Selasa, 1 Mei 2018 | 5:47am

Skandal seks tangguhkan Hadiah Nobel Sastera?

HADIAH Nobel Kesusasteraan memang tidak sunyi daripada kontroversi sejak kali pertama dianugerahkan pada 1901.

Bagaimanapun kontroversi yang melanda hadiah sastera paling berprestij dunia itu, tidak sampai menggegarkan asas kepada badan yang mengendalikannya, iaitu Akademi Sweden.

Tidak seperti sebelum ini, tuduhan rogol dan serangan seksual terhadap suami kepada salah seorang anggotanya, Katarina Frostenson, menyebabkan akademi itu dilanda krisis, bagaimanapun menafikan dakwaan 18 wanita yang disiarkan pada akhbar tempatan.

Tuduhan itu menjadi sebahagian daripada gelombang besar kempen #MeToo yang menggegarkan dunia politik, hiburan dan seni termasuk sastera.

Mereka mendakwa menjadi mangsa gangguan dan serangan seksual suami Frostenson, iaitu Jean-Claude Arnault. Arnault menafikan tuduhan itu.

Selepas isu itu terdedah di media, Akademi Sweden memutuskan semua hubungan dengan Forum Kelab Budaya kendalian Arnault yang sekian lama menerima dana daripada badan itu dan menjadi pusat pertemuan penting kepada elit budaya negara berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Arnault turut disiasat oleh pihak berkuasa Sweden berhubung kes jenayah ekonomi yang juga berkait dengan Akademi Sweden.

"Siasatan awal terhadap jenayah ekonomi dalam kes yang dikaitkan dengan Akademi Sweden sudah dilancarkan," kata Pihak Berkuasa Jenayah Ekonomi Sweden dalam satu kenyataan tanpa mendedahkan suspek atau jenis jenayah yang dilakukan.

Minggu lalu, akademi itu seperti dipetik AFP berkata, ia sudah memberikan penyiasat hasil penemuan siasatan dalaman berhubung isu pembayaran geran kepada kelab kebudayaan kendalian tokoh seni Perancis terbabit.

Ekoran skandal itu, tidak mustahil Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018 boleh ditunda ekoran lima anggotanya mengambil tindakan untuk mengundurkan diri termasuk Setiausaha Tetapnya, Sara Danius.

Nama pemenang bocor

Selain wanita pertama yang memegang jawatan itu, turut berbuat demikian ialah Peter Englund.

Skandal seks itu menambahkan kekusutan yang berlaku dalam kalangan anggotanya hingga terpecah dua apabila berbeza pandangan dalam isu bagaimana akademi perlu bertindak, selain laporan yang diterima mendedah-kan pertembungan kepentingan dan ada anggota membocorkan nama pemenang Nobel.

Ini disebabkan satu pihak mempertahankan Frostenson dan penjaga Akademi, manakala kelompok lain pula menyokong reformasi yang dicarankan oleh Danius.

Tindakan itu bermakna kini seramai tujuh anggota tidak lagi menjadi ahli aktif termasuk dua orang yang sudah pun berbuat demikian beberapa tahun lalu.

Malah Sabtu lalu, Reuters melaporkan Akademi Sweden memaklumkan seorang lagi anggota mungkin mengundurkan diri.

Jurucakapnya berkata, Sara Stridsberg meluahkan keinginan untuk meninggalkan tugas sebagai anggota.

Secara teknikalnya, 18 anggota Akademi Sweden dilantik sepanjang hayat dan tidak boleh meletak jawatan tetapi mereka boleh memilih untuk tidak menyertai mesyuarat dan membuat keputusan.

Ini menambahkan kekusutan dalam perjalanan Akademi Sweden kerana mengikut peraturan, 12 anggota diperlukan untuk mengundi ahli baharu.

Minggu lalu, Radio Sweden melaporkan beberapa anggota Akademi Sweden mencadangkan untuk menangguhkan hadiah pada tahun ini dan penganugerahannya diadakan bersama-sama edisi tahun depan.

Englund berkata, berdasarkan situasi yang terpaksa dihadapi oleh Akademi Sweden dan kepentingan terbaik hadiah itu, adalah lebih baik ia ditunda kepada tahun depan.

Bagaimanapun anggota lain, Goran Malmqvist, menolak saranan itu dan memberitahu agensi berita TT seperti dipetik AFP bahawa ia akan diteruskan mengikut yang dirancang.

Ini kerana ada laporan Raja Sweden, King Carl XVI Gustaf yang menjadi penaung Akademi Sweden bersedia untuk mengubah peraturan untuk membolehkan anggotanya meletak jawatan dan diganti.

Dalam perkembangan sama, pendakwa raya menggugurkan sebahagian siasatan terhadap Arnault - berkaitan tuduhan rogol dan serangan antara 2013 dengan 2015 - disebabkan kekurangan bukti. Tuduhan lain masih dalam penyiasatan.

Berita Harian X