berkurung 24 jam yang dikenakan di semua wilayah Jammu Kashmir.

Hanya menunggu masa apabila pembunuhan beramai-ramai akan dilancarkan tentera India.

Kashmir sebenarnya mengalami nasib lebih teruk daripada Palestin. Gaza, sekurang-kurangnya boleh menentang di wilayah terkepung. Bagaimanapun, warga Kashmir dikuasai dari dalam yang kini menjadi zon militari tertinggi dunia.

Sekarang dianggarkan seorang tentera lengkap bersenjata menjaga tujuh warga Kashmir, menyebabkan tidak ada ruang untuk mereka bergerak.

Dunia sekarang menyaksikan pengulangan Nakbah dilancarkan di lebih banyak wilayah, bahkan lebih kejam dan ganas jika seseorang mengambil kira senjata pembunuh moden di tangan jeneral tentera yang bersedia menggunakannya untuk disasarkan bagi membunuh warga awam.

Keputusan kini di tangan agensi antarabangsa. PBB harus bertanggungjawab kepada dunia atas kegagalannya menyelesaikan konflik. Melalui mandatnya, agensi diberi kuasa, Majlis Keselamatan PBB tidak berfungsi untuk tujuan sepatutnya iaitu menjaga keamanan dunia.

Sebaliknya ia menjadi platform negara kuasa besar yang menggadai berjuta-juta nyawa manusia dengan kuasa veto oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Kenyataan Setiausaha Agung PBB, Anthony Guteres, yang lemah dengan hanya mengungkap keprihatinan, tidak memadai. Tindakan konkrit diperlukan.

Malang, selepas lebih seminggu berlalu sesudah India mengisytihar pemansuhan Perkara 370 itu, tercetusnya pertumpahan darah yang berkemungkinan besar akan terus berlaku, akan tetapi PBB sehingga hari ini masih tidak bertindak.

946 dibaca
Berita Harian X