Selasa, 4 Disember 2018 | 4:04pm
Ahli panel Seminar Sehari Bersama Penerbit 2018, Pengurus Kanan Perbadanan Kota Buku, Hasri Hasan (kiri), Pengarah Hakcipta, Perbadanan Harta Intelek Malaysia, Rashidah Ridha Syeikh Khalid (dua kiri), Timbalan Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri, Siti Nor Rafidah Saiman (dua kanan) dan Timbalan Pengarah Pusat Penyerahan Terbitan Negara, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Anisatul Wahidah Abdul Wahid (kanan), di Auditorium PNM, Kuala Lumpur. - Foto Saifullizan Tamadi

Buku kanak-kanak Malaysia perlu nafas baharu

KUALA LUMPUR: Penerbit tanah air perlu memastikan aliran buku kanak-kanak yang mengalami perkembangan ketara di seluruh dunia, dapat diterjemahkan ke dalam situasi buku tanah air.

Di Amerika Syarikat (AS), genre kanak-kanak menduduki tempat kedua buku paling laris jualannya tahun lalu, iaitu $AS321 juta (RM1.3 bilion) berbanding buku teks yang berada di tangga pertama dengan jualan $AS420 juta (RM1.8 bilion).

Eksekutif Penerbitan Strategik Perbadanan Kota Buku (PKB), Aliff Basri, berkata perkembangan sama turut dilihat di United Kingdom (UK) apabila genre kanak-kanak menjadi kedua paling popular selepas fiksyen.


Eksekutif Penerbitan Strategik Perbadanan Kota Buku (PKB), Aliff Basri. - Foto Saifullizan Tamadi

Beliau berkata, di China yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di dunia, prestasi buku kanak-kanak nampaknya lebih baik apabila mendahului di tangga pertama sebagai genre paling popular berbanding akademik di tempat kedua dan fiksyen (ketiga).

Di negara ini, genre paling popular dalam kalangan pembaca berdasarkan kaji selidik Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) lalu, ialah komik, agama dan fiksyen.

“Genre komik tidak hanya tertumpu kepada pembaca kanak-kanak, sebaliknya menjadi pembacaan yang turut dinikmati orang dewasa terutama ada komik membawa pengisian berat.

“Meskipun buku kanak-kanak menjadi genre popular secara global, nampaknya semacam ada pautan yang hilang kerana buku kanak-kanak tidak begitu jelas definisinya,” katanya ketika membentangkan Trend Penerbitan Buku Masa Kini pada Program Seminar Sehari Bersama Penerbit 2018 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini.

Aliff berkata, daripada segi bentuknya, selain naskhah kanak-kanak dengan penampilan watak lucu, buku bergenre itu boleh ditampilkan dalam beberapa cara termasuk melalui bentuk psikologi untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan berkaitan kanak-kanak.

Katanya, ada juga buku kanak-kanak ditampilkan bertujuan mengajar ilmu baharu seperti memaparkan maklumat berkaitan angkasa lepas.


Peserta yang hadir pada Seminar Sehari Bersama Penerbit 2018 di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia. - Foto Saifullizan Tamadi

“Antara menarik untuk dilakukan bagi buku genre kanak-kanak ialah membawa semula watak daripada karya klasik misalnya Puteri Gunung Ledang dengan nafas baharu melalui cara memasukkan elemen moden supaya mudah dikaitkan dengan zaman ini,” katanya.

Aliff berkata, genre kanak-kanak membesar dengan baik dan pesat secara global, sekali gus menyediakan platform baik untuk naskhah kanak-kanak tempatan berkembang di luar negara seperti Siri Mila tulisan Maslina Yusoff.

“PKB membawa Siri Mila, mengenai kanak-kanak berambut kerinting ke pesta buku kanak-kanak dan penerbit di China sangat menyukainya hingga menjadi karya terlaris di negara itu.

“Di negara ini, buku kategori itu semakin mendapat tempat malah sudah banyak penerbit seperti Oyez! Books (Oyez) yang menghasilkan buku kanak-kanak dengan gaya sangat menarik dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga nampaknya aktif memainkan peranan serupa dalam menerbitkan buku kanak-kanak yang peranannya bukan sekadar bertujuan memberi hiburan malah mendidik mereka melalui paparan yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah PNM, Datuk Nafisah Ahmad menekankan kepentingan sesuatu judul diserahkan kepada PNM seperti diwajibkan melalui Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331).


Pengarah Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Nafisah Ahmad. - Foto Saifullizan Tamadi

Katanya, disebabkan kurang kesedaran masih ada penerbit dan penulis yang tidak berbuat demikian menyebabkan terbitan buku dan bahan bersiri masing-masing dilakukan tanpa Standard Data Pengkatalogan Antarabangsa (ISBN) dan International Standard Serial Number (ISSN).

“Di bawah akta itu, semua penerbit wajib menyerahkan lima naskhah bahan bercetak dan dua naskhah bahan tidak bercetak kepada PNM untuk didokumentasi.

“Penyerahan bahan ini kepada PNM penting kerana selain sebagai satu dokumentasi, ia juga karya intelek bangsa kita yang akan menjadi bukti keintelektualan dan ketamadunan bangsa di masa hadapan,” katanya.

Bertemakan Penerbitan Berkualiti Pemangkin Generasi Gemilang, seminar antara usaha PNM dalam menyokong pelaksanaan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 melalui pengumpulan dan pengukuhan koleksi intelek negara melalui Akta Penyerahan Bahan 1986.

Berita Harian X