Selasa, 18 September 2018 | 6:03pm
NOVELIS Jepun, Haruki Murakami.

Haruki Murakami tolak Hadiah Nobel Sastera Alternatif

H:

STOCKHOLM: Novelis Jepun, Haruki Murakami yang disenarai pendek untuk ‘Hadiah Nobel Kesusasteraan Alternatif’ menarik diri daripada dicalonkan.

Murakami dalam e-melnya kepada The New Academy berkata, keputusan itu dibuat kerana ingin fokus kepada kerja penulisan dan tidak mahu tumpuan ramai sebagai alasan.

The New Academy ialah sekretariat Hadiah Nobel Kesusasteraan Alternatif yang diasaskan lebih 100 sarjana Sweden sebagai protes terhadap sekretariat Hadiah Nobel Kesusasteraan, Akademi Sweden.

Ini berikutan Akademi Sweden yang berusia 232 tahun itu, mengumumkan tidak akan memberi sebarang penganugerahan pada tahun ini ekoran terpalit kontroversi skandal seks sekitar April lalu.

Pendedahan skandal seks yang dibuat 18 wanita terhadap seorang daripada panel akademi itu, dilihat sebagai kemuncak kepada kempen antigangguan dan serangan seksual, #MeToo.

The New Academy menerusi media sosial Facebook Sabtu lalu menyebut, Murakami yang dikenali dengan karya kontemporari seperti Norwegian Wood itu berterima kasih untuk pencalonannya tetapi tidak berminat untuk turut serta.

Sementara itu, perpustakaan di Sweden mencalonkan 47 pengarang untuk memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan Alternatif yang diundi oleh 32,000 orang di seluruh dunia.

Hanya empat undian tertinggi dinilai, sekali gus menyaksikan Murakami dan tiga pengarang terpilih ke peringkat akhir, iaitu novelis Vietnam-Kanada, Kim Thuy; pengarang Britain, Neil Gaiman serta penulis Perancis, Maryse Conde.

Dalam senarai awal, pengarang lain yang turut dicalonkan ialah novelis Kanada, Margaret Atwood; dua pengarang Amerika Syarikat (AS), John DeLillo dan Joyce Carol Oates serta pengarang Israel, Amos Oz.

Turut disenaraikan ialah novelis popular, JK Rowling; novelis Sweden, Sara Stridsberg dan pengarang Kerstin Ekman yang sebelum ini meninggalkan Akademi Sweden.

Sementara itu, Profesor National Autonomous University of Mexico, Juan Antonio Perez Sobrado dalam komen di Facebook mendakwa, Murakami menarik diri daripada pencalonan kerana beliau mengetahui pemenang yang terpilih ke Hadiah Nobel Kesusasteraan Alternatif akan hilang peluang untuk memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan yang sebenar.

Pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan Alternatif ditentukan oleh undi terbanyak dan pemenang akan diumumkan pada 12 Oktober ini.

Berita Harian X