Isnin, 19 Februari 2018 | 7:48am
PENGARAH Urusan Luqsar Kreatif Sdn Bhd (Luqsar Kreatif), Heykal Hanifah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Buka ruang, sedia slot adaptasi karya sastera

KAJANG: Stesen televisyen perlu mula membuka ruang bagi menyediakan slot siaran khusus untuk memastikan adaptasi karya sastera dapat turut sama 'menyelit' dalam keghairahan masyarakat hari ini menonton naskhah adaptasi popular.

Penyediaan slot bagi adaptasi karya sastera ini dilihat antara kae-dah berkesan bagi mendidik penonton tempatan untuk turut sama menghayati karya sastera berkualiti yang dihasilkan pengarang tanah air.

Pengarah Urusan Luqsar Kreatif Sdn Bhd (Luqsar Kreatif), Heykal Hanifah berkata, dengan penyampaian yang lebih 'memesrakan' khalayak, penonton akhirnya akan terbuka untuk melihat tarikan karya sastera di negara ini.

"Kita perlu akui cerita sastera ini tidak menjadi kegemaran semua sebab ada masanya ia disifatkan sebagai agak berat.

"Saya sendiri pernah menonton sebuah filem adaptasi sastera sebanyak tiga kali sebelum betul-betul dapat memahami jalan ceritanya," katanya.

Heykal berkata, hal ini terjadi kerana penonton sudah terlalu biasa dengan karya yang lebih ringan. Untuk mendidik mereka menerima karya sastera, mengapa tidak naskhah sastera digarap sebagai karya adaptasi yang membolehkan ia difahami penonton tempatan.

Jika stesen televisyen bersedia menyediakan slot untuk naskhah sastera ini sekali seminggu misalnya, ramai pengarah tanah air yang berupaya muncul dengan adaptasi karya sastera yang baik.

"Saya percaya akhirnya kita akan dapat menggamit penonton untuk menghargai karya sastera tempatan," katanya ketika ditemui di pejabat Luqsar Kreatif, di sini.

Penonton selesa dengan drama ringan

Heykal mengakui menarik perhatian penonton kepada sesuatu yang agak asing buat mereka bukan perkara mudah misalnya yang berlaku kepada drama arahannya, Adakah Aku Bersalah, yang disiarkan baru-baru ini.

Menurut Heykal, drama itu berdepan dengan cakap-cakap penonton apabila dikatakan tidak mempunyai pengakhiran hanya disebabkan beliau mahu lari daripada klise dan menyuruh penonton berfikir sendiri.

Meskipun ramai terlalu selesa dengan hidangan drama ringan, tetapi menurut Heykal masih ada kelompok penonton yang menghargai pembaharuan sebegini.

"Kita ambil contoh drama Pok Ya Cong Codei arahan Sabri Yunus yang lari daripada 'ramuan' aliran drama popular hari ini.

"Bukan sahaja tidak memerlukan kehadiran pelakon terkenal yang menjadi kegilaan penonton malah ia juga dibawa dalam dialek negeri.

"Garapan sebegini yang kita mahu untuk memastikan sebuah drama itu mendapat perhatian," katanya.

Tegas Heykal, selain karya sastera, masyarakat umumnya dan penggiat seni khususnya perlu juga memberi tumpuan kepada agenda mengangkat kekayaan tradisi dan kebudayaan tempatan kerana jika dibiarkan, lama kelamaan generasi baru akan melupakannya.

Simpan hasrat angkat karya sastera

Heykal yang berpeluang mengarah empat drama adaptasi termasuk karya novelis, Ridhya Iman, iaitu Titian Cinta yang menerima sehingga 11 juta penonton sepanjang disiarkan berkata, sebagai seorang pengarah, beliau sendiri menyimpan hasrat besar untuk mengangkat karya sastera.

Katanya, beliau sudah menyiapkan skrip bagi adaptasi naskhah Seorang Tua di Kaki Gunung karya Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1988, Azizi Abdullah hasil kerjasama TV3 dan Dewan Bahasa dan Pustaka bagaimanapun ia masih belum menjadi kenyataan sehingga kini.

Sebagai karyawan seni katanya mereka juga sedar dengan tanggungjawab penting dalam menghidangkan naskhah yang baik kepada penonton, tetapi peluang terbabit dengan karya naskhah sastera tidak selalu diperoleh.

"Sebab itu kalau ada peluang sebegini disediakan stesen televisyen melalui slot khusus, saya melihat pada masa hadapan tidak sukar karya sastera ini diangkat sebagai drama atau filem," katanya.

Heykal juga berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia boleh memberi dana khas bagi adaptasi naskhah sastera ini sebagai galakan supaya lebih ramai karyawan seni dapat mengangkat naskhah sastera.

17 dibaca
Berita Harian X