Rabu, 18 September 2019 | 11:00am

Lonjak potensi pembangunan Sabah, Sarawak

Sabah dan Sarawak sekian lama dilabel ‘terpinggir’ daripada menerima perhatian Kerajaan Pusat, berbanding negeri lain di Semenanjung. Jadi, sudah sampai masanya perhatian sama rata diberikan kepada kedua-dua negeri itu.

Hakikatnya Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang cukup besar, malah mampu menjadi sumber pertumbuhan baharu bagi negara. Kedudukan Sabah sebagai contoh cukup strategik di antara utara Asia dan tenggara Asia, lantas ia harus dimanfaat untuk menjadi tapak transit, mahupun lokasi pembuatan untuk pasaran serantau dan global. Dengan potensi sedia ada, Sabah mampu menjadi pusat atau hab untuk penerbangan dan perkapalan termasuk membina pelabuhan dalam.

Sarawak pula dengan sumber asli yang banyak mampu menjadi hab bioteknologi, industri gas dan juga pertanian. Ringkasnya kedua-dua negeri ini mempunyai kekuatan masing-masing dan ia harus dimanfaatkan secara positif, khususnya melalui penyediaan infrastruktur yang lebih mantap.

Kita percaya Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 harus dimanfaatkan untuk melonjak potensi pembangunan Sabah dan Sarawak. Hal ini selaras dengan tema utamanya agar tiada mana-mana kelompok terpinggir atau ketinggalan.

Tarif baharu elektrik usah beban pengguna

Cadangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenal mekanisme tarif elektrik baharu untuk sektor domestik dengan harga berubah-ubah mengikut waktu penggunaan, mengundang pelbagai persepsi.

Ramai menyokong inisiatif yang dijangka bermula suku pertama 2021 itu, tidak kurang juga bimbang.

Realitinya ada yang percaya inisiatif itu cukup positif ke arah membantu rakyat untuk berjimat. Jika benar, cadangan itu harus diberi pertimbangan positif untuk dilaksanakan.

Namun, kebimbangan umum mengenai kadar tarif dinamik yang berubah-ubah mengikut tempoh masa guna tenaga, tidak boleh diketepikan. Mungkin boleh diperhalusi agar penetapan tidak mengundang beban kepada pengguna khususnya yang tidak bekerja pada waktu pejabat.

Satu perkara perlu diingat, sudah lama kita mengajar pengguna agar lebih prihatin terhadap kos mereka, jadi sebarang langkah yang mungkin membantu ke arah itu tidak boleh diketepikan. Satu sudut positif, pengguna sendiri boleh merancang sama ada bil elektrik masing-masing sama ada tinggi atau rendah, dengan melaraskan waktu penggunaan mengikut kesesuaian tarif.

Cuma satu yang kita minta, janganlah mekanisme baharu yang akan ditetapkan ini mengundang beban kepada rakyat, apatah lagi jika ada agenda tersembunyi untuk menaikkan tarif sedia ada secara senyap.

Berita Harian X