Selasa, 31 March 2020 | 11:00am
PENGARAH, Rashid Sibir (dua dari kiri) ketika penggambaran drama Jadikan Aku Yang Kedua di Taman Tasik Perdana. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENGARAH, Rashid Sibir (dua dari kiri) ketika penggambaran drama Jadikan Aku Yang Kedua di Taman Tasik Perdana. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Cari rahmat di sebalik duka

Sebelum COVID-19, semua bekerja siang dan malam untuk menyiapkan projek serta mengejar tarikh siaran televisyen. Ada yang satu bulan, ada dua bulan dan ada juga membuat awal untuk tidak mengejar deadline.

Orang seni tidak kira tugasnya di depan atau belakang tabir, memang banyak menghabiskan masa di lokasi. Kami keluar kerja jam 7 pagi dan balik jam 2 pagi atau mungkin lebih dari itu. Biasanya ia berlanjutan seminggu hinggalah sebulan dan kadang kala tiga bulan mengikut keperluan projek.

Lebih 15 jam kami di lokasi dan selebihnya untuk balik mandi dan tidur, sebelum keluar semula untuk kerja keesokannya. Walaupun pendapatan tidak setinggi mana, ini rezeki kami dan kami terus bekerja.

Dulu jika tak ada penggambaran, kami boleh melakukan kerja lain seperti menjadi pemandu e-hailing, juruteknik, jual nasi dan sebagainya. Namun, apabila COVID-19 melanda, semua diperintah tutup. Maka, kami semua duduk di rumah seperti rakyat lain - akur untuk keselamatan semua.

Namun, sebagai pengarah drama, saya gunakan masa ini untuk diri dan bersama keluarga, selain merancang apa yang perlu dilakukan selepas semua ini berakhir. Jika duduk di rumah tanpa perancangan, makan tidur dan tidur makan sahajalah ceritanya.

Kita mesti penuhkan dengan perancangan untuk masa depan selepas masa kesukaran ini berakhir nanti.

Dulu saya sering keluar kerja dan jarang ada di rumah. Sekarang saya habiskan masa dengan anak dan isteri kerana mereka juga tidak boleh keluar rumah.

Bermain bola sepak atau badminton di halaman rumah dan menonton televisyen serta makan bersama keluarga antara aktiviti seharian. Aktiviti wajib kami lakukan apabila bersama, iaitu solat berjemaah dan membaca al-Quran.

Kita mesti mempergunakan masa sepenuhnya supaya nanti apabila krisis berlalu, semua mendapat kebaikannya bersama.

Saya mengambil kesempatan membuat lebih banyak kertas cadangan dan menulis skrip jika ada yang belum disiapkan. Ia penting kerana semua orang tidak berkerja, maka stesen televisyen juga amat memerlukan cadangan dan idea baharu.

Penggiat seni, penulis skrip dan sesiapa yang mempunyai idea jangan lepaskan peluang ini. Lebih baik kita bikin drama mengenai COVID-19 kerana kita sedang melalui saat genting ini, berbanding sibuk perkara yang tidak dilakukan orang lain.

Ustaz Ebit Lew banyak menginfak hartanya untuk anggota polis, tentera dan hospital. Satu perkara yang amat baik untuk kita teladani, bukan dikutuk. Jika kita tak boleh ikut apa yang dilakukan, maka kita patut bersyukur masih ada insan berhati mulia seperti beliau.

Doakan dan contohi beliau serta beritahu pada anak kita - jika kita mampu melakukan seperti beliau satu hati nanti, sedekah adalah untuk saham akhirat.

Sebagai pengarah, saya ambil peluang menonton semula drama saya dan melihat semula apa yang sudah dibuat. Mungkin ada kesilapan boleh diperbaiki. Saya juga menonton lebih banyak drama dan filem luar yang sebelum ini saya belum sempat tonton.

Pada saya kandungan drama dan filem kita mesti datang daripada pengamatan budaya dan cara hidup kita, bukan hanya fantasi semata-mata. Banyak filem luar negara terutama China, Korea dan Jepun yang kaya dengan cara hidup yang begitu menarik dan jarang diangkat untuk tontonan dunia serta mendapat pengiktirafan.

Mungkin satu hari nanti cara hidup dan budaya kita pun boleh diangkat untuk menjadi modal utama pelancongan. Saya mengharapkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dapat menjadikan filem sebagai antara modal utama menarik masyarakat dunia untuk melawat negara kita.

Pengarah drama dan filem mesti mengambil peluang masa berkurung ini untuk memperbaiki diri dari segi teknik penceritaan, penggambaran dan memperbaiki kandungan drama serta filem kita. Ia tidak boleh hanya sekadar hiburan semata-mata, tetapi perlu ada isi yang boleh dijadikan ingatan dan panduan masyarakat.

Pada saya bukan saja penggiat seni, malah semua rakyat dapat mempergunakan masa berkurung ini untuk kebaikan bersama keluarga dan memanfaatkan masa untuk perancangan masa depan.

Memang banyak masalah akan timbul jika kita terus memikirkan masalah, tetapi yang paling utama pada saya ialah akur dengan perintah kerajaan. Apabila ia berakhir, kita akan sama-sama memulakan semula kerja kita .

Kita mesti sedar dan melihat diri kita dalam cermin - jika ada kesilapan kita lakukan pada diri, keluarga dan dunia, maka perbaiki.

Cari rahmat di sebalik duka. Sama-sama kita berdoa meminta keampunan dan memohon supaya wabak COVID-19 dihancurkan segera. Insya-Allah.

Penulis ialah pengarah dan penulis skrip.

Berita Harian X