Rabu, 25 September 2019 | 11:00am

Keberanian politik rangsang ekonomi negara

LAPORAN US News & World Report baru-baru ini yang menyatakan Vietnam sebagai lebih menarik berbanding Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam memikat pelaburan asing, bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Vietnam tidak lagi ‘terkebelakang’ di Asia Tenggara. Ia mempunyai ekonomi yang subur, asas mantap serta mula mengukuh susulan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Rakyatnya cukup berdaya tahan, pandai mencari peluang dan sangat rajin. Mereka jelas bermaruah selepas mengalahkan Perancis dan AS dalam peperangan.

Namun ‘medan perang’ terbaru Vietnam cukup mencabar dalam ekonomi. Negara ini tidak lagi bergerak secara kecil, sebaliknya mengambil langkah besar dan ia tidak bersendirian. Sebagai jiran dan pesaing, Malaysia perlu berbuat sesuatu agar tidak ketinggalan dalam perlumbaan ekonomi.

Walaupun Malaysia terus menikmati asas kukuh, bahaya semakin menjengah dalam suasana ekonomi yang mendatang, mengecewakan ia didorong kecenderungan rasuah berlebihan regim terdahulu. Hutang negara masih pada paras RM1 trilion. Orang ramai mengadu kenaikan kos sara hidup, manakala banyak perniagaan berdepan permintaan yang lembap.

Pada Januari 2019, Bank Dunia mengeluarkan laporan, antara lain menyatakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia dianggar perlahan kepada 4.7 peratus pada 2018 berbanding 5.9 peratus pada 2017, malah diramal menyusut kepada 4.6 peratus pada 2020.

Sebagai kerajaan, kita tidak boleh menutup mata melihat petunjuk itu. Kita juga tidak boleh terus-menerus menyalahkan kerajaan terdahulu.

Ini adalah sebahagian sebab mengapa kerajaan memulakan satu siri inisiatif pengurangan kos dan penjanaan pendapatan untuk membantu melonjak ekonomi. Melalui dana pelaburan negara seperti Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Berhad (PNB), kerajaan mula melupuskan kepentingan dalam pegangan perniagaan yang tidak strategik.

Keputusan dibuat selepas pertimbangan wajar dilakukan, mengambil kira kepentingan negara dan kebajikan rakyat. Ini tiada kena mengena dengan ‘menjual negara’ seperti didakwa pihak tertentu yang mana mereka sendiri pada awalnya menimbulkan kekacauan kepada ekonomi.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang mencari jalan untuk menutup semula ‘lubang’ ekonomi yang teruk ditinggalkan Datuk Seri Najib Razak dan mereka yang seumpama dengannya. Baru-baru ini, penyedia indeks global, FTSE Russell berkata, tahap kebolehcapaian Malaysia berisiko untuk menjunam sehingga paras bawah rangka kerja pengelasan globalnya.

Mereka menyatakan saham Malaysia kurang baik kerana ‘tidak ada apa yang boleh dikatakan positif selama 12 bulan akan datang’. Malah Penasihat Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr Jomo Kwame Sundaram, dengan jelas menyebut ekonomi Malaysia semakin merosot setiap hari.

Kerajaan PH tidak mempunyai kelebihan dari segi masa atau laluan populis untuk disusuri demi keuntungan politik jangka pendek. Ekonomi kini memerlukan penyelamatan dan kami akan lakukan apa yang diperlukan untuk menyelamatkan keadaan, malah sentiasa ke hadapan dalam mendepani cabaran ekonomi global yang menghadapi serangan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Hakikatnya, kita tidak mampu dipintas ekonomi yang baru muncul seperti Vietnam. Kita perlu mendahului supaya semua orang dapat menikmati hasil perkongsian kemakmuran secara bersama.

Sudah sampai masanya pimpinan PH mengetepikan kepentingan peribadi dan menumpukan perhatian kepada keperluan rakyat - kerana itulah sebab utama mereka bangkit menolak Barisan Nasional (BN).

Masa mungkin tidak lagi di pihak kita, tetapi yang pasti belum terlambat. Jika semua pemimpin bertindak bersama dengan memberi penumpuan kepada pembinaan negara dan bukannya isu tidak bermanfaat, saya pasti kita boleh membina dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Ekonomi adalah sesuatu yang sangat dekat di hati majoriti rakyat dan setiap orang mahu menikmati pekerjaan serta gaji yang baik. Saya tidak percaya sesiapa antara mereka berminat dengan perselisihan peribadi dalam kalangan pemimpin tertentu. Semua rakyat mahu masa depan yang baik untuk mereka dan anak-anak.

Dengan pelabur asing yang semakin meminggir susulan senario politik tidak menentu, peluang untuk memperbaiki kedudukan ekonomi agak tipis. Kita perlu dapatkan semula keyakinan dikehendaki pelabur, bukannya menumpukan isu kecil yang bersifat peribadi.

Pada suatu ketika, Malaysia menjadi tumpuan pelabur untuk pengembangan bisnes di rantau ini, namun sekarang kita jatuh ke belakang berbanding negara jiran. Malaysia menjadi pilihan utama kerana kadar celik huruf tinggi dan keupayaan rakyat berbahasa Inggeris, namun hari ini orang di sekeliling tidak lagi berminat.

Saya amat bimbang kerana komitmen pemimpin berdedikasi sahaja tidak dapat mengarahkan kapal keluar dari perairan bergelora - kita memerlukan seluruh anak kapal dan komitmen kuat daripada ‘kapten’.

Kabinet perlu segera tampil dengan pelan tindakan kukuh untuk memulihkan ekonomi negara dan menarik pelabur kembali ke negara ini. Saya yakin pentadbiran PH pasti mampu mencapai perkara ini dan ia perlulah dilakukan sekarang sebelum terlambat, demi rakyat.

Penulis adalah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.

Berita Harian X