Ahad, 5 April 2020 | 11:00am
PETUGAS di barisan hadapan terdiri dari Doktor dan Jururawat memakai "Personal Protective Equipment (PPE)", untuk melakukan saringan pesakit yang terkena jangkitan wabak COVID-19 di Zon Saringan di Hospital Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.
PETUGAS di barisan hadapan terdiri dari Doktor dan Jururawat memakai "Personal Protective Equipment (PPE)", untuk melakukan saringan pesakit yang terkena jangkitan wabak COVID-19 di Zon Saringan di Hospital Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali.

'Tabik petugas barisan hadapan, anda benteng kami'

“DI KALA orang lain berkata bosannya duduk di rumah, kami mengira waktu. Mengira waktu nak balik. ‘Pukul berapa jam’ diulang-ulang kerana ada yang tersayang risaukan kami yang berjuang.”

Demikian antara luahan petugas barisan hadapan atau yang saban hari terpaksa berdepan beban tugas yang mencanak, di saat wabak COVID-19 mengganas.

Luahan itu sebenarnya saya petik daripada Facebook NgekTsai Army, milik seorang petugas barisan hadapan di jabatan patologi, yang bertanggungjawab mengendalikan sampel berbahaya pesakit.

Saya percaya bukan anak Sarawak ini seorang sahaja melaluinya, tetapi beban sama dipikul setiap petugas dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan khususnya di hospital dan klinik yang mengendalikan wabak COVID-19.

Itu belum dikira risiko dihadapi mereka ketika mengendalikan pesakit dijangkiti, dengan hanya berbekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) dan prosedur arahan standard (SOP) sebagai perisai.

Berdasarkan sidang media Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sehingga kelmarin angka petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 di negara ini bertambah sehingga 138 kes.

Walaupun hanya tiga kes disahkan sebagai pendedahan semasa aktiviti saringan, ia membuktikan petugas kesihatan sama rapuh seperti kita masyarakat awam ketika berdepan virus COVID-19.

Namun, masih ramai merungut kerana terpaksa berkurung di rumah, sedangkan ia ‘nikmat’ yang sangat didamba petugas barisan hadapan ketika ini.

Bukan sekadar mahu mengelak hiruk-pikuk tugas berat mengendalikan kes COVID-19 yang saban hari terus meningkat, tetapi untuk kembali kepada persekitaran selamat tanpa perlu risau dijangkiti wabak.

Saya percaya ramai dalam kalangan petugas barisan hadapan jika diberi pilihan, lebih sanggup berada di rumah ketika ini berbanding bergelumang dengan virus yang menunggu masa menyerang.

Bukan sahaja petugas dalam sektor penjagaan kesihatan, tetapi semua yang terbabit dalam perkhidmatan penting negara, termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya.

Yang jelas ramai antara mereka rindukan saat tidur lena di bantal empuk di rumah. Tak kurang juga rindukan saat pulang selepas bertugas tanpa perlu risau membawa pulang virus sebagai ‘buah tangan’ untuk anak dan isteri di rumah.

Namun, beban tugas memaksa mereka untuk terus berada di luar. Lebih parah masyarakat terus-menerus memandang ringan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan arahan duduk berkurung di rumah langkah paling selamat mengelak virus COVID-19, serta memutuskan rangkaian penularan wabak itu.

Tidak kita kasihan mendengar rungutan petugas kesihatan yang saban hari terpaksa berkurung dalam PPE yang sangat menyeksakan.

“Susah nak bernafas pakai PPE ni! Panas, sampai bertakung air dekat celah kangkang seluar dalam, dalam boot (kasut), kaki tangan berkedut, tak selesa, haus, nak minum, tapi tak semudah itu apabila PPE telah disarungkan.

Tolonglah hujan, angin bertiup pun dah bersyukur. Itu antara ungkapan yang didengar. Jadi anda masih komplen (merungut) boring (bosan) duduk rumah?,” demikian muat naik NgekTsai Army melalui Facebook miliknya.

Ketika ini penguatkuasaan PKP sudah masuk fasa kedua. Tidak pasti, sampai bila arahan ini akan diteruskan kerana di wilayah Hubei di China pun, perintah berkurung memakan masa dua bulan.

Jadi saya harap berhentilah merungut. Pastikan sikap kita semua tidak menyumbang kepada keperluan melanjutkan tempoh PKP yang akan berakhir 14 april ini.

Seperti kata NgekTsai Army, “Kami memang mengharapkan bantuan, tetapi permintaan kami lebih kepada - rakyat, kerjasamalah dengan kami, duduklah di rumah. Kami tak sabar nak lepas daripada semua ini.”

Semoga kita berjaya mengharungi fasa mencabar ini bersama. Tabik hormat untuk semua petugas barisan hadapan di luar sana.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

Berita Harian X