Khamis, 26 April 2018 | 5:32pm
PETER Englund.
PETER Englund.

Krisis serangan seksual tangguhkan Hadiah Nobel Sastera?

STOCKHOLM: Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018 berkemungkinan bakal ditunda ekoran Akademi Sweden dilanda krisis membabitkan tuduhan rogol dan serangan seksual yang dilakukan suami oleh salah seorang anggotanya.

"Kami sedang menimbangnya. Kami akan memberitahu anda kelak," kata Setiausaha Tetap Sementaranya, Anders Olsson.

Mengikut Radio Sweden, beberapa anggota Akademi Sweden mencadangkan untuk menangguhkan hadiah pada tahun ini dan penganugerahannya diadakan bersama-sama edisi tahun depan.

"Berdasarkan situasi yang terpaksa dihadapi oleh Akdaemi Sweden dan kepentingan terbaik hadiah itu, adalah lebih baik ia ditunda kepada tahun depan," kata Peter Englund.

Englund adalah antara lima anggota Akademi Sweden yang mengundurkan diri ekoran skandal itu, termasuk Setiausaha Tetapnya, Sara Danius.

Bagaimanapun anggota lain, Goran Malmqvist, menolak saranan itu dan memberitahu agensi berita TT bahawa ia akan diteruskan seperti yang dirancang pada tahun ini.

Secara teknikalnya, 18 anggota Akademi Sweden dilantik sepanjang hayat dan tidak boleh meletak jawatan tetapi mereka boleh memilih untuk tidak menyertai mesyuarat dan membuat keputusan.

Sekarang seramai tujuh anggota tidak lagi menjadi ahli aktif yang memberikan kekusutan: mengikut peraturannya, 12 anggota diperlukan untuk mengundi ahli baharu.

Raja Sweden, King Carl XVI Gustaf yang menjadi penaung kepada akademi yang ditubuhkan pada 1786, bersetuju untuk mengubah peraturan bagi membolehkan anggotanya meletak jawatan dan digantikan, sekali gus memastikan kelangsungan hayat institusi itu.

Skandal yang menjadi pusat kepada tuduhan oleh 18 wanita pada November - ekoran kempen #MeToo - yang mendakwa mereka menjadi mangsa gangguan dan serangan seksual oleh Jean-Claude Arnault, iaitu suami kepada anggota Akademi Sweden dan penyair, Katarina Frostenson. Arnault menafikan tuduhan itu.

Selepas wanita berkenaan bercakap dengan media, Akademi Sweden memutuskan semua hubunga ndengan Forum Kelab Budayanya di Stockholm yang menerima dana beberapa tahun dan menjadi pusat pertemuan penting kepada elit budaya negara berkenaan.

Bagaimanapun, ia memecahkan Akademi Sweden dengan wujudnya perselisihan bagaimana menggariskan tindakan susulan dan apakah langkah yang perlu diambil selepas laporan Akademi mendedahkan pertembungan kepentingan serta fakta ada anggotanya membocorkan nama pemenang Nobel.

Satu kem mempertahankan Frostenson dan orang lama Akademi, manakala kelompok lain menyokong Danius yang mahu melaksanakan reformasi.

Pendakwa raya menggugurkan sebahagian siasatan terhadap Arnault - berkaitan tuduhan rogol dan serangan antara 2013 dengan 2015 - disebabkan kekurangan bukti. Tuduhan lain masih dalam penyiasatan.

Skandal itu memalitkan lumpur kepada Akademi Sweden.

"Ia memusnahkan reputasi Hadiah Nobel," kata Mattias Berg, yang membuat liputan kebudayaan untuk SR radio kepada AFP.

Hadiah Nobel Kesusasteraan pernah ditangguhkan sebanyak tujuh kali sejak kali pertama dianugerahkan pada 1901. Tahun yang ditunda ialah pada 1914, 1918, 1935, 1940, 1941, 1942 dan 1943.

Berita Harian X