Rabu, 15 April 2020 | 11:01am
Modal insan dalam kalangan murid dan pelajar memerlukan masa yang panjang untuk dibentuk berbanding ekonomi. - Foto hiasan
Modal insan dalam kalangan murid dan pelajar memerlukan masa yang panjang untuk dibentuk berbanding ekonomi. - Foto hiasan

Usah gadai modal insan kerana kejar prestasi

WALAUPUN kes baharu COVID-19 menurun untuk beberapa hari kebelakangan ini, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan kerana masih ada pertambahan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Zon Merah.

Pelanjutan PKP ini ada pro dan kontranya kepada keseluruhan rakyat negara ini dan ia turut memberi kesan kepada pendidikan negara membabitkan sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun, kerajaan akan memastikan pembelaan sewajarnya kepada seluruh warga baik dari sudut pendidikan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

Sebahagian ibu bapa agak terkesan dengan PKP apabila gusar pelaksanaannya yang dilanjutkan akan menjejaskan pembelajaran anak berikutan tidak dapat mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyedari hakikat itu dan menyarankan Kementerian Pendidikan agar murid meneruskan pembelajaran di rumah sepanjang PKP.

Guru mengambil langkah awal dengan penyediaan sumber pembelajaran murid secara dalam talian melalui pelbagai platform. Namun, pembelajaran di rumah melalui platform maya mempunyai kelemahan kerana tidak semua mata pelajaran boleh diterima murid melalui kaedah pembelajaran itu.

Mata pelajaran berfakta seperti Sejarah atau bahasa mungkin sesuai dan mudah difahami menggunakan kaedah pembelajaran kendiri di rumah. Namun, mata pelajaran berformula seperti Matematik, Fizik, Kimia atau seumpamnaya masih memerlukan bimbingan guru.

Ibu bapa yang bukan dalam bidang berkenaan pasti tidak mampu untuk membantu anak mereka belajar subjek berkenaan. Masalah ini lebih ketara dalam kalangan murid sekolah rendah.

Oleh itu, pembelajaran di rumah agak terhad dan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Pandangan pakar pendidikan amat diperlukan dalam memastikan pelaksanaan pembelajaran dari rumah sempurna tanpa memberi kesan lain kepada semua pihak.

Capaian internet satu lagi aspek apabila ia tidak meliputi semua tempat, sekali gus menjejaskan pembelajaran segolongan murid. Walaupun tidak membabitkan banyak kawasan, ia tetap menjadi masalah, terutama bagi kawasan terpencil di Semenanjung dan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Pelajar IPT juga mungkin menghadapi masalah sama seperti murid sekolah dalam masalah capaian internet, khususnya yang sudah berada di kampung bersama keluarga. Mereka memerlukan data internet sendiri dan ia sudah tentu membabitkan kos dalam keadaan kekurangan ini.

Bagaimanapun, bentuk pembelajaran dalam talian sudah menjadi sebahagian kaedah pembelajaran di IPT. Kekangan capaian internet dapat diatasi sekiranya mereka kekal dalam kawasan IPT yang menyediakan liputan internet percuma.

Namun, masalah tetap wujud apabila ada segelintir pelajar tinggal luar kampus yang tidak ada capaian internet percuma di kediaman, ditambah pula keadaan pergerakan ketika ini dihadkan.

Dr Asma Perveen dan rakan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kajian terkini mereka mengenai kesihatan dan psikologi ketika PKP ini, mendapati individu sangat terkesan dalam aspek aktiviti harian, sosial dan pendidikan, tetapi tidak dalam aspek psikologi.

Data diperoleh ini selaras jumlah panggilan diterima untuk mendapat bantuan psikologi secara dalam talian dengan kurang daripada 20 pemanggil sejak Psikologi First Aid dilancarkan pada awal April lalu di Universiti Sains Malaysia (USM).

Ekonomi negara juga terkesan dengan PKP. Berdasarkan tinjauan khas kesan COVID-19 kepada ekonomi dan individu yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia, mendapati 52.6 peratus responden sangat terkesan dengan kewangan yang memberi impak tertentu kepada mereka.

Sebahagian responden pula menjangkakan pendapatan mereka akan berkurangan sehingga 50 peratus berbanding biasa sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun pakar menegaskan bahawa ekonomi negara boleh dijana dan dipulihkan kerana negara memiliki ruang fiskal dan sumber dalaman yang baik. Sebaliknya modal insan dalam kalangan murid dan pelajar memerlukan masa panjang untuk dibentuk.

Walaupun negara mengelak daripada kerugian dalam aspek ekonomi, kehilangan modal insan adalah lebih besar berbanding kerugian dalam bentuk kewangan atau ekonomi.

Sekiranya PKP ini dapat ditamatkan dengan cepat, ia akan mempercepatkan dan memberi ruang yang lebih mudah untuk kerajaan memulihkan ekonomi dengan kemampuan ruang fiskal dan sumber dalaman.

Oleh itu, kesihatan rakyat perlu diutamakan kerana kewangan negara masih mampu bertahan lama.

Jika penularan COVID-19 dapat dibendung dalam beberapa bulan terdekat, maka negara kurang menghadapi risiko tinggi dalam memulihkannya. Malah, sebaliknya berlaku pandemik ini tidak ditangani dengan cepat.

Justeru, sekolah dan IPT perlu dibuka semula apabila negara benar-benar dapat memutuskan rantaian COVID-19. Sesi persekolahan perlu dijadualkan mengikut keadaan semasa negara bagi memastikan kelangsungan pelaksanaannya seiring keperluan PKP.

Takwim sekolah dan IPT boleh disesuaikan dengan keadaan semasa pandemik COVID-19. Sekiranya perlu, sesi persekolahan 2020 akan tamat pada tahun berikutnya.

Situasi sekarang ini memerlukan kerjasama dan kesefahaman ibu bapa serta sekolah demi kepentingan semua pihak. Nyawa individu yang juga modal insan negara tidak harus digadaikan demi kepentingan prestasi semata-mata kerana nyawa seseorang itu lebih diutamakan.

Penulis adalah Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Berita Harian X