Rabu, 19 September 2018 | 2:49pm
ANGGOTA Akademi Sweden, Katarina Frostenson bersama suaminya, Jean-Claude Arnault hadir ke majlis makan malam Kings Nobel, di Stockholm. - Foto fail AFP
ANGGOTA Akademi Sweden, Katarina Frostenson bersama suaminya, Jean-Claude Arnault hadir ke majlis makan malam Kings Nobel, di Stockholm. - Foto fail AFP

Perbicaraan kes rogol, skandal Hadiah Nobel Sastera

STOCKHOLM: Individu yang menjadi punca kepada skandal yang menggegarkan Akademi Sweden yang menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan, akan dibicarakan atas tuduhan merogol hari ini.

Skandal yang memaksa Akademi Sweden membatalkan penganugerahan tahun ini yang sepatutnya diumumkan bulan depan itu, menjerumuskannya ke dalam krisis terburuk sejak diasaskan lebih 200 tahun lalu oleh Raja Sweden.

Jean-Claude Arnault, 72, yang berkahwin dengan seorang anggota Akademi Sweden, dituduh dengan dua pertuduhan rogol terhadap seorang wanita di Stockholm, tujuh tahun lalu.

Peguam Arnault berkata, anak guamnya menafikan dakwaan itu. Arnault juga menafikan dakwaan lain yang tidak berkaitan, iaitu menjadi sumber kebocoran nama sebahagian pemenang sebelum ini sebelum pengumuman rasmi.

Pendakwa sebelum ini menutup penyiasatan awal dakwaan penderaan terhadap Arnault awal tahun ini, disebabkan kekurangan bukti dan sebahagiannya pula kerana undang-undang sekatan sudah tamat tempoh. Dia dituduh oleh 18 wanita dengan gangguan dan serangan seksual.

Dua daripada 18 anggota Akademi Sweden juga meletak jawatan atas cara institusi itu mengendalikan krisis berkenaan.

Beberapa anggota - termasuk isteri Arnault - tidak akan mengambil bahagian dalam kerja akademi akibat pertelingkahan terbabit tetapi tidak meletak jawatan secara rasmi.

Selepas memutuskan hubungan dengan Arnault, Akademi Sweden mengadakan undian sama ada mengecualikan atau tidak isterinya daripada badan berkenaan atas dakwaan melanggar peraturan pertentangan kepentingan dan mendedahkan nama pemenang hadiah kepada suaminya yang mungkin membocorkannya.

Usul itu gagal tetapi menyebabkan tercetusnya beberapa tindakan anggota meninggalkan akademi.

Dengan jumlah yang tinggal hanya 10 anggota dan peraturan menetapkan seramai 12 orang diperlukan untuk mengundi ahli baharu, bekas Setiausaha Tetap Akademi Sweden, Sara Danius dan dua anggota lain yang sudahpun meninggalkan badan itu berkata, mereka bersedia untuk mengambil bahagian dalam undian penting untuk mengisi kekosongan.

Sehingga awal tahun ini apabila King Carl XVI Gustaf mengkaji semula peraturan, anggota Akademi Sweden tidak dibenarkan untuk meletak jawatan. - Reuters

Berita Harian X