Isnin, 5 Ogos 2019 | 1:14pm
Pameran Kali Ini Kita Bersama: Serantau Sebahagian di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur yang berlangsung hingga 15 Ogos ini, menghimpunkan karya pelukis wanita dari empat negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. - Foto ihsan Balai Seni Negara.

Pelukis wanita Selatan Thai rakam naratif sengsara

KUALA LUMPUR: Dunia Barat meraikan artis wanita seperti Georgia O’Keeffe, Frida Kahlo dan Sturtevant kerana keupayaan mereka bersuara menerusi karya sehingga O’Keeffe misalnya disebut sebagai Ibu Modenisme Amerika.

Suara wanita dalam lukisan juga punya kedudukan istimewa dalam sejarah seni halus tempatan menerusi sentuhan artis seperti Fatimah Chik, Ruzaika Omar Basree, Sharifah Zuriah Al Jefri dan Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir.

Sungguhpun begitu, di Malaysia atau Asia keseluruhannya, terma feminisme masih kurang difahami. Secara umum dalam tanggapan kebanyakan khalayak di Asia, ia seakan-akan mempunyai konotasi yang tidak elok.

Ini kerana ia selalu dilihat dalam kaca mata gerakan feminisme Barat yang menekankan persamaan hak dan hal berkaitan tubuh badan sendiri, sekali gus seakan-akan isu terpencil, kecil dan tidak layak diperkatakan.

Justeru, ia menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya feminisme pada kaca mata penggiat seni tempatan?

Isu ini dikupas dalam Forum Seni Halus di Balai Seni Negara di sini, yang menampilkan kurator, Badrolhisham Mohd Tahir; Pensyarah Jabatan Seni Halus, Universiti Prince Songkla, Thailand, Prof Madya Jehabdulloh Jehsorhoh dan Pengarah RoqueArt, Beverly Yong dengan dikendalikan penulis, Hazwani Rameli atau lebih dikenali sebagai Rebecca Ilham.


Pameran Kali Ini Kita Bersama: Serantau Sebahagian di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur yang berlangsung hingga 15 Ogos ini, menghimpunkan karya pelukis wanita dari empat negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. - Foto ihsan Balai Seni Negara.

Forum itu dianjurkan bersempena dengan pameran Kali Ini Kita Bersama: Serantau Sebahagian yang menghimpunkan karya pelukis wanita dari empat negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand bermula 15 Julai sehingga 15 Ogos ini.

Bagaimanapun, kupasan feminisme rupanya mengundang emosi apabila beberapa penonton mempersoalkan

pandangan panel yang kelihatan merendahkan maksud feminisme, sekali gus pengkarya wanita.

Badrolhisham misalnya menyebut cabaran artis wanita di negara ini bersifat ‘paradoxical’, iaitu mereka tiada cabaran disebabkan subjek dalam konteks pelukis tempatan tidak menceritakan secara khusus masalah wanita.

“Pertama, isu wanita itu adalah sebagai pegangan diri yang banyak dilingkari perkara harian misalnya kesibukan wanita bekerja, ia sangat berbeza berbanding di Barat,” katanya.

Oleh itu, tegas Badrolhisham, dalam konteks dunia gerakan feminisme berlaku paradoxical perjuangan idea hak kesamarataan, selain ada yang pergi lebih jauh dan radikal misalnya mengenai batang tubuh wanita itu sendiri malah ada sesetengah wanita yang tidak setuju dengan peranan wanita.

“Pandangan wanita terhadap feminisme itu juga berlainan antara wanita barat dan wanita Timur yang menentang idea kebebasan Barat dalam konteks nilai.

“Jadi kalau konteks digunakan untuk melihat masalah di Pattani, kita akan tertanya adakah cabaran dalam seni itu masih ‘valid’ atau tidak?

“Kalau isu wanita adakah masih sesuai untuk wanita hanya melukis tentang diri dia atau tubuhnya seperti yang diperjuang di Barat,” katanya.

Pandangan Badrolhisham ada benarnya jika ia menjadi ukuran kepada himpunan karya pelukis wanita Thailand. Walaupun himpunan karya dalam pameran itu mengangkat pelbagai tema, apa yang paling terampil ialah kerja seni mereka.

Karya mereka bukan hanya seputar dunia kewanitaan semata-mata, bahkan pengalaman dan persekitaran yang dibancuh dengan emosi melahirkan cerita menggugah jiwa.


Pameran Kali Ini Kita Bersama: Serantau Sebahagian di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur yang berlangsung hingga 15 Ogos ini, menghimpunkan karya pelukis wanita dari empat negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. - Foto ihsan Balai Seni Negara.

Nurufirdaos Ding misalnya, tampil dengan dua karya Malay dan Memories of The Ikhwan yang membawa cerita sengsara.

Malay dihasilkan daripada gumpalan kertas surat khabar membentuk potret budak lelaki yang sedang menangis. Di atas potret itu terlihat peta tiga wilayah yang bergolak di Selatan Thai, iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala.

Malay ternyata sangat kuat dari sudut naratifnya walaupun tekniknya sangat biasa. Jika kita hendak menikmati kemewahan menerusi lukisan, gadis 27 tahun graduan seni halus Universiti Prince of Songkla ini sebaliknya menyentak jiwa mereka yang mahu berfikir.

“Saya tidak tahu bercerita lanjut mengenai masa hadapan tetapi lukisan ini adalah harapan saya dan adik-adik.

“Apakah yang menunggu kami dalam kedudukan wilayah kelahiran yang sentiasa bergolak. Selain harapan, karya ini juga gambaran ketakutan kami terhadap siri serangan dan pengeboman yang masih berlaku,” katanya.


Pameran Kali Ini Kita Bersama: Serantau Sebahagian di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur yang berlangsung hingga 15 Ogos ini, menghimpunkan karya pelukis wanita dari empat negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. - Foto ihsan Balai Seni Negara.

Selain Malay, kekuatan sama dapat dilihat dalam karya Kameelah-i-lala menerusi The Bride. Catan ini adalah antara siri Bride yang dihasilkannya dan ia naratif balas yang meruntun jiwa.

Karya ini memaparkan catan pengantin tanpa wajah berdiri dengan latar gelap. Ia suara wanita yang tidak dapat berkahwin kerana bakal suaminya dibunuh pada hari pernikahannya.

Hal sama dapat dilihat dalam Attachment dan Attachment 2 karya Salwanee Hajisamae. Kedua-dua karya ini menggunakan produk domestik yang melingkari kehidupan wanita Selatan Thai. Ia dihasilkan daripada serpihan kain yang dijahit dan membentuk wajah wanita.

“Apa yang saya mahu sampaikan adalah ketabahan wanita Pattani yang kehilangan lelaki mereka kerana terbunuh dalam konflik berdarah yang belum bernoktah,” katanya.

Feminisme walaupun secara asasnya membawa maksud kepada perjuangan hak wanita dan kesamarataan gender, ia ternyata melepasi sempadan itu di tangan pelukis wanita Thailand.

Kehidupan di Selatan Thai yang dilanda konflik, selain penggunaan bahasa Melayu yang perlahan-lahan terhakis, pelukis wanita Melayu Thailand membawa ukuran feminisme yang baharu.

Hal itu diakui Jehabdulloh yang menyebut, pelukis wanita Selatan Thai memberi definisi baharu feminisme apabila membawa tema sejagat besar iaitu hak bernegara dan penindasan.

“Karya mereka ini secara jelas memperlihatkan persekitaran dan pengalaman jika digaul sebaiknya mampu menjelmakan karya yang kuat.

“Kelahiran pelukis wanita di Wilayah Selatan Thailand sebenarnya hal baharu. Sebelum ini seni halus tidak menjadi pilihan wanita di sana.

“Kebanyakan mereka menuntut dalam bidang yang lebih profesional selain tidak ramai yang berpeluang untuk melanjutkan pengajian kerana tuntutan sifat kewanitaan mereka yang memerlukan lebih tumpuan terhadap isu domestik,” katanya.

Bagaimanapun tegas Jehabdulloh, sejak 10 tahun kebelakangan ini lebih ramai wanita di Selatan Thailand yang mengkhusus dalam bidang seni halus.

Apa yang berlaku ketika ini tegas beliau, adalah gerakan memujuk oleh generasi muda Melayu Selatan Thailand yang mahukan kedamaian.

“Kehidupan dalam pergolakan dan konflik tidak menjanjikan apa-apa. Kami mahu kedamaian dan mahu suara itu sampai kepada kerajaan. Lukisan adalah satu daripada caranya,” katanya.

Berita Harian X