Jumaat, 10 April 2020 | 10:00am
USAHAWAN PKS turut mendapat perhatian Perdana Menteri menerusi pengumuman Pakej PRIHATIN bertujuan menyokong ekonomi pelbagai lapisan masyarakat sepanjang PKP. - Foto hiasan
USAHAWAN PKS turut mendapat perhatian Perdana Menteri menerusi pengumuman Pakej PRIHATIN bertujuan menyokong ekonomi pelbagai lapisan masyarakat sepanjang PKP. - Foto hiasan

Ekonomi pasca PKP perlu pemulihan komprehensif

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan langkah tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau dikenali Pakej PRIHATIN bernilai RM10 bilion.

Ia memfokuskan golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi antara tunjang utama dalam ekonomi Malaysia, terutama sumbangannya terhadap pasaran buruh di Malaysia.

Ini pakej tambahan susulan pengumunan Pakej PRIHATIN bernilai RM250 bilion pada 27 Mac lalu, dalam usaha berterusan kerajaan menangani kesan COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac dan dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Sudah tiga pakej rangsangan diumumkan kerajaan dengan jumlah keseluruhan RM260 bilion, ataupun 18 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Ia antara tertinggi di dunia dan paling tinggi antara negara sedang membangun.

Secara mudah, ketika negara berada dalam PKP, ekonomi Malaysia seperti dimasukkan dalam ‘peti ais’ dan aktiviti ekonomi terhenti buat sementara.

Jadi, pakej rangsangan PRIHATIN ini dirangka untuk memastikan kesan daripada ‘pembekuan’ aktiviti ekonomi ini seperti rakyat kehilangan mata pencarian, peniaga tidak dapat membayar kos perniagaan seperti bayaran upah, sewa, serta bayaran utiliti, dapat dikurangkan.

Jika langkah ini berhasil, maka usaha seterusnya untuk kembali memulihkan ekonomi dapat diteruskan.

Sememangnya keputusan memasukkan ekonomi Malaysia ke dalam ‘peti ais’ tepat kerana keutamaan kerajaan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia daripada wabak COVID-19.

Apakah ‘senario paling buruk’ cuba dielakkan kerajaan dalam pelaksanaan Pakej PRIHATIN ini? Jawapannya untuk mengelak pengangguran yang berlaku secara besar-besaran dan berpanjangan.

Dalam konteks inilah kita perlu memahami sejauh mana keberkesanan Pakej PRIHATIN kepada ekonomi Malaysia ketika ini. Perlu difahami tiga ciri utama pakej rangsangan ekonomi ini adalah cepat, bersasar dan sementara.

Ia perlu cepat untuk sampai kepada pihak disasarkan. Sebab itulah unit LAKSANA ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan efektif dan efisien. Dan sebab itu juga portal IMSME.COM.MY diumumkan supaya PKS dapat membuat pinjaman seberapa segera yang mungkin, tanpa ada halangan birokrasi seperti sebelum ini.

Pakej rangsangan ini juga bersifat bersasar. Contoh figura dan jenis kedai diberikan - daripada Makcik Kiah ke Madam Lee, hinggalah kepada Restoran Mi Kolok Haji Salleh dan Syarikat Surjit Kaur Sdn Bhd - menunjukkan pakej rangsangan ini begitu bersasar, selain fokus kepada pendapatan golongan B40 dan M40 pada pakej rangsangan PRIHATIN yang pertama.

Jelas di sini kedua-dua sektor formal dan tidak formal disasarkan dengan tuntas dan komprehensif. Hakikat pengumuman langkah tambahan dalam Pakej PRIHATIN ini juga nyata menunjukkan kerajaan begitu responsif terhadap kehendak rakyat dan cuba memastikan ia betul-betul mencapai objektif disasar.

Perlu diingat tiada siapa boleh meramalkan secara tepat berapa lama lagi COVID-19 akan berakhir. Oleh itu, menilai pakej ini daripada perspektif kesempurnaan kurang tepat. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah terus peka dan peduli kepada maklum balas terhadap Pakej PRIHATIN dari masa ke semasa.

Ciri ketiga Pakej PRIHATIN adalah bersifat sementara. Saya fikir ramai kurang faham terhadap ciri ketiga ini. Sebab itu kita mendengar beberapa kritikan.

Contohnya kebanyakan langkah dibuat dalam Pakej PRIHATIN bersifat one-off dan pemberian tunai semata-mata. Dalam isu PKS pula, tidak ada satu mekanisme solid untuk menggunakan keseluruhan ekosistem PKS, manakala bantuan kepada PKS hanya berbentuk pemberian dan bantuan tunai tanpa melihat pembangunan institusi itu sendiri.

Ada juga berhujah bahawa perlu ada penyelesaian berbentuk jangka panjang terhadap kelangsungan PKS di Malaysia. Ada juga menyatakan mungkin dalam tiga hingga enam bulan ini, Pakej PRIHATIN membantu, tetapi bagaimana pula selepas itu?

Bagi saya, semua hujah ini ada meritnya dan perlu difikirkan kerajaan menuju ke hadapan. Namun, isu ditimbulkan tidak sesuai diletakkan dalam Pakej PRIHATIN kerana ciri-ciri pakej rangsangan itu sendiri seperti yang saya sebutkan di atas.

Jadi, apa yang perlu dilakukan kerajaan selepas ekonomi Malaysia dikeluarkan daripada ‘peti ais’ berkenaan? Dengan erti kata lain, apa perlu dilakukan kepada ekonomi Malaysia pasca PKP?

Umum tahu pada peringkat global tahun ini dijangka mengalami krisis ekonomi dan kewangan lebih teruk daripada Krisis Kewangan Global pada 2009 dan ekonomi Malaysia juga dijangka berhadapan kemelesetan ekonomi teknikal tahun ini, yang pertama sejak 2009.

Umum juga tahu apa yang kita alami sekarang belum pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu, menuju ke hadapan pasca PKP, pertama sekali strategi ekonomi perlu diubah daripada pakej rangsangan ekonomi kepada pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi.

Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi ini bagi saya lebih sesuai untuk menangani isu disebutkan di atas.

Secara asasnya, kerajaan perlu menyediakan satu kerangka ekonomi baharu yang berbeza daripada sebelumnya. Akan ada ‘reset’ (set semula) dalam ekonomi dan ini perlu disiapsiagakan, terutamanya dalam ekonomi digital dan ledakan Revolusi Industri 4.0.

Platform digital, terutama kepada PKS, perlu dibina. Masyarakat tanpa tunai mungkin juga sesuatu yang perlu dipercepatkan. Sistem kesihatan dan pendidikan perlu ada satu reformasi struktur yang menyeluruh untuk kita berdepan norma baharu dalam sistem ekonomi Malaysia pasca PKP.

Penulis ialaha Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia.

Berita Harian X