Selasa, 24 Julai 2018 | 1:32pm
KARYA Willem de Kooning yang dipamerkan di London pada 2015. - Foto Tristan Fewings/Getty Images

Temui karya jutaan dolar dalam unit storan

NEW YORK: Siapa sangka bidaan sebanyak AS$15,000 (RM60,000) yang dibuat agen seni ke atas unit storan di New Jersey yang dianggap menyimpan barang terpakai, rupa-rupanya ialah urus niaga sekali seumur hidup.

Namun kini beliau percaya unit yang berjaya dibida itu turut menyimpan enam lukisan seniman besar abstrak berbangsa Belanda-Amerika, Willem de Kooning, yang mungkin bernilai jutaan dolar.

Rekod lelongan untuk karya de Kooning ialah AS$66.3 juta (RM270 juta) yang dicatatkan oleh kanvas besar 'Untitled XXV' di rumah lelongan Christie pada 2016, manakala karya lain dijual secara persendirian dengan harga dilaporkan AS$300 juta (RM1.2 bilion) pada 2015.

Selain karya de Kooning, menurut pemilik galeri New York, David Killen, ialah lukisan seniman modenis Swiss, Paul Klee yang turut ditemui dalam unit berkenaan.

Karya itu asalnya dari studio Orrin Riley, bintang dalam perniagaan pemulihan seni yang meninggal dunia pada 1986 dan mewariskan semua kekayaan kepada pasangannya, Susanne Schnitzer, yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 2009.

Wasi kepada Schnitzer - kenalan di New Jersey - menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mencari pemilik sebenar kepada hasil seni itu tetapi tiada seorang pun yang tampil untuk menuntut 200 karya yang tersimpan di unit penyimpanan yang terletak berhampiran kawasan perbandaran Ho-Ho-Kus.

"Jujurnya apa yang saya tahu sebuah rumah lelongan mengabaikannya. Jadi perasaan saya ia tidak lebih barang terpakai.

"Semua benda berada di dalam kotak. Saya hanya berkata: 'Baiklah, saya bida dengan AS$15,000," kata Killen yang menjangkakan barangan itu akan dilelong pada acara lelongan dwibulanannya.

Hanya selepas barangan itu dibongkar, barulah beliau menyedari apa yang dipercayainya sebagai lukisan de Kooning.

Karya itu tidak ditandatangani tetapi Killen berkata, pembaik pulih yang berpangkalan di Long Island yang pernah bekerja dengan Riley dan de Kooning, juga percaya ia adalah asli.

"Saya dapat saksikan sendiri, beliau menggigil. Beliau katakan 'inilah yang dilakukan oleh de Kooning pada dekad 1970-an, satu demi satu," katanya.

Pemulihara seni, Lawrence Castagna, berkata beliau 'betul-betul' percaya enam catan itu hasil karya de Kooning tetapi menekankan ia hanyalah 'pendapat peribadi.'

Castagna berkata, beliau melakukan pembaikan kecil tetapi karya itu akan dijual seperti ia ditemui dan menjangkakan akan menarik minat yang signifikan apabila ia dipamerkan untuk khalayak buat kali pertama dalam tempoh hampir 35 tahun.

Killen akan menganjurkan acara hari ini untuk mempamerkan lukisan yang dipercayai akan menarik bidaan antara AS$10,000 (RM40,700) hingga AS$10 juta (RM40.7 juta) apabila ia ditawarkan dalam bidaan yang mungkin dilakukan pada tahun ini dan Januari depan. - AFP

17 dibaca
Berita Harian X