Sabtu, 4 April 2020 | 10:30am
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Impak virus kepada masyarakat peribumi global

COVID-19 yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik global, menyekat pergerakan manusia. Langkah pencegahan terpaksa diambil bagi mengurangkan jangkitan global.

Masyarakat peribumi antara paling terdedah kepada pandemik ini kerana beberapa sebab:

Pertama, ciri-ciri geografi dan komuniti masyarakat itu di pedalaman dan terpencil. Keadaan ekonomi, keterbatasan sumber makanan serta kemudahan dan perkhidmatan boleh menjadikan golongan ini mudah terdedah wabak ini.

Kedua, biologikal masyarakat peribumi. Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman adalah warga tua. Kekurangan nutrisi dan daya lawan penyakit mengakibatkan mereka berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19.

Ketiga peranan masyarakat peribumi dalam keluarga dan komuniti. Mereka adalah masyarakat rentan yang selalunya tinggal dalam keluarga besar, iaitu terdiri pelbagai generasi. Oleh itu, pengasingan dalam rumah tidak berlaku dan mudah terdedah wabak ini.

Keempat adalah budaya. Masyarakat ini di seluruh dunia sangat rapat dan berpegang kepada budaya. Warga tua sering memainkan peranan utama dalam perhimpunan komuniti, sama ada tarian, upacara penyembuhan atau tadbir urus hal ehwal budaya seperti kematian dan perkahwinan. Mengehadkan akses kepada warga tua dan ahli komuniti dalam pengurusan budaya sukar dilaksanakan ketika pandemik global.

Di Australia, tradisi pengebumian bagi Aboriginal People dan Toress Strait Islander membabitkan hampir 500 orang atau lebih. Amalan budaya dan struktur persaudaraan sangat penting dalam kehidupan. Amalan ini sebahagian undang-undang adat budaya mereka.

Di Malaysia, Orang Asli di kawasan pedalaman sering ke hutan bagi mencari hasil hutan. Ini sebahagian sosioekonomi mereka.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, sudah pasti ia mengganggu aktiviti harian dan adat mereka. Hal ini memberi kesan kepada sumber pendapatan, makanan dan tata cara adat mereka.

Kes COVID-19 membabitkan masyarakat peribumi sehingga artikel ini ditulis berlaku di Colombia dan Brazil. National Indigenous Organization of Colombia (ONIC) melaporkan terdapat kes COVID-19 yang disahkan dalam kalangan suku kaum Yukpa.

Mereka hidup dalam kemiskinan dan penempatan tempat tinggal yang serba kekurangan. Penempatan komuniti ini tidak memiliki sumber air bersih dan kekurangan makanan.

Di Atalaia do Norte di Brazil pula, terdapat kes daripada suku kaum Marubo dilaporkan oleh Amazônia Real mempunyai gejala hampir serupa dengan COVID-19. Suku kaum ini kurang mendapat perhatian dan sokongan dari segi penjagaan kesihatan.

Di Malaysia satu kes membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun dilaporkan akhbar tempatan. Dua kampung Orang Asli turut diletakkan di bawah PKP Diperketatkan (PKPD) di Sungai Lui, iaitu Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.

Pelbagai langkah diambil bagi membendung wabak ini. Di Malaysia, tindakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak membenarkan sebarang program khidmat masyarakat dan lawatan kajian penyelidikan ke perkampungan Orang Asli.

Masyarakat Orang Asli juga mengambil inisiatif sendiri melakukan sekatan, termasuk menubuhkan pasukan rondaan kerana tidak mahu orang luar memasuki kawasan penempatan mereka. Sebaran poster dalam pelbagai bahasa etnik Orang Asli juga dilaksanakan.

Di Australia, penyampaian maklumat seperti permainan video dikenali corona cricket, tarian dan cabaran selfie di Instagram dan Facebook diperkenalkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat peribumi.

Selain itu, garis panduan mengenai keselamatan budaya diperkenalkan, iaitu Safety of Aboriginal and Torres Strait Islander people in Mainstream Health Services bagi membendung isu diskriminasi dan perkauman.

Di Kanada, bekalan sarung tangan, cecair pembasmi kuman, ubatan, kit pencegahan dan topeng muka diberikan kepada komuniti peribumi di sana sebagai langkah pencegahan.

Hakikatnya, COVID-19 sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada isu masyarakat minoriti ini. Ia sama seperti isu lain yang diperjuangkan masyarakat peribumi seperti isu hak, ekuiti, iklim, penebangan hutan, ancaman kepada keselamatan makanan dan peminggiran serta diskriminasi kaum.

Justeru, pencegahan penyakit berjangkit global perlu mencakupi masyarakat peribumi ini.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM

Berita Harian X