Rabu, 31 Julai 2019 | 1:01pm
Peniaga lukisan British dijatuhkan hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS) selepas didapati bersalah mencuri berjuta dolar daripada jualan lukisan termasuk Picasso. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Curi jutaan dolar, peniaga lukisan dipenjara

NEW YORK: Peniaga lukisan British dijatuhkan hukuman penjara hingga 12 tahun oleh hakim di Amerika Syarikat (AS) selepas didapati bersalah mencuri berjuta dolar daripada jualan lukisan termasuk Picasso.

Timothy Sammons yang beroperasi di New York, London dan Zurich, menipu sekurang-kurangnya empat kolektor antara AS$10 juta hingga AS$30 juta (RM41.3 juta - RM123.9 juta) dengan menjual karya seni berharga dan mengaut keuntungan untuk diri sendiri.

Lelaki berusia 63 tahun itu, mengaku salah kepada 15 pertuduhan pencurian besar dan penipuan pada perbicaraan di sini, awal bulan ini.

Semalam, Hakim Ann Scherzer, menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga 12 tahun.

“Selama bertahun-tahun, defendan menjaja skim pusingan modal memperdayakan, membina kepercayaan pembeli dan penjual berpotensi untuk menipu jutaan dolar serta menggunakan wang haram itu untuk menanggung cara hidupnya yang mewah,” kata pendakwa, Cyrus R Vance.

Antara 2010 hingga 2015, Sammons mengambil upah daripada jualan beberapa karya yang sangat dicari termasuk lukisan Picasso, Buste de Femme dan Marc Chagall (Reverie), selain karya Rene Magritte.

Dia gagal menyerahkan hasil jualan kepada penjual sama ada dengan tidak memberitahu mereka bahawa karya sudahpun dijual atau mengelirukan mereka mengenai masa jualan.

Sammons, yang sebelum ini bekerja dengan Sotheby di New York, menghabiskan wang untuk tiket penerbangan kelas pertama dan keahlian kelab peribadi. Dia juga menggunakannya untuk membayar kembali hutang lama kepada mangsanya yang lain.

Sammons menjadikan sebahagian lukisan sebagai pajak untuk mendapatkan pinjaman daripada syarikat kewangan peribadi. Apabila dia gagal melangsaikan hutang, lukisan berkenaan dijual dengan harga diskaun.

“Apabila menjadi orang tengah kepada lukisan unik dengan harga tinggi, Timothy Sammons menipu, memperdaya dan mencuri hasil karya seni,” kata Vance. - AFP

142 dibaca
Berita Harian X