Ahad, 14 Oktober 2018 | 12:35pm
Jean-Claude Arnault dan isteri, Katarina Frostenson.
Jean-Claude Arnault dan isteri, Katarina Frostenson.

Anggota akademi Hadiah Nobel terpalit skandal, didesak berundur

STOCKHOLM: Organisasi yang menganugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan meminta isteri kepada individu yang menjadi pusat skandal rogol untuk meletak jawatan.

Ia antara usaha Akademi Sweden untuk membina reputasinya kembali, dedah seorang anggotanya, kelmarin.

Anugerah pada tahun ini ditunda selepas tuduhan salah laku seksual timbul terhadap Jean-Claude Arnault, iaitu suami anggota akademi itu, Katarina Frostenson.

Akademi juga mendapati nama sebahagian pemenang dibocorkan, sekali gus menyebabkan beberapa anggota meletak jawatan atau berundur daripada terbabit dalam sebarang gerak kerjanya.

Arnault dijatuhkan hukuman dua tahun penjara atas tuduhan merogol. Dia menafikan semua tuduhan dan kini dalam usaha membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Bulan lalu, Ketua Yayasan Nobel memberitahu Reuters bahawa pihaknya mungkin menghentikan akademi itu daripada menganugerahkan hadiah sastera sekiranya ia tidak membuat perubahan susukan skandal berkenaan.

“Akademi secara tidak sebulat suara bersetuju terhadap resolusi merayu (Frostenson) supaya menarik diri secara sukarela daripada akademi.

“Sekiranya ia tidak berlaku, kami akan memulakan penyiasatan yang baharu dan saksama terhadap Frostenson yang didakwa melanggar peraturan kami, diberikan peluang yang adil untuk mempertahankan dirinya. Ia menjadi bahagian kedua dalam resolusi itu,” kata Setiausaha Tetapnya, Anders Olsson.

Olsson berkata, penyiasatan akademi terdahulu tidak memuaskan hati dan mempunyai beberapa kelemahan termasuk Frostenson tidak menjadi sebahagian siasatan serta keputusannya dinilai terlalu ‘tergesa-gesa.’

Media Sweden mendakwa Frostenson mendedahkan nama pemenang hadiah sastera itu - nama yang menjadi bahan taruhan yang hebat - kepada Arnault sebelum diumumkan. 

Sebahagiannya anggota turut menuduh Frostenson melindungi Arnault.

Frostenson tidak membuat sebarang kenyataan secara terbuka dan tidak membalas terhadap permintaan untuk komen, kelmarin.

Sebelum ini, desakan supaya Frostenson yang sebelum ini menahan diri daripada terbabit dalam gerak kerja akademi, meletak jawatan tetapi beliau tidak memberikan sebarang isyarat terhadap hasrat berbuat demikian.

Olsson berkata, penyiaran berikutnya akan memberikan fokus utama kepada aplikasi peraturan Nobel yang lebih ketat yang memerlukan nama pemenang disimpan secara rahsia sebelum diumumkan secara rasmi.

“Sejak Arnault menyalahgunakan maklumat untuk kepentingan sendiri mengenai calon hadiah, Frostenson menurut interpretasi radikal baharu peraturan (Akademi Sweden) bertanggungjawab terhadap tindakannya seperti ia melakukannya sendiri,” katanya.

Minggu lalu, akademi menamakan dua anggota baharu.

Berita Harian X