Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:00am

Contohi JPJ, gilir pegawai bertugas

Seeloknya setiap jabatan, terutama mereka di bahagian penguat kuasa digilirkan bertugas sekurang-kurangnya setiap dua atau tiga tahun seperti dilakukan untuk pegawai dan kakitangan bahagian kritikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi mengelak terdedah kepada rasuah.

Selain JPJ, perkara ini boleh dilakukan untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Tanah dan Galian serta beberapa lagi jabatan, terutama yang terdedah kepada urusan dengan orang ramai.

Mungkin ada yang kata pertukaran itu membabitkan kos untuk kerajaan, tetapi jika dilihat dengan mendalam, ia sebenarnya membantu kerajaan. Bayangkan berapa banyak cukai yang sepatutnya masuk perbendaharaan kerajaan, tetapi masuk ke poket pegawai kerana rasuah.

Sebab itu, jika pegawai atau kakitangan sesuatu jabatan sudah terlalu lama bertugas di sesuatu tempat, mereka mudah terdedah kepada rasuah sebab sudah dikenali apatah lagi jika kerap pergi minum bersama dengan tauke sesuatu perusahaan di situ.

Mansuh AP, buat pasaran terbuka

Kita mengalu-alukan syor supaya kerajaan membuat keputusan drastik memansuhkan permit kelulusan (AP) bagi mengimport pelbagai barang yang dikesan terus disalah guna pihak tertentu dengan menyewakan dan menjualnya untuk mengaut keuntungan mudah.

Kita lihat sistem AP ini bukan untuk melindungi pengguna, tetapi perniagaan tertentu yang tidak mahu berdepan dengan persaingan. Akibatnya, harga barang tertentu dimanipulasi mereka supaya dapat keuntungan tinggi. Malah harga barang menjadi mahal, sekali gus memberi kesan kepada rakyat.

Kerajaan harus semak kembali keperluan AP dengan matlamat melindungi pengguna daripada manipulasi dan bukan semata-mata melihat kepentingan peniaga. Bayangkan, pengguna terpaksa membayar harga mahal mendapatkan barang keperluan seperti ayam, daging, gula, beras dan tepung kerana kosnya dinaikkan peniaga atau pemborong yang menanggung kos tambahan, iaitu untuk menyewa atau membeli AP.

Oleh itu, kerajaan perlu memperkenalkan alternatif lain, dengan tidak lagi mengeluarkan AP dan membiarkannya dalam pasaran terbuka iaitu sesiapa sahaja boleh membawa masuk barangan dengan syarat ia berkemampuan.

Berita Harian X