Selasa, 26 Jun 2018 | 9:04pm
MOHD Khair Ngadiron

Malaysia-Iran meterai kerjasama penterjemahan, penerbitan buku

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Pusat Kebudayaan, Kedutaan Republik Islam Iran di Kuala Lumpur (CCIR) memeterai perjanjian kerjasama membabitkan penterjemahan dan penerbitan buku kedua-dua negara.

Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, berkata kedua-dua pihak sudah menetapkan empat perkara dan kerjasama yang akan dilaksanakan secara bersama menerusi perjanjian ini.

"Ia termasuk penterjemahan dan penerbitan karya penyair wanita Iran, Parvin E'tesami, penerbitan buku Antologi Cerpen Malaysia-Iran, penterjemahan dan penerbitan puisi Iran/Parsi ke dalam bahasa Melayu serta penerbitan buku Mathnawi Jalaluddin Rumi dalam versi ekonomi.

"Projek penerbitan ini dijangkakan siap selewat-lewatnya awal tahun hadapan dan akan dipasarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dan Pesta Buku Antarabangsa Tehran, tahun hadapan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam majlis perjanjian kerjasama itu, Mohd Khair mewakili ITBM, manakala CCIR diwakili Kaunselor Kebudayaannya, Ali Mohammad Sabeghi.

Yang turut hadir Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah; Pegawai CCIR, Abdolreza Alami dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Naser-Gholi Sarli.

Mohd Khair berkata, selain penterjemahan dan penerbitan karya, kerjasama itu akan mencakupi gerak kerja selepas penerbitan seperti promosi dan publisiti, pengedaran serta pemasaran dan jualan.

"Antara lainnya, kerjasama ini juga akan menjadi satu bentuk perkongsian, pertukaran kemahiran dan pengetahuan dalam industri penterjemahan serta penerbitan kedua-dua belah pihak.

"Ini juga sebahagian usaha mengukuhkan hubungan bilateral antara Malaysia dengan Iran yang bertujuan menggalakkan pemahaman dan kesedaran akan persamaan serta perbezaan budaya dan nilai kedua-dua negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, ITBM bersama-sama CCIR akan menganjurkan Wacana dan Pelancaran Buku Hamzah Fansuri berjudul Three Treatises: Asrar al-'Arifin, Sharab al-'Ashiqin Al-Muntahi di Wisma ITBM di sini, 31 Julai ini.

Acara itu akan menampilkan tokoh dari kedua-dua negara yang akan mengupas dengan lebih terperinci karya Hamzah Fansuri.

Naskhah hasil kajian dan terjemahan Amir H Zekrgoo dan Leyla H Tajer itu ialah karya dalam tulisan Jawi (bahasa Melayu) pertama diterjemahkan ke bahasa Parsi.

44 dibaca
Berita Harian X