Khamis, 18 Oktober 2018 | 11:48am
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron. - Foto Owee Ah Chun

Penterjemah, penulis diharap bertenang isu kontrak ITBM

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron tidak dipecat seperti yang dilaporkan sebuah portal berita semalam.

ITBM dalam kenyataan medianya berkata, jawatan yang disandang Mohd Khair ialah lantikan secara kontrak berdasarkan pada tempoh yang khusus.

“Mohd Khair dilantik secara kontrak sebagai CEO ITBM bermula 15 November 2007 dan sudah diberikan perlanjutan kontrak beberapa kali sebelum berakhir Ahad lalu.

“Selama lebih 10 tahun Mohd Khair menerajui ITBM, banyak perubahan dan hasil yang berimpak tinggi sudah dilaksanakan khususnya dalam bidang penterjemahan dan penerbitan buku di dalam negara dan antarabangsa.

“ITBM percaya bahawa kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan mempunyai perancangan lebih besar untuk Mohd Khair pada masa hadapan dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, ITBM memahami bahawa berlakunya kegelisahan dalam kalangan penterjemah dan penulis terhadap perkara ini.

“ITBM berharap kumpulan penterjemah dan penulis bertenang serta mengambil sikap positif terhadap keputusan kerajaan, sekali gus terus memberikan sokongan terhadap usaha pihak kami membangunkan bidang penterjemahan dan penerbitan buku,” katanya.

ITBM yang ditubuhkan pada 1993 adalah syarikat berhad berkaitan kerajaan dan modal asas dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Pentadbiran ITBM diselia oleh Kementerian Pendidikan.

Berita Harian X