Jumaat, 23 Ogos 2019 | 11:00am

Perlu bina lebih banyak rumah bawah RM300,000

KITA menyambut baik langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan had pendapatan bulanan isi rumah yang layak mendapatkan pinjaman membeli rumah di bawah Dana Rumah Mampu Milik kepada RM4,360 daripada RM2,300 sebelum ini. Harga rumah yang boleh dibeli menggunakan pembiayaan di bawah dana itu turut dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM150,000 sebelum ini.

Namun, kita mahu kerajaan memastikan pemaju dan kontraktor membina lebih banyak rumah berharga di bawah RM300,000. Walaupun BNM menaikkan had pendapatan bulanan isi rumah, akhirnya nanti yang akan melulus atau tidak sesuatu pinjaman adalah institusi perbankan yang melihat dari sudut tanggungan, liabiliti, pinjaman lain jika ada dan kemampuan peminjam membayar balik.


BNM menaikkan had pendapatan bulanan isi rumah yang layak mendapatkan pinjaman membeli rumah di bawah Dana Rumah Mampu Milik kepada RM4,360 daripada RM2,300 sebelum ini. - Foto hiasan

Ini bermakna, meskipun BNM mengumumkan kenaikan had maksimum pinjaman, tidak semestinya mereka layak membeli rumah bernilai sehingga RM300,000 kerana ia bergantung kepada peratusan gaji bulanan yang tinggal selepas ditolak tanggungan dan hutang lain.

Oleh itu, adalah lebih baik bagi kerajaan memberi arahan atau dengan insentif tertentu kepada pemaju bagi membina lebih banyak rumah mampu milik. Kajian BNM sebelum ini mendapati rumah berharga lebih RM500,000 di Lembah Klang banyak yang tidak terjual, tetapi rumah berharga bawah RM500,000 memang dicari.


Kerajaan perlu membuat kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek di negara ini. - Foto hiasan

Buat kajian mendalam sebelum lulus GoJek

Kerajaan perlu membuat kajian lebih mendalam sebelum melaksanakan perkhidmatan teksi motosikal atau GoJek di negara ini. Banyak perkara perlu difikirkan dari segi implikasi buruk dan baiknya perkhidmatan itu, apatah lagi masalah membabitkan e-hailing Grab yang sedia ada masih belum selesai sepenuhnya.

Banyak kesan buruk sekiranya kerajaan meluluskan GoJek, antaranya soal keselamatan pembonceng, berlaku masalah sosial, selain kadar kemalangan yang tinggi membabitkan motosikal di negara ini, iaitu tertinggi di Asia.

Di Jakarta misalnya, GoJek begitu popular, terutama untuk pekerja atau pelanggan kelab malam, antaranya disebabkan masalah kesesakan yang agak teruk di bandar raya itu. Malah, ada GoJek digunakan untuk menghantar barangan ‘terlarang’ ke destinasi tertentu.

Apapun, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas orang ramai terlebih dahulu. Malah, perkhidmatan G0Jek boleh mengundang fitnah kerana pembonceng kebanyakannya lelaki, manakala pelanggan pula adalah wanita. Akhbar ini turut membuat tinjauan pendapat di Facebook, dengan kira-kira 60 peratus responden tidak bersetuju kerana bimbang keselamatan dan meningkatkan kadar kemalangan.

Berita Harian X