Sabtu, 7 March 2020 | 10:25am

Agensi undang-undang bukan boneka orang politik

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, menegaskan perubahan kerajaan susulan kemelut politik negara yang melanda, tidak akan memberi kesan kepada kes berprofil tinggi yang sedang disiasat dan akan dibicara di mahkamah. Kita setuju dengan kenyataan ini, kerana itulah yang sepatutnya. Seperti dinyatakan orang nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, proses undang-undang dan politik adalah dua perkara berbeza.

Melihat kenyataan Ketua Polis Negara, satu perkara menarik perhatian apabila Tommy Thomas, yang melepaskan jawatan Peguam Negara, memaklumkan tindakannya itu disebabkan perubahan pemerintahan. Beliau turut menegaskan pelantikannya adalah atas lantikan politik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - NSTP/Aswadi Alias
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - NSTP/Aswadi Alias

Terbaru semalam, Latheefa Koya pula mengesahkan beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Isnin lalu. Apakah ia juga disebabkan perubahan pemerintahan politik?

Yang pasti, apa sekalipun alasan diberi, jawatan Peguam Negara, selain teraju kepada agensi pelaksanaan undang-undang utama seperti SPRM dan PDRM tidak seharusnya dikaitkan dengan mana-mana entiti politik. Penting untuk agensi ini diberi kebebasan menjalankan siasatan dan pendakwaan berdasarkan bukti yang ada, tanpa dibelenggu sebarang unsur double standard atau sikap pilih bulu. Pendakwaan terpilih hanya mengundang persepsi negatif, sekali gus menyebabkan masyarakat umum hilang keyakinan terhadap ketelusan undang-undang negara.

Kita puji pendirian Ketua Polis Negara dalam soal siasatan dan pendakwaan kes berprofil tinggi sedia ada. Ini juga yang dituntut rakyat. Jelas sekali mesej Abdul Hamid mahu semua pihak sedar mengenai kewujudan sempadan yang memisahkan antara bidang kuasa politik dengan undang-undang.

Kita percaya rakyat sendiri tidak akan setuju jika ada mana-mana kes berprofil tinggi yang sedang disiasat atau didakwa tiba-tiba diarah dihentikan atau ditarik balik. Jika ini berlaku, di mana letaknya prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi antara teras utama Rukun Negara.

Perlu diingat tiada sesiapa pun boleh mengatasi ketinggian bidang kuasa undang-undang. Jadi biarlah kes yang sedang berjalan di mahkamah berterusan tanpa campur tangan mana-mana pihak yang tidak sepatutnya. Biar mahkamah dan undang-undang menentukan, bukannya kuasa ‘tangan ghaib’ politik.

Dalam hal ini, kita percaya penting untuk semua pihak sedar dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang. Jika bidang kuasa agensi pelaksana seperti PDRM dan SPRM dicabul, apakah rakyat akan terus yakin dengan integriti dan ketelusan semua agensi penegak undang-undang ini?

Atas sebab itu, kita menaruh harapan tinggi agar ketelusan undang-undang ini terus diberi keutamaan. Diharap Peguam Negara yang baharu dilantik dan calon ‘bos’ baharu SPRM dipilih dalam kalangan individu yang bebas pengaruh politik serta bersikap adil. Kita tak mahu mereka yang mudah dicucuk hidung dan menjadi boneka mana-mana pihak diangkat menerajui agensi penting seperti itu.

Berita Harian X