Selasa, 20 Ogos 2019 | 11:01am
Penunjuk perasaan terus berkumpul dan berarak di Jalan Gloucester, Hong Kong, China kelmarin. - Foto EPA

Jangan biar sinar Mutiara Timur pudar

BAGI kebanyakan rakyat Tanah Besar China, Hong Kong sinonim dengan keterbukaan dan kemakmuran. Bandar raya itu dikenali dengan nama popularnya ‘Mutiara Timur’ kerana bagaikan sebiji mutiara bersinar di timur muara Sungai Zhujiang.

Tidak lama selepas pembukaan jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macau, saya melawat ke Hong Kong atas jemputan kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) itu. Dalam lawatan berkenaan, saya kagum melihat keterbukaan, toleransi dan keteraturan hab kewangan antarabangsa itu.

Kurang setahun selepas lawatan saya, Hong Kong sekali lagi mendapat perhatian dunia dan menjadi berita hangat, susulan beberapa demonstrasi dan insiden kekerasan yang berlaku di situ. Sakitnya hati saya ketika melihat kilauan Mutiara Timur itu menjadi pudar.

Beberapa bulan lalu, kerajaan SAR mendorong penyemakan Rang Undang-Undang (RUU) Pesalah Pelarian dan Bantuan Perundangan Bersama dalam Perkara Undang-Undang Jenayah, demi memudahkan kerjasama kehakiman antara Hong Kong, Tanah Besar dan Taiwan China yang tidak terikat dengan perjanjian ekstradisi rasmi, sekali gus mengatasi kekurangan dalam sistem undang-undang.

Namun, langkah yang munasabah itu sengaja diheboh-hebohkan oleh sesetengah pihak untuk agenda politik dengan mengadakan demonstrasi berskala besar di bawah panji-panji yang menunjukkan ‘Tiada Ekstradisi ke China’.

Walaupun pihak berkuasa Hong Kong memutuskan penangguhan pindaan RUU berkenaan pada Jun lalu, tetapi demonstrasi yang berterusan bertukar ganas. Ini mendedahkan niat sebenar mereka untuk mengganggu kestabilan Hong Kong dan mengejar apa yang dipanggil sebagai ‘kemerdekaan Hong Kong’.

Perusuh menyerbu Kompleks Majlis Perundangan, menyerang anggota polis serta orang awam yang enggan menerima risalah mereka, mengepung Pejabat Perhubungan Kerajaan Pusat China di Hong Kong, mencemari lambang negara China, menghasilkan dan menyimpan bahan letupan, menghalang operasi lapangan terbang, bahkan membelasah dan memenjarakan dua orang penduduk dari Tanah Besar China secara haram.

Perbuatan ganas yang didalangi itu jauh melampaui sempadan kebebasan bersuara dan demonstrasi aman, malah melanggar nilai demokrasi dan mencemari masyarakat bertamadun. Semua tindakan gila itu menyeret Hong Kong ke dalam keadaan yang berbahaya. Ini juga menyakitkan hati mereka yang benar-benar mencintai Hong Kong.

Adalah amat menyedihkan apabila kami mendapati kesan negatif terhadap ekonomi Hong Kong dan kehidupan rakyatnya ekoran tindakan kekerasan makin menonjol. Pengangkutan awam dan operasi lapangan terbang antarabangsa mengalami gangguan serius susulan pemogokan dan demonstrasi berskala besar. Dilaporkan pada Ogos 5 lalu, lebih 200 penerbangan dibatalkan dan beberapa laluan MRT terpaksa ditutup.

Selain itu, sektor katering dan sektor jualan runcit di Hong Kong menjunam lebih daripada 10 peratus Jun lalu, manakala Indeks Keyakinan Pengguna (CCI) jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Sebelas negara dan kawasan mengeluarkan amaran perjalanan terhadap pelawat yang ingin memasuki Hong Kong dan menasihati mereka supaya berhati-hati. Imej Hong Kong di persada antarabangsa terjejas. Baru-baru ini, wujud hasutan yang mengapi-apikan orang ramai supaya mengeluarkan wang dari bank.

Sebagai hab kewangan antarabangsa dan bandar pelancongan, kestabilan adalah jaminan kepada persekitaran perniagaan yang baik di Hong Kong. Kerugian di pelbagai sektor akibat keadaan huru-hara pada akhirnya akan ditanggung oleh semua rakyat Hong Kong. Tiada sesiapa pun akan mendapat manfaat jika pergolakan di Hong Kong diteruskan.

Perbuatan yang amat memanaskan hati adalah reaksioner Hong Kong bersekongkol dengan pihak luar untuk mencetuskan provokasi dan kekacauan. Dengan pembiayaan dan sokongan pihak luar, Barisan Hak Asasi Manusia Sivil dan pemisah lain memperdayakan golongan muda Hong Kong dengan janji palsu ‘demokrasi dan kebebasan’ supaya melakukan demonstrasi di jalanan, malah mengumpan ekstremis dengan wang untuk melakukan tindakan keganasan.

Golongan reaksioner menghasut perusuh untuk memusnahkan kemudahan awam, mengganggu aliran trafik, menyerang anggota polis dan agensi perundangan, memfitnah dasar ‘Satu Negara Dua Sistem’, dan memburukkan lagi situasi di Hong Kong.

Mereka sengaja memutarbelitkan fakta, menyamarkan jenayah kekerasan sebagai perjuangan atas hak asasi manusia dan kebebasan, mengotorkan imej polis yang melakukan penguatkuasaan di sisi undang-undang demi tatatertib masyarakat sebagai penindas, dan menghasut orang awam supaya menentang kerajaan SAR dan kerajaan pusat China.

Perjuangan mereka bukanlah untuk demokrasi, kebebasan, keadilan ataupun kesaksamaan, sebaliknya untuk menggulingkan kerajaan SAR dan memusnahkan dasar ‘Satu Negara Dua Sistem’, hingga mengekang pembangunan China.

Kita mendapati ramai wajah orang asing ‘terkenal’ yang muncul dalam demonstrasi, dan bendera negara asing berkibar di tengah-tengah perusuh, malah ketua kumpulan pemisah Hong Kong ditemui pegawai peringkat tinggi dari Konsulat Jeneral asing. Semakin banyak bukti yang menunjukkan campur tangan kuasa luar dalam urusan Hong Kong.

Sejak dipulangkan Hong Kong ke pangkuan tanah air pada 22 tahun lalu, dasar seperti ‘Satu Negara Dua Sistem’ dan ‘Warga Hong Kong mentadbir Hong Kong’ dilaksanakan serta tahap autonomi yang tinggi terjamin dalam kerajaan SAR. Hong Kong sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang dan saudara setanah air di sana menikmati hak-hak demokratik dan kebebasan yang tidak pernah diberikan sebelum ini.

Kerajaan pusat China dan pihak berkuasa Hong Kong sentiasa berusaha membina sistem demokrasi yang sesuai dengan keadaan sebenar di Hong Kong secara beransur-ansur dan teratur demi mewujudkan kemakmuran dan kestabilan Hong Kong buat jangka masa panjang.

Beijing beberapa kali mengulangi pendirian supaya menyokong teguh kepemimpinan Ketua Eksekutif Carrie Lam mentadbir urus Hong Kong mengikut undang-undang, menyuarakan sokongan kuat terhadap pihak polis dalam penguatkuasaan undang-undang, mendukung langkah jabatan kerajaan SAR dan badan kehakiman mengenakan hukuman terhadap penjenayah ganas mengikut undang-undang, serta menyanjung tinggi usaha tokoh patriotik dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang di Hong Kong.

Kerajaan China tidak akan membenarkan sebarang campur tangan pihak luar dalam urusan Hong Kong, tidak akan mengizinkan mereka mencetus kekacauan di Hong Kong, malah tidak akan membiarkan ‘revolusi warna’ berlaku di China.

Hubungan erat dalam politik, ekonomi, geografi dan budaya, ikatan Tanah Besar dan Hong Kong seperti isi dengan kuku yang tidak boleh dipisahkan. Kalau sesebuah negara tiada gaya, rakyatnya pasti takkan jadi kaya. Kekuatan China adalah asas kesejahteraan dan kestabilan Hong Kong.

Pada hakikatnya, Hong Kong menghadapi beberapa isu rumit, misalnya tanah, perumahan dan prospek pemuda. Ini berpunca daripada isu-isu sejarah yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris dan juga masalah sosial yang agak rumit. Bagaimanapun, isu seperti itu boleh diselesaikan melalui pembangunan dan kemakmuran Hong Kong dan Tanah Besar China.

Masyarakat setempat Hong Kong mempunyai pelbagai suara dan tuntutan. Antaranya yang kedengaran paling kuat adalah untuk meredakan huru-hara secepat mungkin. Ini adalah permintaan kebanyakan rakyat Hong Kong termasuk ‘majoriti senyap’.

Semakin ramai warga Hong Kong bersuara menentang tindakan keganasan. Suara yang kedengaran makin lantang itu adalah senjata yang paling berkesan untuk menghapuskan keganasan dan melindungi kedaulatan undang-undang.

Pada masa ini, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Kawasan Teluk Besar (GBA) Guangdong-Hong Kong-Macau menyediakan ruang lebih luas dan peluang lebih banyak kepada pembangunan Hong Kong. Bagi warga Hong Kong yang lebih penting adalah menjauhkan diri daripada pertikaian politik serta berusaha untuk mengejar pembangunan dan memelihara kampung halaman.

Hanya di bawah cahaya kedamaian dan kestabilan, Mutiara Timur ini baru dapat berkilau-kilauan.

Seperti sebuah lagu kegemaran warga Hong Kong sebagai berkata: “Kita harus mengetepikan perbezaan dan konflik antara satu sama lain. Kita harus bersatu padu dan berusaha untuk mencipta sejarah cemerlang kita”.

Saya percaya Hong Kong yang dilanda badai akan kekal bersatu, stabil dan teguh. Mutiara Timur pastinya akan bersinar sekali lagi!

Penulis adalah Duta Besar China ke Malaysia

278 dibaca
Berita Harian X