X
Isnin, 20 April 2020 | 10:00am
ANAK mesti diajar jaga kebersihan diri dan tempat sebelum masuk alam persekolahan. Foto Hiasan.
ANAK mesti diajar jaga kebersihan diri dan tempat sebelum masuk alam persekolahan. Foto Hiasan.

Mengakar budaya tabiat kental kebersihan

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengambil langkah bijak dan berani apabila mengumumkan pembatalan peperiksaan serta penundaan sesi persekolahan.

Namun, ini antara pelbagai langkah berani yang akan menyusul seterusnya. Kita sering diperingatkan bahawa COVID-19 akan terus mengubah segalanya, termasuk pembelajaran dan pendidikan.

Ini bermakna masa hadapan sekolah dan institut pendidikan amnya tidak terkecuali. Bagaimana? Di sini dihulurkan cadangan berasaskan empat faktor.

Pertama, faktor ‘tandas’ sebagai simbol kebersihan hatta kesihatan. Ini pengajaran terpenting wabak berkenaan dengan peringatan sering membasuh, malah mencuci tangan sebanyak kali mungkin.

Gunakan sabun ataupun bahan pencuci tangan yang dipanggil ‘sanitizer’ atau cecair pembasmi kuman, kalau tiada sabun.

Maksudnya hanya dengan menjaga kebersihan asas wabak dapat dihindarkan. Nampak mudah, tetapi sukar jika tidak dibudayakan sejak kecil. Sebaiknya, pembudayaan dilakukan melalui asuhan dan pendidikan dari rumah lagi.

Orang Jepun memahami perkara ini dengan mendalam apabila kebersihan dijadikan asas penting pendidikan sejak sebelum bangku sekolah dalam usia begitu muda.

Tabiat kental kebersihan boleh membawa kepada penjagaan kesihatan yang mantap lagi meluas pada segenap peringkat masyarakat.

Di sinilah gagalnya sistem pendidikan kita daripada hampir semua lapisan. Maka, satu langkah berani diperlukan supaya tandas di semua sekolah, maktab, universiti, bahkan di kementerian sekalipun boleh bertukar wajah dalam kerangka pasca COVID-19.

Kedua, berkaitan teknologi. Bukan sekadar internet dan media sosial tetapi lebih asas daripada itu. Teknologi yang boleh menjamin kebersihan yang merata tanpa mengenal sempadan wilayah bandar dan kampung, kaya dan miskin, ataupun tumpuan tertentu kerana ia adalah hak asasi untuk semua menikmati penjagaan kesihatan paling rapi.

Pasca COVID-19 menuntut teknologi yang berupaya mengalirkan air bersih lagi membersihkan diutamakan, mengatasi internet dan sebagainya sekali pun.

Kenapa? Alatan internet serta peranti lain antara yang terkotor dari segi kesihatan. Ini terbukti daripada sebaran COVID-19 yang meluas apabila peralatan teknologi dikongsikan.

Ini bermaksud membersihkan tangan ataupun peralatan berkenaan paling mustahak. Apatah lagi apabila peranti dibawa merata tempat, termasuk tandas dan umpamanya.

Malah, kini sebaliknya yang terjadi. Makmal dan bilik komputer dijaga rapi, tandas serta bilik air dibiarkan kotor dan tidak terurus.

Jelas satu lagi langkah berani diperlukan untuk menyediakan bekalan air berterusan melalui apa cara jua pun, termasuk teknologi yang sesuai.

Ketiga, ‘tahfiz’ sebagai contoh apa yang sedang berlaku, terutama dalam bentuk kluster COVID-19 positif seperti diumumkan Kementerian Kesihatan, baru-baru.

Ramai yang tertanya-tanya mengapa ini harus berlaku. Hal ini berbalik kepada faktor kebersihan dan kesihatan, adakah ini antara sebab memungkinkan jangkitan berlaku dengan pantasnya membabitkan kepada bukan sebuah sekolah tahfiz, tetapi banyak.

Secara perbandingan dengan sekolah biasa ia amat membimbangkan. Apalagi mengenangkan bahawa sekolah tahfiz berasaskan agama dan sudah tentu mempunyai banyak kelebihan daripada sekolah biasa.

Misalnya dalam mengekalkan ‘nyawa’ berpandu kepada maqasid syariah. Jika ini dikaitkan dengan perhimpunan Tabligh sama ada di Malaysia, Indonesia mahupun Pakistan atau India, persoalannya menjadi bertambah kusut dan rumit.

Sehingga hari ini masih belum ada penjelasan yang boleh memberi keyakinan bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang sebagai suatu penyelesaian mutlak.

Jelas ini satu lagi cabaran yang memerlukan langkah berani. Bukan sangat kerana ia tahfiz atau Tabligh, tetapi lebih kerana ia menjadi kluster COVID-19 yang mengancam banyak nyawa yang tidak berdosa.

Akhir sekali, transformasi. Ini mengambil kira langkah berani yang dinyatakan sebelum ini serta pelbagai lagi apa yang yang bakal dihadapi.

Pendek kata, apa sahaja boleh bertukar sehinggakan memerlukan satu bentuk transformasi dan tunjuk ajar baharu yang boleh mengakarkan budaya serba baharu.

Yakni dalam isu penjagaan kebersihan dan kesihatan; mengutamakan teknologi yang memperkuatkan kualiti kehidupan serta nilai kemanusiaan melalui pendidikan serta pembelajaran sahsiah.

Ini juga bermaksud keperluan memperhebatkan sikap, set minda mahupun pandangan alam pasca COVID-19. Apakah ia pendidikan sama ada berjaya membawa transformasi yang diteladani daripada kesan wabak COVID-19 bergantung banyak kepada bagaimana unsur empat T dimulakannya sebagai kerangka asasnya.

Jika tidak, besar kemungkinan serangan pasca COVID-19 akan berterusan dan pendidikan menjadi mangsa terbesarnya. Kita doakan kebijaksanaan KPM berkekalan.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Berita Harian X