Khamis, 24 Januari 2019 | 8:15pm
Batu nisan lama yang ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Batu nisan lama yang ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Batu nisan Kesultanan Melayu Melaka ditemui

MELAKA: Empat batu nisan lama, dipercayai berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui penduduk di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, di sini.

Batu nisan yang dipercayai dibina menggunakan batu laterit berusia lebih 500 tahun itu ditemui kontraktor ketika menjalankan kerja pembersihan tanah penduduk di kampung berkenaan pada 6 Januari lalu bersama enam batu nesan lain.

Difahamkan, kerja pembersihan dilakukan berikutan sebuah keluarga di situ mahu mengadakan kenduri kahwin anak mereka.

Batu nisan lama yang ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Batu nisan lama yang ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Penduduk, Roslan Ramlan, 52, berkata kerja pembersihan di kawasan tanah yang bersemak itu dilakukan sejak 6 Januari lalu menggunakan jentolak.

Katanya, dia kemudian dimaklumkan pemandu jentolak terbabit mengenai penemuan beberapa batu nisan, sebelum menyarankan binaan itu dilonggokkan di satu tempat.

“Penemuan beberapa batu nesan ini akhirnya sampai ke pengetahuan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang mengambil tindakan lanjut.

“Sepanjang tempoh 10 tahun menetap di kawasan ini, setahu saya ia bukan tanah perkuburan dan tidak pernah menemui apa-apa bentuk struktur kubur di sini,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan batu nisan itu hari ini.

Pegawai dan kakitangan PERZIM memindahkan batu nisan lama jenis Laterit selepas ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Pegawai dan kakitangan PERZIM memindahkan batu nisan lama jenis Laterit selepas ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Sementara itu, Pengurus Besar PERZIM, Fadhilah Md Salleh, berkata hasil pemantauan awal pihaknya mendapati, empat daripada 10 batu nisan jenis laterit berkenaan wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti nilai sejarah penemuan itu, selain menilai hubung kait dengan penemuan batu nisan jenis sama di Johor pada tahun lalu.

“Zaman sekarang tiada lagi orang menggunakan batu laterit sebagai tanda kubur, jadi yang kita jumpa ini, memang batu sama dengan yang kita sedang kaji di Johor.

“Kita akan mendapatkan usianya terlebih dulu menerusi kepakaran agensi lain dan pasti kajian ilmiah akan dijalankan,”katanya.

Berdasarkan bentuk batu nisan ditemui, dua daripadanya menggambarkan pemiliknya ialah lelaki, manakala lapan lagi wanita.

Pegawai dan kakitangan PERZIM memindahkan batu nisan lama jenis Laterit selepas ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
Pegawai dan kakitangan PERZIM memindahkan batu nisan lama jenis Laterit selepas ditemui di Solok Bukit Ranting, Bukit Duyung. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X