Selasa, 5 November 2019 | 11:00am

PBB 'beri restu' kuasa besar membuli

Sekatan perdagangan negara berkuasa besar ke atas pihak lain jelas bersifat membuli. Peliknya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ibarat ‘tutup mata’ memberi restu kepada tindakan ini. Di mana hak kebebasan dilaungkan selama ini, jika mereka sendiri tidak patuh?

Kita percaya konsep perdagangan dan hubungan antarabangsa harus berlandas undang-undang. Sebarang tindakan buli oleh mana-mana negara contohnya seperti Amerika Syarikat (AS) yang kerap mengambil keputusan satu pihak, harus dikecam.

Mana perginya Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan PBB? Sewajarnya segala tindakan terhadap mana-mana negara diambil melalui badan dunia ini. Sudah banyak negara menjadi mangsa, dengan terbaru Iran yang dikenakan sekatan perdagangan oleh AS. Yang sedihnya negara lain pula dipaksa menyokong perbuatan buli mereka itu.

Impaknya bukan sekadar kepada negara sasar itu, sebaliknya negara kecil yang berurusan dengannya turut menerima tempias apabila pembangunannya terencat dan pertumbuhan ekonomi terjejas. Justeru, kita percaya ini semua harus dihentikan. Jangan lagi dibiar negara kuasa besar seperti AS berselindung di sebalik rangka kerjasama antarabangsa demi menjayakan matlamat dan kepentingan peribadi mereka.

Hukum sahaja tak membantu

Umum sering menuding jari menyalahkan ibu bapa kerana gagal mengawal atau memantau anak masing-masing sehingga terjebak aktiviti berbahaya seperti lumba basikal lajak. Dari satu sudut kita setuju, namun tidak semua keluarga perjalanan hidup mereka berjalan lancar.

Banyak juga kes keluarga hanya diketuai ibu tunggal yang juga pencari nafkah utama. Jika tidak bekerja, dapur tidak berasap. Justeru, risiko untuk anak terabai tinggi kerana hidup ibu seharian tertumpu kepada kerja demi kelangsungan hidup keluarga. Setuju atau tidak, realiti ini banyak berlaku dalam komuniti.

Namun kesibukan mencari rezeki tidak harus dijadikan alasan melepaskan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Anak anugerah serta rezeki kurniaan Allah dan ia satu amanah untuk ibu bapa mengetahui dan memahami kurniaan ini. Bagi yang tidak menunaikan hak anak seperti memberi kasih sayang dan perhatian sewajarnya, mereka harus dihukum mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Namun menghukum sahaja tidak selesaikan masalah. Kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu cari jalan bagaimana memastikan anak daripada keluarga tidak ‘bernasib baik’ tidak terus terabai, sehingga berisiko terjebak pelbagai gejala sosial.

Berita Harian X