Isnin, 7 Mei 2018 | 2:19pm

Lelongan seni dijangka hebat selepas 'karya da Vinci RM3.94 bilion'

NEW YORK: Enam bulan selepas menjual karya Leonardo da Vinci yang mencecah AS$1 bilion (RM3.94 bilion), musim lelongan seni New York kembali dengan sasaran memecah rekod yang mempertaruhkan koleksi hebat Rockefeller dan Modigliani.

Koleksi itu dikumpulkan oleh mendiang jutawan pemilik bank, David Rockefeller, yang meninggal dunia pada usia 101 dan balunya, Peggy.

Secara keseluruhan, firma lelongan Christie menawarkan 1,600 item dalam tempoh tiga hari yang dijangka akan memperoleh AS$600 (RM2.36 bilion). Hasilnya akan disalurkan untuk amal.

Permata koleksi itu ialah adi karya Picasso yang dihasilkan pada tahun 1905, Fillette a la Corbeille Fleurie (Young Girl With a Flower Basket). Ia dibeli oleh Gertrude dan Leon Stein, bersama dua lukisan dari Era Rose yang menjadi batu loncatan kepada kerjaya seniman berkenaan.

Karya Picasso itu sahaja dinilai pada AS$100 juta (RM394 juta) tetapi jumlah keseluruhan dijangka akan memecahkan rekod sebelumnya untuk set koleksi oleh Yves Saint Laurent dan Pierre Berge, yang memperoleh AS$484 juta (RM1.91 bilion) pada 2009.

Buat kali pertama, Christie pada tahun ini akan melanjutkan jualan musim bunganya lebih dua minggu, dua kali ganda daripada tempoh secara tradisinya, yang bermula esok.

Hal ini bermula selepas Christie menjual karya da Vinci, Salvator Mundi, yang berusia 500 tahun mencecah AS$450.3 juta (RM1.77 juta) pada November lalu, sekali gus menjadikan ia sebagai karya seni termahal yang pernah berjaya dilelong.

Pengerusi Bersama Karya Pascaperang dan Kontemporari di Christie, Loic Gouzer, berkata selepas Leonardo, mereka melalui tiga minggu yang agak menurun tetapi kembali teruja dengan projek baharu.

"Tidak hanya jualan Rockefeller menjadi jualan terbesar yang pernah kita anjurkan di Christie tetapi jualan karya impresionisme dan moden turut disenarai sebagai jualan terbesar.

"Ia mungkin bakal menjadi musim terbesar Christie yang pernah berlaku," kata kepada AFP.

Tumpuan minggu kedua di Sotheby adalah pada jualan 14 Mei membabitkan karya Amedeo Modigliani yang dijangka mencecah lebih AS$150 juta (RM591 juta), iaitu anggaran prajualan tertinggi untuk karya seni dalam majlis lelongan.

Karya pelukis Itali itu yang lain dijual dengan harga AS$170.4 juta (RM671.6 juta) pada 2015, sekali gus menjadi hasil seni ketiga termahal yang berjaya dilelong.

Bukan hanya ia adalah karya Modigliani Nu Couche (Sur Le Cote Gauche) yang ketiga terbesar, malah Sotheby menggelarkannya sebagai arca baring yang terhebat. Ia pernah menjadi tumpuan pada pameran retrospektif di Galeri Tate Modern di London.

Sementara itu, Ketua Bersama Seni Impresionisme dan Moden di Sotheby, Simon Shaw, berkata Modigliani secara diam-diam merevolusikan lukisan bogel dalam karya seni - yang berakar kepada tradisi tetapi mencerminkan perubahan status wanita semasa Perang Dunia Pertama.

Secara keseluruhan, musim ini menampilkan lima karya yang dianggarkan bernilai AS$70 juta (RM276 juta) atau lebih, termasuk lukisan Malevich and arca Brancusi, sekali gus akan menguji sejauh mana peningkatan pasaran seni dunia.

"Saya fikir kehendak pasaran berada pada tahap tinggi sekarang terhadap karya paling unggul. Ia pasaran yang selektif. Tidak semua karya akan memenuhi selera," kata Shaw.

Selepas pemasaran bertubi-tubi yang hebat sekitar Salvator Mundi pada November lalu, musim bunga memberikan lebih fokus terhadap generasi baharu dari kalangan pembeli yang membina koleksi berlainan daripada sebelumnya.

Secara tradisionalnya, ia terbahagi kepada impresionisme dan moden serta pascaperang dan kontemporari, kategori sebegitu semakin terhakis apabila generasi baharu bukan hanya mahukan pelaburan bijak, bahkan memburu simbol kepada status unggul.

Christie dan Sotheby yang ditubuhkan pada abad ke-18 di London yang masih mendominasi pasaran, menempuh period yang bercampur-campur dalam pameran prajualan.

Shaw berkata, kolektor mahukan karya terbaik dalam jenisnya berbanding mengumpul aliran atau period tertentu dan menganggap kewujudan kategori semakin ketinggalan zaman.

"Ia akan menjadi musim yang hebat. Kita sudah menyaksikan banyak karya seni agung dalam pasaran lelongan mutakhir ini tetapi tidak pernah ada seperti kali ini," katanya. - AFP

Berita Harian X