Sabtu, 26 Oktober 2019 | 11:00am
PEMANDANGAN sekitar kawasan Kampung Baru. - Foto Asyraf Hamzah

Elak tanah kena ambil secara paksa

AKHBAR Berita Harian (BH) semalam melaporkan kerajaan kini bersedia menawarkan terma yang lebih baik kepada penduduk Kampung Baru iaitu harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Jumlah baharu ini mengandungi dua elemen, iaitu wang tunai berjumlah RM850, manakala baki RM150 akan diserahkan dalam bentuk pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan oleh kerajaan nanti.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, memberitahu wakil media pada satu sidang khas kelmarin bahawa beliau sudah membincangkan perkara itu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan mendapat restu Perdana Menteri.

“Perincian saham akan diperhalusi oleh agensi berkaitan dan akan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani nanti,” tambahnya lagi. Yang turut hadir dalam sidang media itu Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Tan Sri Ambrin Buang dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Selain tawaran bernilai RM1,000 itu, Khalid juga mengumumkan potongan harga (diskaun) 15 peratus bagi pemilik lot tanah Kampung Baru yang mahu membeli harta tanah dalam pembangunan yang akan dilaksanakan nanti.

Beliau berharap tawaran diskaun ini akan menggalakkan mereka untuk terus tinggal di kawasan itu nanti setelah ia dibangunkan semula. Khalid juga menyeru penduduk Kampung Baru yang tanah mereka terbabit dalam rancangan pembangunan semula di kawasan itu untuk mengembalikan borang maklum balas mengenai persetujuan mereka sebelum 30 November depan.

Bagi pemilik lot tanah yang masih ingin mendapatkan maklumat terperinci, mereka digesa berurusan terus dengan warga kerja PPKB. Dalam satu laporan media sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata bahawa projek pembangunan semula Kampung Baru adalah sesuatu yang viable (berdaya maju) dan bukan sesuatu yang berisiko tinggi.

Andainya majoriti penduduk Kampung Baru tidak setuju dengan projek pembangunan semula yang dirancang oleh kerajaan ini, beliau akan menunggu hingga mendapatkan persetujuan generasi penduduk Kampung Baru masa depan.

Walaupun terma baharu yang diumumkan, kelmarin adalah lebih baik daripada terma asal, tidak mustahil masih ada lagi segelintir penduduk Kampung Baru yang mahukan pampasan lebih tinggi, mencecah RM1,500 dan RM2,000 satu kaki persegi.

Soalnya apa akan jadi kepada rancangan pembangunan semula Kampung Baru jika yang bersetuju menerima tawaran terma baharu ini hanya sekadar 60 hingga 70 peratus pemilik lot tanah yang terlibat?

Dua kemungkinan boleh berlaku.

Pertama, rancangan pembangunan semula ini akan terhenti di sini, tidak dapat diteruskan. Kedua, ia akan diteruskan juga tetapi pengambilan tanah secara paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT) terpaksa dilakukan ke atas lot tanah yang pemiliknya enggan menerima tawaran baharu ini.

Dalam pertemuan sulung saya dengan sekumpulan kecil penduduk Kampung Baru di sebuah surau di situ pada 14 Oktober lalu bersama Prof Dr Ismail Omar, Presiden PERTAMA (Pertubuhan Profesion Tanah Malaysia), saya berpesan kepada yang hadir pada petang itu untuk mengelakkan lot tanah mereka diambil secara paksa di bawah APT 1960.

Lazimnya, kesan dari pengambilan tanah secara paksa adalah bekas pemilik tanah terpaksa meninggalkan (akan diusir keluar dari) tanah asal mereka. Justeru, saya nasihatkan mereka untuk terus mengadakan pertemuan serta perbincangan dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan.

Yang menjadi masalah bagi penduduk Kampung Baru adalah mereka berdepan dengan tiga entiti pihak berkuasa, bukan satu. Tiga entiti ‘pihak berkuasa’ ini adalah Lembaga Malay Agricultural Settlement (MAS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB).

Lembaga MAS (MAS Board) menerima kuasanya daripada satu undang-undang lama, iaitu Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1951, yang diwartakan pada 18 Januari 1951. DBKL pula menerima kuasanya dari satu undang-undang moden, iaitu Akta 267 (nama penuhnya Federal Territory (Planning) Act 1982).

Di bawah Akta ini, DBKL ada kuasa menyediakan rancangan pembangunan bagi Kuala Lumpur (termasuk Kampung Baru). PPKB menerima kuasanya dari satu akta khas yang diluluskan oleh Parlimen pada 2011, iaitu Akta 733 (nama penuhnya Kampong Bharu Development Corporation Act 2011). Akta ini diluluskan untuk menubuhkan PPKB dan membuat peruntukan undang-undang baharu mengenai pembangunan semula Kampung Baru.

Sebelum PPKB ditubuhkan, DBKL sudah beberapa kali cuba membangunkan semula Kampung Baru. Pada 1975, DBKL menyediakan satu rancangan pembangunan bagi kawasan itu tetapi ia tidak dilaksanakan. Sepuluh tahun kemudian, pada 1985, DBKL sekali lagi menyediakan satu rancangan baharu berserta dana pusingan sebanyak RM5 juta, tetapi usaha kedua ini juga gagal dilaksanakan.

Akhir sekali, pada 1991, Kerajaan Persekutuan mengarahkan DBKL untuk mengambil alih sebahagian kawasan Kampung Baru untuk pembangunan. Usaha ini juga gagal. PPKB ditubuhkan pada 2012 untuk melaksanakan tugas yang selama ini tidak dapat disempurnakan oleh DBKL.

Usaha Menteri Wilayah dalam tempoh beberapa bulan lalu adalah satu usaha terbaharu dan mutakhir untuk membangunkan semula Kampung Baru, yang mempunyai keluasan 223 ekar (90.2 hektar) (Kawasan Asal MAS terdiri dari tujuh kampung) , sebelum ditambah dengan 84 ekar (33.9 hektar) lagi (dipanggil Kawasan Luar MAS), semuanya kini mempunyai keluasan 307 ekar (124.2 hektar).

Hendaknya proses perundingan dan perkongsian maklumat antara Menteri, DBKL, PPKB, Lembaga MAS dan penduduk Kampung Baru akan diteruskan secara terbuka, ikhlas dan telus, agar kata sepakat akan akhirnya dapat dicapai dan satu keputusan muktamad yang bijaksana, adil dan sama-sama menang boleh dilakukan.

Penulis adalah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu, UTM Skudai.

Berita Harian X