Ahad, 6 Oktober 2019 | 11:00am

Atas, bawah sama-sama perhati

Agak lumayan juga Belalang lihat ganjaran sehingga RM30,000 ditawarkan kepada penjawat awam yang mendedahkan mengenai salah laku atau penyelewengan.

Satu inisiatif cukup baik, sekurang-kurangnya ia dapat mengingatkan pihak atasan bahawa mereka juga sentiasa diperhatikan. Namun, kerajaan perlu pastikan soal kerahsiaan pengadu terjamin agar tiada masalah lain timbul di ke depan hari.

Belalang tak mahu selepas ini ada penjawat awam tampil mengadu, tetapi mereka pula dikenakan tindakan. Mungkin ini puncanya tawaran ganjaran ini kurang mendapat sambutan sebelum ini.


MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. NSTP/Syarafiq Abd Samad. Layari https://bit.ly/2Ir6NA2

Pastikan capai sasaran

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilancarkan Perdana Menteri semalam, menumpukan kepada usaha melonjak ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi, selain memperkasa kuasa beli rakyat di segenap peringkat tanpa ada yang terkecuali.

Belalang percaya, penumpuannya cukup jelas. Lantas, kerajaan perlu mula bertindak selari dengan apa dilakar itu agar setiap yang disasarkan dapat benar-benar dipenuhi.

Dalam hal ini, sikap berpolitik keterlaluan sehingga mengabaikan tumpuan kerajaan kepada negara dan rakyat harus dielak. Belalang tidak mahu kisah lama berulang seperti nasib menimpa Wawasan 2020. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

Elak subsidi diseleweng

Isnin ini kerajaan akan umumkan butiran penuh program subsidi petrol bersasar. Katanya proses agihan dipermudahkan apabila bayaran tunai dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima yang layak, bukannya menggunakan kad.

Apa mekanisme diperkenal, harapnya jangan sampai ada ruang lompong sehingga membolehkan mana-mana pihak menyalah guna subsidi diberikan seperti sebelum ini.

Dalam hal ini kerajaan perlu pastikan silang semak dilakukan ke atas data penerima dari semasa ke semasa. Belalang tak mahu nanti ada yang mengadu, contohnya individu tertentu terima subsidi petrol, tetapi sebenarnya tidak menggunakan kenderaan.

Berita Harian X