Khamis, 10 Mei 2018 | 2:51pm
JEAN-CLAUDE Arnault. - Foto AFP
JEAN-CLAUDE Arnault. - Foto AFP

Tiada Hadiah Nobel Sastera tahun ini

STOCKHOLM: Tiada Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini, sebaliknya badan pengendalinya, Akademi Sweden akan memberi tumpuan terhadap reformasi dalaman untuk mengembalikan reputasinya yang tercalar akibat dakwaan gangguan seksual dan kebocoran maklumat.

Skandal itu mengancam kredibiliti anugerah berkenaan dan menarik perhatian yang belum pernah diterima oleh akademi yang selama ini terkenal dengan kerahsiaan dalam memilih pemenang dan sering membingungkan peminat sastera di seluruh dunia.

Di tengah-tengah deretan tuduhan serangan dan gangguan seksual oleh beberapa wanita terhadap Jean-Claude Arnault yang juga jurugambar dan tokoh budaya terkenal di Sweden yang berkahwin dengan penyair serta anggota Akademi Sweden, Katarina Frostenson.

Arnault turut dituduh membocorkan nama pemenang hadiah mendahului pengumuman rasmi yang menjadi acara budaya utama yang mendapat liputan dari media dunia setiap tahun.

Arnault menafikan semua tuduhan terhadapnya termasuk menjadi sumber yang membocorkan nama, kata peguamnya.

Dagens Nyheter yang menerbitkan tuduhan 18 wanita terhadap Arnault, turut melaporkan siasatan dalaman Akademi Sweden yang mendakwa Arnault membocorkan nama pemenang yang dikawal ketat dalam tujuh insiden.

Akhbar itu menyebut kebocoran itu berlaku termasuk penyanyi dan penulis lirik Amerika Syarikat (AS), Bob Dylan pada 2016; pengarang Perancis, Jean-Marie Gustave Le Clezio (2008) dan dramatis British, Harold Pinter (2005).

Akademi Sweden mengakui nama berkenaan dibocorkan tetapi tidak mendedahkan penerima mana atau sumber kebocoran.

Raja Sweden yang juga penaung rasmi, terpaksa masuk campur untuk menggerakkan reformasi Akademi Sweden yang ditubuhkan pada 1786 oleh moyangnya, Gustav III.

Pelantikan anggota akademi itu adalah untuk seumur hidup dan tidak ada sebarang peruntukan rasmi dalam peraturan lama yang membolehkan ahli meletak jawatan. Ia juga bermakna sesiapa yang berundur tidak dapat diganti.

Pada minggu lalu, King Carl XVI Gustaf menyemak peraturan Akademi Sweden untuk membolehkan anggotanya meletak jawatan. Perubahan itu juga bermakna ahli yang tidak ikut serta dalam kerja akademi selama dua tahun, akan dianggap meletak jawatan.

Perubahan lain juga hampir pasti berlaku. Dalam hubungan dengan keputusan menunda hadiah, Akademi Sweden dalam kenyataannya berkata, ia sudah memulakan projek untuk mengubah cara ia menjalankan tanggungjawab tetapi pada masa masih menghormati warisan sejarahnya.

Selain hak untuk meletak jawatan prosedur untuk menangani pertembungan kepentingan dan maklumat rahsia turut diperketatkan, manakala komunikasi dalaman akan dipermodenkan.

Justeru, akademi membuat keputusan yang jarang berlaku untuk menangguhkan Hadiah Nobel Kesusasteraan 2018 yang bermakna pihak itu akan menganugerahkan dua hadiah pada 2019.

Terakhir hadiah itu ditangguhkan semasa Perang Dunia Kedua apabila novelis AS, William Faulkner, menerima hadiah sesi 1949 pada tahun berikutnya.

Risiko terbesar ialah reputasi hadiah yang sering dianggap penghormatan antarabangsa yang paling penting dalam bidang kesusasteraan.

Sementara itu, Yayasan Nobel yang menguruskan harta peninggalan pencipta dinamit, Alfred Nobel berkata, krisis di Akademi Sweden menyebabkan 'lumpur terpalit' pada Hadiah Nobel.

"Keputusan mereka itu menekankan keseriusan situasi berkenaan dan akan dapat mempertahankan reputasi Hadiah Nobel dalam jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan. - Reuters

Berita Harian X