Rabu, 28 Ogos 2019 | 11:00am

Pastikan tiada lagi keracunan makanan

Kita mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan untuk menyediakan 2.7 juta murid sekolah rendah sajian berkhasiat secara percuma mulai sesi persekolahan Januari depan. Ini bagi memastikan makanan berkhasiat dan seimbang sebelum sesi pembelajaran bermula.

Langkah itu sekurang-kurangnya membantu mengelak murid atau ibu bapa yang lebih cenderung untuk membekalkan makanan tidak seimbang seperti makanan segera pada waktu pagi, sekali gus menyebabkan ramai murid berisiko mengalami obesiti sejak kecil.


Gambar fail (hiasan), sebahagian murid dari skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap, Kuantan mengambil sarapan pagi sewaktu rehat. - Foto Zulkepli Osman

Ia juga untuk menyemai pengetahuan dalam kalangan murid supaya tahu memilih makanan yang sihat dan ilmu itu perlu diterapkan sejak mereka berada di sekolah rendah. Ada kajian menunjukkan jika pelajar tidak bersarapan, tumpuan mereka pada waktu pembelajaran akan lebih rendah sekali gus pencapaian mereka akan merosot.

Namun, kita harap pemberian makanan percuma ini lebih baik berbanding Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kerana membabitkan nutrisi yang lebih banyak. Selepas ini, kita juga berharap masalah keracunan makanan tiada atau berkurangan berlaku di sekolah.

Semua patut kerja kuat capai Wawasan 2025

Pelabur dan peniaga Malaysia di luar negara, seperti saranan Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin seharusnya boleh memainkan peranan penting membantu kerajaan mencapai sasaran menjadikan Malaysia negara maju pada 2025.

Mereka tidak seharusnya terlalu memikir untuk keuntungan sendiri atau syarikat mereka, sebaliknya mengajak rakan niaga di luar negara untuk turut melabur di Malaysia. Ini sekali gus boleh membantu terutama dari segi pelaburan langsung asing.

Begitu juga kepada usahawan dan syarikat tempatan, masing-masing harus turut membantu kerana Wawasan 2020 yang digariskan, tersasar daripada matlamatnya seperti dinyatakan Perdana Menteri dengan menetapkan sasaran baharu menjadi negara maju dan contoh kepada dunia menerusi Wawasan 2025, lima tahun terlewat, berbanding Wawasan 2020 yang diilhamkannya hampir 30 tahun lalu.

Dengan itu, menjelang Hari Kemerdekaan, semua rakyat perlu beriltizam untuk berganding bahu membantu negara dari segi pembangunan ekonomi demi kesejahteraan semua.

101 dibaca
Berita Harian X