Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:01am

Tak guna berjimat jika keselamatan pekerja terabai

TINDAKAN pemaju dan kontraktor yang dikatakan lebih gemar menempatkan buruh kontrak mereka tinggal di bangunan yang masih dalam pembinaan, mengundang malapetaka. Betul, ia memudahkan pekerja dikawal, menjimatkan kos pengangkutan apabila jarak ke tempat kerja hanya beberapa meter, selain jaminan pekerja boleh memulakan tugas pada waktu ditetapkan.

Namun, hakikatnya pekerja terbabit terdedah kepada risiko maut kerana banyak rumah kongsi di dalam bangunan yang dibina didapati bukan sahaja dalam keadaan tidak memuaskan, malah tidak selamat dari segi keselamatan dan kesihatan pekerja.


Keadaan rumah kongsi di bawah tanah dalam bangunan yang sedang dibangunkan menunjukkan tangga atau laluan yang sama digunakan oleh pekerja sebagai akses ke rumah kongsi dan kerja harian.

Pihak berkuasa perlu memantau keadaan ini dan ambil tindakan terhadap pemaju yang melanggar peraturan. Kita tidak mahu pihak berkuasa hanya bersuara membuat pelbagai saranan apabila sesuatu tragedi sudah berlaku.

Menjadi kewajipan pemaju dan kontraktor untuk menjaga kebajikan pekerja mereka. Jangan kerana terlalu memikirkan keuntungan, tempat tinggal pekerja diabaikan atau ditempatkan sesuka hati.

Tidak salah untuk mereka mencari dan membina pusat penginapan sementara di lokasi berdekatan, tetapi bukan di dalam bangunan yang masih dalam pembinaan.


Anggota Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menyiasat punca kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Ulu Bernam awal pagi kelmarin yang mengorbankan Mohd Sharidan Abdul Aziz dan isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, masing-masing berumur dalam lingkungan 30-an, serta anak lelaki mereka Rafiq Mohd Sharidan berusia setahun. - Foto BERNAMA

Sejauh mana kita peka elak kebakaran di rumah

Tragedi tiga beranak maut termasuk bayi berusia setahun dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Alah Batu, Slim River, awal pagi kelmarin, amat malang. Peristiwa ini harus memberi kesedaran kepada kita supaya peka menjaga keselamatan di rumah.

Berapa ramai daripada kita yang mempunyai alat pemadam api di rumah. Jika ada sekali pun, tahukah kita menggunakannya. Berapa ramai daripada kita yang memberi penerangan kepada ahli keluarga berhubung langkah yang perlu dibuat jika kebakaran berlaku di rumah.

Kita harus peka dan mengambil tindakan sewajarnya agar insiden seperti kebakaran tidak berlaku di rumah kita. Pihak berkuasa harus menjalankan kempen di akhbar dan televisyen bagi mendidik orang ramai agar mengambil langkah tertentu untuk mengelak kebakaran di rumah mereka.

Kerja bomba bukan hanya untuk memadam api tetapi sebagai pakar mereka perlu mendidik masyarakat. Pihak bomba dengan bantuan orang ramai juga perlu mempertingkatkan lagi usaha menubuhkan pasukan sukarelawan bomba di kawasan perumahan, bandar dan kampung.

Berita Harian X