Sabtu, 1 September 2018 | 3:06pm
SARA Danius. - Foto fail Reuters

Tiga anggota akademi Hadiah Nobel nafi kembali

H; Tiga anggota akademi Hadiah Nobel nafi kembali

STOCKHOLM: Tiga anggota Akademi Sweden yang meletak jawatan awal tahun ini kerana protes skandal seks, mungkin akan menyertai dalam proses pengundian penting untuk menentukan pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Bagaimanapun dalam e-mel kepada Reuters, tiga anggota itu menafikan laporan akhbar bahawa mereka akan kembali sepenuhnya kepada institusi yang menunda penganugerahan pada tahun ini ekoran skandal berkenaan.

“Media Sweden menggambarkan kami akan kembali berkhidmat di Akademi Sweden. Ia salah. Kami akan - mungkin - mengambil bahagian dalam undian penting, tidak lebih daripada itu,” kata kenyataan itu.

E-mel itu ditandatangani oleh ahli akademik sastera, Sara Danius dan pengarang, Kjell Espmark serta Peter Englund.

Tiga individu itu antara beberapa anggota Akademi Sweden yang berhenti pada April lalu ekoran cara institusi berkenaan menangani dakwaan salah laku seksual terhadap Jean-Claude Arnault, iaitu jurugambar yang mengahwini penyair dan anggota akademi berkenaan, Katarina Frostenson.

Arnault beberapa kali menafikan semua dakwaan terhadapnya termasuk menjadi sumber yang membocorkan nama pemenang terdahulu sebelum pengumuman rasmi.

Kelmarin, beberapa media Sweden melaporkan Danius, Espmark dan Englund bakal kembali ke Akademi Sweden.

Dalam e-mel persendirian kepada Reuters, Englund berkata beliau mungkin akan mengundi dalam pemilihan ahli baharu meskipun tidak akan menghadiri sebarang perhimpunan Akademi Sweden.

“Saya berharap dapat memainkan peranan yang berkesan dalam usaha memulihkan semula institusi ini,” katanya.

Peletakan jawatan itu menjadikan Akademi Sweden yang memiliki 18 anggota, kini hanya 10 kerusi. Ia memerlukan sekurang-kurangnya 12 anggota yang hadir untuk mengundi ahli baharu.

Berita Harian X