Jumaat, 23 Februari 2018 | 12:38pm
Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Buku tegaskan Islam bukan penumpang di alam Melayu

KEDATANGAN dan penyebaran Islam di alam Melayu semakin diremehkan dan hanya terselit dalam bahagian awal teks sejarah hingga tidak hairanlah sebarang usaha penerapan syariat dan hakikat agama itu disindir sebagai Arabisasi.

Bagaimana Islam datang ke alam Melayu pula dianggap polemik dengan pilihan terbuka dan sama taraf; apakah agama ini berasal dari India, China atau Arab dan golongan mana bertanggungjawab menyebarkannya, sama ada pedagang atau pendakwah?

Inilah teori yang sering menimbulkan tanda tanya mengenai hakikat pengislaman atau Islamisasi alam Melayu termasuk Tanah Melayu pada zaman moden menjadi Malaysia selepas disertai Sabah dan Sarawak.

Malah kepelbagaian teori itu makin dirumitkan dengan wujud pandangan kononnya Islamisasi alam Melayu berlaku kesan persaingan Muslim dengan Kristian.

Semua teori ini hanya menimbulkan keraguan yang lebih khilaf terhadap kedudukan Islam sebagai agama yang membangunkan tamadun, apatah lagi digandingkan pula dengan sejarah Hinduisme dan Budisme atau hanya sebagai reaksi terhadap Barat.

Mujur saja pandangan keliru sebegini diperbetulkan oleh sarjana dan ulama di alam Melayu sendiri seperti Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas apabila mengarang buku Historical Fact and Fiction diterbitkan pada 2011.

Bagaimanapun lama sebelum itu, Prof Al-Attas sebenarnya sudah menulis buku Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago yang menegaskan hakikat kedatangan dan penyebaran Islam di alam Melayu.

Buku kali pertama diterbitkan pada 1969 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu, sebenarnya sudah menjadi karya langka tetapi Ta'dib International pada tahun ini menerbitkannya dalam bentuk edisi 'impression.'

Buku ini membentangkan kronologi sejarah dan peranan Islam di alam Melayu yang meskipun ringkas dan padat, ia memberikan gambaran ilmiah yang meyakinkan, iaitu paling awal direkodkan adalah penempatan Arab di timur Sumatera pada tahun 55 Hijrah atau 674.

Teori kedatangan Islam

Antara pemerhatian Prof Al-Attas dalam buku ini yang perlu diberi perhatian adalah perbezaan pengaruh Hinduisme dan Budisme yang tidak mengakar serta menyeluruh dengan peranan Islam dalam kebudayaan dan ketamadunan Melayu.

Teori kedatangan Islam dari India turut disangkal kerana bukan saja tidak melihat makna hakikat Islam dan hanya berdasarkan trend Hinduisme-Budisme, selain tidak mengambil kira tiadanya rekod pengarang atau karya penulis asal India dan identiti pendakwah asal berbangsa Arab atau Arab-Parsi serta kebanyakannya golongan sayyid dari Hadramaut.

Begitu juga sejarah bahasa Melayu yang turut mendapat sorotan dalam buku ini dengan menghubungkaitkannya dengan Islam sehingga ia menjadi bahasa terpenting bukan saja dalam konteks perdagangan, bahkan keilmuan dan keintelektualan.

Membaca buku ini sebenarnya sudah cukup meneguhkan keyakinan terhadap keagungan dan kehebatan Islam sebagai agama yang membina tamadun serta bukannya bersifat tempelan atau menumpang.

2401 dibaca
Berita Harian X