Rabu, 1 Ogos 2018 | 1:20pm
FERAIDOON Mojadedi ketika memberi syarahan Rumi A Message For Our Times di Sri Hartamas, baru-baru ini. - Foto Aziah Azmee

Islamfobio tak jejaskan minat pada karya sufi

KUALA LUMPUR: Karya puisi, Mathnawi yang dihasilkan ulama sufi dan penyair tersohor di dunia Parsi-Islam pada abad ke-13, Maulana Jalaluddin al-Balkhi ar-Rumi atau lebih dikenali Maulana Rumi mendapat tempat istimewa di Barat termasuk Amerika Syarikat (AS) di sebalik Islamofobia.

Mathnawi, iaitu puisi masnawi dalam bentuk dua baris serangkap dan jumlah rangkapnya mencecah 25,000 itu, bukan saja terus 'memburu' khalayak pembaca Barat, bahkan berjaya 'mengikat' mereka.

Malah Maulana Rumi menjadi penyair paling digemari, manakala kitab Mathnawinya menjadi karya yang paling banyak dibaca di AS meskipun kebencian dan ketakutan luar biasa terhadap Islam semakin merebak di AS.

Ilmuwan Amerika Syarikat (AS) dan pengasas Rumi Bookstore, Feraidoon Mojadedi, berkata kebencian terhadap Islam yang meningkat mendadak terutamanya selepas tragedi 11 September, tidak menghalang karya Rumi untuk menjadi karya terlaris dalam sejarah AS.

"Beliau seorang Muslim dan mengamalkan ajaran-Nya tetapi terus menjadi kegemaran di sana. Malah personaliti televisyen terkenal, Oprah Winfrey juga pernah mengakui beliau perlu membaca karya Rumi sebelum tidur setiap malam," katanya pada Syarahan Rumi A Message For Our Times di Nur Innai Bookshop, Plaza Damas, Taman Sri Hartamas di sini.

Feraidoon berkata, karya Rumi itu terus hidup disebabkan pengajaran daripada cinta yang sarat dalam kembara kerohanian yang memperkukuh hubungan dengan pencipta yang diungkapkan.

"Maulana Rumi melontarkan kebijaksanaan pengetahuannya dengan cara penuh kelembutan. Inti pati Mathnawi itu sendiri sentiasa mengingatkan insan untuk berkelakuan dengan cara yang bertepatan dengan hakikat kita sebagai insan kerana manusia ialah ciptaan Tuhan yang paling hebat," katanya.

Feraidoon turut menyelongkar lebih dalam mengenai hubungan Maulana Rumi dengan guru-sahabatnya, Shams Tabrizi, sekali gus mengibaratkan hubungan itu seperti burung dengan pemburu.

"Maulana Rumi pernah mengajukan soalan dalam Mathnawi, iaitu benarkah pemburu yang mengejar burung ataupun burung sebenarnya 'memperlihatkan' dirinya supaya ia boleh diburu?

"Meskipun ramai yang menjawab burung itulah yang diburu, Rumi memberikan pandangan berbeza dengan meletakkan si burung sebagai pemburu sebenar," katanya.

Beliau berkata, Shams yang menjalin persahabatan rapat dengan ulama sufi itu diibaratkan seperti burung yang 'memperlihatkan' dirinya supaya Rumi sebagai pemburu dapat mengejar dan mempelajari pelbagai ilmu daripada beliau.

Feraidoon berkongsi kisah pertemuan pertama Maulana Rumi dengan Shams, sekali gus menjadi permulaan yang mengangkat kedudukan tokoh sufi itu pada tahap tertinggi sehingga karyanya dibaca dan 'diburu' sehingga kini.

Dalam pertemuan sulung, Shams yang dilihat seperti manusia yang aneh dengan baju bertampal kerana sifat zuhudnya yang tinggi dalam menyerahkan diri kepada Allah SWT itu, membaling buku Rumi yang dipenuhi himpunan ilmu ke dalam kolam yang dipenuhi air.

"Maulana Rumi terkejut dengan tindakan itu, tetapi Shams mengambil semula buku itu dan menepuknya hingga kering sehingga menyebabkan Maulana Rumi kagum terhadap ketinggian ilmu dimilikinya," katanya.

Feraidoon berkata, kehilangan Shams meninggalkan kesan besar dalam kembara kerohanian Maulana Rumi menuju kepada kekasihnya, Allah SWT hingga menyebabkan beliau mencurahkan perasaannya melalui puisi.

"Maulana Rumi terlalu sedih dengan kehilangan Shams sehingga akhirnya beliau bertemu dengan pelajarnya, Chalabi yang mencadangkan Rumi untuk mula menuliskan hasil kerjanya.

"Rumi mencapai serbannya dan mengeluarkan kertas yang mengandungi 18 baris puisi yang kini menjadi sebahagian daripada karya agungnya, Mathnawi.

"Keseluruhan 18 rangkap pertama itu mengandungi keseluruhan Mathnawi di dalamnya dan menjadi kunci kepada karya itu. Mereka yang tidak memahami 18 rangkap itu, pasti tidak akan dapat menyelami makna keseluruhannya," katanya.

20 dibaca
Berita Harian X