Khamis, 2 April 2020 | 11:00am
PAKEJ rangsangan galak rakyat berbelanja untuk merancakkan aktiviti ekonomi domestik. - Foto Aizuddin Saad
PAKEJ rangsangan galak rakyat berbelanja untuk merancakkan aktiviti ekonomi domestik. - Foto Aizuddin Saad

Keazaman, penyusunan dasar mampu atasi badai luar biasa

Malaysia tidak terkecuali daripada kejutan luaran yang menjejaskan makroekonomi negara. Dalam tempoh dua dekad lalu, Malaysia menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997, kelembapan ekonomi global selepas peristiwa 9/11 pada 2001 dan krisis kewangan global pada 2008.

Setiap kejutan ini menjejaskan ekonomi Malaysia dalam bentuk berbeza. Krisis pertama menyebabkan penguncupan ekonomi paling besar dalam sejarah Malaysia dengan kadar pertumbuhan bertukar -7.35 peratus pada 1998. Negara berjaya mengatasi krisis besar itu melalui dasar berhemat dan penggarisan langkah penting untuk melindungi Malaysia daripada dua kejutan ekonomi yang muncul seterusnya.

Apa yang unik mengenai krisis global COVID-19 terbaru ini adalah keadaan wabak ini muncul serta ancamannya terhadap negara dan juga masyarakat di seluruh dunia. Virus COVID-19 muncul ketika persekitaran ekonomi global mengalami sedikit kelembapan.

Sebelum tersebar COVID-19 ke seluruh dunia dua bulan lalu, pertumbuhan ekonomi hampir semua negara semakin perlahan berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Wabak yang bermula secara setempat di Wuhan, China kini menular menjadi krisis kesihatan awam antarabangsa dan krisis ekonomi global yang menyebabkan kejutan bekalan serta permintaan meliputi lebih 180 negara.

Pada masa sama, tatkala pandemik global ini semakin berlarutan, harga minyak antarabangsa turut mengalami kejatuhan pada awal Mac. Perkembangan ini menimbulkan tekanan fiskal tambahan terhadap negara pengeluar minyak termasuk Malaysia.

Kejutan yang dibawa COVID-19 terhadap sektor kesihatan awam bermula perlahan dan meningkat secara mendadak pada Mac tahun ini. Dalam masa empat minggu selepas 27 Februari, bilangan jangkitan yang terkumpul meningkat dengan pantas kepada 2,766 kes yang disahkan dengan 43 kematian dan 537 orang yang sembuh setakat 31 Mac lalu. Kadar peningkatan ini memberi tekanan kepada sistem kesihatan Malaysia, terutama hospital awam.

Seperti disebutkan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sekiranya tiada ujian saringan dan pengasingan kes secara lebih menyeluruh serta penguatkuasaan pematuhan awam ketat, keadaan ini boleh membebankan kemudahan penjagaan kesihatan Malaysia dan membawa kepada ‘gelombang tsunami’ ketiga akibat peningkatan jumlah kematian, terutama dalam kalangan orang tua dan penghidap penyakit kronik.

Kejutan COVID-19 yang dihadapi ekonomi Malaysia semakin terkesan dengan krisis kesihatan awam yang meningkat. Pada peringkat awal, kesan krisis mula dirasai sektor produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berkait rapat dengan pasaran China dan sektor pelancongan serta runcit disebabkan penurunan mendadak jumlah pelancong.

Terkini, kesan ini semakin ketara dan mengakibatkan gangguan menyeluruh kepada semua aktiviti ekonomi di negara ini, termasuk pasaran kewangan dan mata wang.

Laporan terbaru dikeluarkan Bank Dunia menunjukkan masalah ekonomi besar tidak dapat dielak oleh semua negara di rantau ini.

Dalam laporan ekonomi serantau kami bertajuk East Asia and Pacific in the Time of COVID-19 dilancarkan pada awal minggu ini, pertumbuhan ekonomi bagi negara membangun di Asia Timur dan Pasifik dijangka akan menguncup kepada 2.1 peratus tahun ini berdasarkan senario garis dasar dan -0.5 peratus berdasarkan kes senario rendah.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2020 dijangka turun ke paras -0.1 peratus berdasarkan senario garis dasar dan -4.6 peratus pada kes senario rendah.

Selain pemberhentian pekerja secara besar-besaran, wabak global juga memberi impak mendalam terhadap kadar kemiskinan di rantau ini, yang mana 24 juta orang tidak mampu keluar daripada kepompong kemiskinan pada 2020 mengikut senario garis dasar berbanding diunjurkan sebelum COVID-19.

Anggaran ini dibuat dalam keadaan yang sentiasa berubah dan berdasarkan data pada 27 Mac lalu.

Laporan terbaru Bank Dunia juga menggesa negara mengambil tindakan segera untuk mengukuhkan pembendungan wabak, meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan dan melaksanakan langkah ekonomi yang disasarkan bagi mengurangkan kesan ke atas isi rumah, perniagaan dan pekerja Malaysia.

Ini termasuk suntikan mudah tunai lebih besar dan fleksibiliti pembayaran balik kepada sektor kewangan. Laporan itu juga menegaskan betapa penting negara mengamalkan pendekatan bersepadu terhadap pembendungan wabak COVID-19 dan dasar makroekonomi serta kerjasama antarabangsa dan perkongsian awam-swasta untuk memastikan pengeluaran dan pembekalan barangan perubatan utama di seluruh sempadan antarabangsa.

Selaras cadangan itu, Kerajaan Malaysia mengeluarkan dua pakej rangsangan ekonomi dan meletakkan negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana pada peringkat permulaan, pelaksanaan dibuat selama dua minggu dan kini dilanjutkan sehingga pertengahan April.

PKP melarang perhimpunan awam dan mewajibkan pembelajaran serta bekerja dari rumah untuk semua pelajar dan pekerja (kecuali mereka terbabit dalam sektor perkhidmatan penting). Langkah ini bertujuan mengehadkan penularan virus secara meluas. Pematuhan orang ramai terhadap dasar ujian saringan KKM dan PKP adalah penting untuk menghalang pembentukan gelombang jangkitan baharu.

Pakej rangsangan ekonomi, secara keseluruhannya, mengandungi elemen tepat untuk menangani kesan krisis COVID-19. Pakej ekonomi kedua dan lebih besar, yang diumumkan 27 Mac lalu, memberi keutamaan kepada pekerja barisan hadapan dalam sistem penjagaan kesihatan dan pembelian bekalan perubatan.

Pakej itu juga mengandungi langkah tambahan untuk melindungi pendapatan isi rumah Malaysia yang terjejas melalui bantuan tunai, penangguhan pembayaran hutang isi rumah dan perniagaan serta penyediaan subsidi upah dan sokongan tambahan kepada perniagaan Malaysia.

Matlamat langkah subsidi upah adalah untuk menggalakkan syarikat swasta yang menghadapi kesukaran supaya mengekalkan pekerja mereka semasa tempoh kemelesetan ekonomi.

Walaupun pakej kedua ini langkah wajar untuk krisis COVID-19, persoalan timbul mengenai jurang pakej dan jumlah yang sesuai bagi sesetengah langkah yang diumumkan. Khususnya, cara terbaik untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro memerlukan idea dan tindakan lebih lanjut serta saiz subsidi yang agak sederhana mungkin tidak mencukupi untuk mengelakkan pemberhentian pekerja oleh syarikat berkedudukan kewangan lemah.

Sekiranya krisis kesihatan awam ini masih berterusan dan mengakibatkan tempoh kawalan pergerakan dilanjutkan, pakej rangsangan ekonomi ketiga mungkin diperlukan.

Mengimbau semula di samping mengambil pandangan jauh, Malaysia melalui pelbagai krisis ekonomi. Menerusi keazaman, pemikiran jelas, penyusunan dasar teliti serta menggunakan sepenuhnya pengalaman lalu, Malaysia pasti dapat menempuh badai luar biasa ini.

Penulis ialah Pengurus Negara Bank Dunia di Malaysia

Berita Harian X