Isnin, 23 September 2019 | 11:00am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Aizuddin Saad

Nilai murni bawa makna dalam kehidupan

TERSENTAP bercampur malu. Berbaur perasaan ini saling bertingkah. Teguran Tun Dr Mahathir Mohamad, betapa nilai murni dan sifat dalaman kita wajar diperbaiki.

Perdana Menteri menekankan mengenai orang Islam perlu menitikberatkan nilai yang baik. Beliau juga menyatakan bahawa dalam Islam kita memang diajar untuk mendirikan nilai yang baik, namun penekanannya seolah-olah tidak diberi perhatian.

Seperti kita maklum, nilai murni bukan retorik, malah jauh sekali untuk dijadikan inti pati berpolitik dan berpolemik. Ia sesuatu yang boleh diukur, kalau tidak secara langsung, dari sudut pemerhatian sudah boleh diterjemahkan.

Justeru, saya ingin utarakan lima nilai murni untuk dihayati bersama.

Pertama adalah berilmu. Islam amat mementingkan umatnya berilmu. Di samping ilmu fardu ain, Islam menekankan juga fardu kifayah. Berilmu dalam sains dan teknologi tidak pernah dikesampingkan dalam Islam, malah itu juga ilmu yang patut dikejar dan dicari.

Hebatnya tamadun terdahulu; Abassiyah, Othmaniah serta tokoh yang terkenal ketika itu tidak pernah mengetepikan ilmu dunia. Menyorot tokoh Islam dalam bidang perubatan dan seumpamanya seperti Ibnu Sina, Al-Farabi dan Al-Kindi menyegarkan ingatan kita betapa ilmu pengetahuan adalah nilai yang perlu digali.

Seterusnya nilai disiplin. Ia sering dikaitkan dengan konotasi yang keras, tidak boleh bertolak ansur dan tegas. Disiplin sering juga dikaitkan sifat tiada tolak ansur dan tidak boleh mendongak muka. Namun, hakikatnya disiplin adalah perkara yang apabila kita laksanakan, perlu diselesaikan. Tiada sifat bertangguh dan melihat sesuatu itu sebagai penting.

Dalam konteks masyarakat di negara ini, disiplin tidak boleh dipisahkan dengan sifat menepati masa. Pengurusan masa yang baik antara entiti disiplin yang perlu diberi perhatian. Begitu juga elemen keteraturan dan ketelitian. Semua ini memberikan natijah kesempurnaan dalam pekerjaan.

Nilai disiplin apabila kita hayati dan dapat dilaksanakan setiap rakyat, tidak mustahil negara boleh melonjak kepada satu tahap boleh dibanggakan.

Negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Finland memiliki warga yang tinggi nilai disiplinnya. Rakyat mereka melaksanakan sesuatu tugasan dengan sempurna dan penuh penghayatan serta melihat tugasan diberikan sebagai perkara yang penting dalam kehidupan mereka.

Ketiga pula adalah amanah. Nilai ini amat jauh terpendam di sudut hati dan sanubari seseorang. Bagi amanah sebati dalam kerangka amalan seseorang, ruang sebenar perlu dihayati.

Saya teringat kisah bagaimana seorang ibu dalam mengharungi kehidupan, sanggup bersengkang mata, mengerah keringat, membanting tulang dan segala macam lagi kepayahan hidup demi menyara anak-anak. Itulah nilai amanah.

Amanah juga bersangkutan dengan kejujuran. Melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan jujur adalah amalan yang amat mulia. Seperti juga jujur, integriti adalah cerminan kepada nilai amanah seseorang. Semua ini amat diperlukan bagi menjadikan seseorang itu terampil mulia.

Membahaskan pengertian rajin pula membuatkan kita rasa seolah-olah berada pada suasana lama. Seingat saya ketika di sekolah kebangsaan lagi guru menyuruh kita menjadi murid yang rajin. Motto di sekolah pula terpampang ‘rajin tanda kejayaan’.

Namun, apabila melihat pencapaian Bumiputera, seolah-olah pesanan dan kata-kata hikmat untuk jadi rajin ini umpama ‘menyiram air di daun keladi’ atau ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’. Apa yang saya lihat bukan kurang nasihat, tapi lemah penghayatan.

Jika kita ambil benar-benar apa yang Islam sarankan melalui lidah utusan-Nya, Nabi Muhammad SAW, agar istiqamah dalam tindakan, nilai rajin ini sudah tentu dapat diterjemahkan dalam bentuk yang amat positif.

Kelima adalah nilai tanggungjawab. Ia sering kali hilang definisinya dalam menjalani kehidupan. Pepatah Melayu jelas menukilkan ‘melepas batok di tangga’, iaitu melaksanakan tugas sekadarnya sahaja.

Lebih parah umpama ‘baling batu sembunyi tangan’, langsung lari daripada tanggungjawab. Sedangkan Islam amat menitikberatkan umatnya bertanggungjawab atas segala yang dilakukan walaupun mengalih ranting di jalan yang mengganggu perjalanan orang lain.

Semua ini merujuk kepada erti tanggungjawab. Jika nilai tanggungjawab mengalir dengan sebati dalam diri seseorang, saya yakin tiada individu yang cenderung menuding jari kepada orang lain.

Kesimpulannya, nilai murni perlu kita tekankan dalam semua aspek kehidupan. Peranannya bukan sekadar dimainkan sebahagian pihak sahaja, tetapi perlu pembabitan semua individu bagi membentuk ekosistem yang menyeluruh.

Ini semua perlu kita laksanakan dari sekarang supaya nilai murni terus sebati dalam diri setiap orang yang akhirnya memberi makna kepada kehidupan individu bernama insan.

Penulis adalah Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Berita Harian X