Rabu, 6 March 2019 | 3:04pm
Hadiah Nobel Kesusasteraan. - Foto ihsan Flickr

Hadiah Nobel Sastera kembali dengan dua pemenang

STOCKHOLM: Dua pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan akan dianugerahkan pada tahun ini selepas penganjurnya, akademi sastera Sweden ‘membersihkan’ orgranisasi itu ekoran skandal tahun lepas yang menunda penganugerahannya.

Yayasan Nobel menghalang Akademi Sweden daripada menganugerahkannya pada tahun lalu dan mengancam untuk menarik hak penganugerahan pada masa depan selepas skandal yang membawa suami anggota akademi kepada sabitan kes rogol dan dakwaan kebocoran nama pemenang.

Yayasan Nobel dalam kenyataannya berkata, lembaga pengarahnya percaya langkah yang sudah dan akan diambil Akademi Sweden mewujudkan peluang baik untuk mengembalikan kepercayaan kepada akademi itu sebagai institusi yang menganugerahkan hadiah.

“Hadiah Nobel Kesusasteraan akan dianugerahkan dengan pada musim luruh ini, pemenang 2018 dan 2019 akan diumumkan,” katanya.

Akademi Sweden diasaskan pada 1786 untuk memelihara bahasa Sweden, memilih pemenang Hadiah Nobel tetapi hanya dalam bidang sastera.

Institut akademik Sweden yang lain, memilih pemenang dalam bidang saintifik, manakala Jawatankuasa Norway menamakan penerima hadiah keamanan.

Berdepan dengan ancaman mungkin hilang hak memilih pemenang untuk anugerah sastera paling berprestij, akademi membuat beberapa reformasi pada tahun lalu termasuk memilih anggota baharu dan mewujudkan jawatankuasa hadiah baharu.

Penyair, Katarina Frostenson, yang suaminya, Jean-Claude Arnault dipenjarakan ekoran sabitan rogol, meletak jawatan sebagai anggota akademi pada Januari selepas akademi memulakan siasatan. Siasatan turut mendapati bekas anggota terbabit membocorkan nama pemenang tetapi beliau menafikannya.

Ketua Yayasan, Lars Heikensten, berkata akademi bersetuju anggota yang dicemari skandal tidak dilantik ke dalam jawatankuasa yang memilih pemenang hadiah.

Pengarang dan pengkritik, Horace Engdahl, yang mengkritik rakan sejawatannya yang cuba memecat Frostenson di tengah-tengah meletusnya skandal itu, turut berundur.

Heikensten berkata, prosesnya mengambil masa lebih lama daripada yang sepatutnya.

“Sekarang, akademi melakukan banyak perkara dan mensasarkan tindakan yang lebih banyak. Saya fikir kita boleh melupakannya,” katanya. - Reuters

Berita Harian X