Isnin, 9 Julai 2018 | 1:12pm
PRESIDEN Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Kenyataan sokong UEC tidak perlu dilayan - PENA

KUALA LUMPUR: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyokong pendirian Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik yang tidak akan sewenang-wenangnya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai tiket memasuki perkhidmatan dan universiti awam.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata tuntutan dan kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nee Ching yang mahu memastikan UEC diterima menjelang hujung tahun ini tidak perlu dilayan.

Beliau berkata, ini penting terutamanya demi memelihara sistem pendidikan negara yang dibentuk untuk perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa.

Katanya, bahasa Melayu perlu terus dipertahankan dan sijil peperiksaan sedia ada mesti kekal sebagai syarat memasuki perkhidmatan dan universiti awam.

"Taraf subjek bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah jika dibandingkan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina.

"Bayangkan jika UEC yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan diluluskan, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima.

"Apa akan jadi jika nanti berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban dan Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing hingga akhirnya negara bangsa yang diimpikan Malaysia hancur," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Saleeh berkata, kajian atau referendum tidak perlu dibuat kerana pembentukan negara sejak awal sudah melalui kajian mendalam dan sistem pendidikan diperakukan perlu menggunakan bahasa Melayu.

Katanya, meskipun manifesto Pakatan Harapan (PH) ada menyebut mengenai pengiktirafan terhadap UEC, ia tidak bermaksud perlu dilaksanakan terutamanya jika membawa mudarat yang lebih besar.

"Jangan sampai ketegangan antara kaum berulang. Negara bangsa memerlukan satu nilai sepunya yang didaulatkan justeru bina negara yang harmoni dan rakyatnya bersikap patriotik dan nasionalistik.

"UEC nampaknya bukan hanya diperjuangkan DAP malah MCA dan Gerakan juga turut membawa isu ini melalui suara Dong Zhong.

"Parti politik sudah memperjudikan nasib sistem pendidikan demi undi. Adakah mereka mencari kuasa atau kedaulatan negara?" katanya.

Berita Harian X