Jumaat, 4 Ogos 2017 | 3:56pm
AGI mendeklamasikan puisi pada Malam Puisi Riong, di Istana Budaya pada Disember 2012. - Foto fail NSTP/Izhari Ariffin
AGI pada Malam Puisi Riong 2013 di Laman Beringin, Istana Budaya. - Foto fail NSTP/Nashairi Mohd Nawi

Puisi hargai sasterawan Abdul Ghafar Ibrahim malam ini

KUALA LUMPUR: Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP: Malam Puisi AGI-AGI & KeGhafar-Ghafaran akan diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) di sini, jam 8 malam ini.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dalam kenyataannya berkata, ia diadakan sebagai penghargaan khusus kepada sasterawan Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai AGI.

"AGI ialah penyair, penulis dan karyawan yang banyak menyumbangkan hasil karya serta buah fikiran dalam bidang seni dan kesusasteraan tanah air.

"Antara yang akan membuat persembahan dan deklamasi puisi pada malam ini ialah Wani Ardy, Ariff Fardillah, The Rascalz, Muhammad Shahrin Haron, Puzi Hadi dan rakan seperjuangan AGI dalam kalangan Sasterawan Negara (SN), penulis, penggiat dan peminat sastera tanah air," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, acara bulanan terbabit turut menjadi medan untuk penggiat seni tanah air bertemu dan mengeratkan jaringan sosial selain membincangkan hal ehwal kesusasteraan dan dunia buku di negara ini.

"Ia juga menjadi pentas terbuka untuk mempersembahkan keunikan dan kepelbagaian penyampaian puisi masing-masing.

"Turut dipamerkan ialah karya AGI terbitan ITBM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)," kata kenyataan itu.

Berita Harian X