Khamis, 3 Mei 2018 | 2:37pm

Nasib penganugerahan Nobel Sastera 2018 diketahui esok

STOCKHOLM: Kedudukan Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018 sama ada ditangguh atau tidak, bakal diketahui apabila Akademi Sweden mengumumkannya esok.

Pengarahnya, Louise Hedberg, berkata pengumuman itu sebagai susulan daripada krisis yang membabitkan individu dituduh melakukan serangan seksual.

Ditanya apakah Akademi akan turut mengumumkan sama ada akan membuat pemilihan pemenang pada tahun ini, Hedberg memberitahu Radio Sweden: "Ya, ia benar. Tidak akan ada sidang media tetapi kami akan menghantar kenyataan rasmi.

Beliau menambah siaran akhbar akan dibuat secepat mungkin selepas mesyuarat anggota Akademi Sweden.

Dihubungi oleh AFP, Hedberg bagaimanapun tidak memberikan komen dengan segera.

Institusi berprestij itu digegarkan dengan testimoni 18 wanita pada November yang menuduh tokoh budaya Perancis yang tersohor - yang mempunyai hubungan rapat - dengan tuduhan keganasan dan gangguan seksual.

Selepas gagal untuk mengawal krisis, tujuh daripada 18 anggotanya meletak jawatan termasuk Setiausaha Tetapnya, Sara Danius.

Seramai 18 anggotanya secara teknikal dilantik seumur hidup dan tidak boleh meletak jawatan tetapi mereka boleh memilih untuk tidak menyertai sebarang mesyuarat dan pembuat keputusan.

Seorang lagi anggotanya menjadi tidak aktif sejak 1989 apabila Akademi menolak untuk mengutuk fatwa terhadap Salman Rushdie berikutan penerbitan novelnya, The Satanic Verses. Bagaimanapun institusi itu berbuat demikian 27 tahun kemudian.

Berdasarkan peraturannya, sekurang-kurang 12 anggota diperlukan untuk membolehkan undian terhadap ahli baharu, sekali gus memeningkan kapala kepada 10 ahli yang masih ada.

Skandal itu mencetuskan spekulasi di media mengenai nasib hadiah sastera yang pada tahun lepas diberikan kepada pengarang British, Kazuo Ishiguro dan penyanyi serta penulis lagu Amerika Syarikat (AS), Bob Dylan pada 2016.

Raja Sweden, King Carl XVI Gustaf, yang menjadi penaung Akademi Sweden yang diasaskan pada 1786, bersetuju untuk mengubah peraturan bagi membolehkan anggota meletak jawatan dan digantikan, sekali gus meneruskan daya hidup institusi.

Hadiah Nobel Kesusasteraan pernah ditangguhkan sebanyak tujuh kali sejak kali pertama dianugerahkan pada 1901, iaitu 1914, 1918, 1935, 1940, 1941, 1942 dan 1943. - AFP

Berita Harian X