Selasa, 6 Ogos 2019 | 1:31pm
Muzium Sastera Ireland (MoLI) di Dublin yang akan dibuka buat pertama kali pada 20 September ini, sekali gus merakam sejarah signifikan dalam sastera negara itu. Gambar hiasan. - Foto ihsan University College Dublin

Teladani Ireland wujudkan muzium sastera, angkat sasterawan

KETIKA menyertai Pesta Buku Antarabangsa Tokyo beberapa tahun lalu, saya mencuri kesempatan ada untuk mengunjungi Muzium Sastera Jepun.

Berbekalkan sangkaan muzium itu pasti menyediakan maklumat dalam bahasa Inggeris yang dapat membantu pelancong asing, saya bersendirian mengunjunginya.

Bagaimanapun, bukan sahaja koleksi yang dipamerkan tidak mempunyai maklumat dalam bahasa Inggeris, kakitangan yang bertugas di kaunter juga langsung tidak boleh berbahasa kecuali bahasa Jepun.

Hanya selepas itu, saya diberitahu, muzium sastera itu bukan berfungsi untuk berkongsi maklumat mengenai kesusasteraan Jepun kepada orang luar, sebaliknya sebagai dokumentasi sejarah kepada rakyatnya sendiri.

Barangkali pada masa depan, Muzium Sastera Jepun itu akan berevolusi khususnya membuka pintu kepada pelancong asing sekurang-kurangnya menyediakan maklumat dalam bahasa yang mudah difahami orang luar.

Ia boleh mengikut jejak langkah seperti Muzium Sastera Ireland (MoLI) di Dublin yang akan dibuka buat pertama kali pada 20 September ini sempena Malam Kebudayaan 2019.

Bangunan yang menempatkan MoLI, iaitu UCD Newman House, St Stephen’s Green di ibu kota Ireland itu mempunyai sejarah signifikan dalam ranah sastera negara berkenaan.

Ia milik University College Dublin (UCD) yang pernah menjadi alma mater atau institusi pendidikan sekian ramai pengarang termasuk sasterawan berpengaruh abad ke-20, James Joyce; novelis dan dramatis, Flann O’Brien; pelopor penulisan dalam kalangan wanita, Mary Lavin serta pengarang paling disayangi Ireland, Maeve Binchy.

Malah, bangunan yang mendapat sentuhan pengubahsuaian arkitek tersohor, Scott Tallon Walker itu, pernah dihuni penyair pelopor era Victoria, Gerard Manley Hopkins.

MoLI yang dibina berdasarkan kerjasama kreatif antara UCD dengan Perpustakaan Negara Ireland (NLI) itu, disokong Yayasan Naughton milik keluarga jutawan negara itu dan Failte Ireland, iaitu pihak berkuasa pelancongannya.

Ini menjadikan muzium yang menjadi mercu tanda terbaru Ireland, mendapat sokongan pelbagai pihak daripada kerajaan dan institusi pendidikan hingga korporat.

Muzium itu disasarkan sebagai institusi baharu yang meraikan kebudayaan dan warisan kesusasteraan Ireland dari zaman silam hingga masa kini, sekali gus memberikan inspirasi kepada pengunjung merentas usia.

Tidak hanya menampilkan naskhah pertama karya Joyce, iaitu Ulysses dan buku nota bertulis tangan untuk karya itu serta surat antara sasterawan terbabit dengan WB Yeats, MoLI turut menumpukan program kanak-kanak, acara sastera dan penulisan, pembacaan, persembahan, debat dan perbincangan.

Selain lawatan bersejarah dan pameran berkala, muzium itu turut memiliki studio penyiaran digital yang dapat merakam wawancara, pembacaan, diskusi serta acara dengan pengarang, penyair, artis, penggiat seni, pendidik serta ahli akademik dalam dan luar negara.

Pembukaan muzium yang bukan hanya menampilkan ‘objek kaku’, sebaliknya bersifat interaktif dan memanfaatkan teknologi maklumat termasuk media sosial dapat mengangkat sastera Ireland sebagai kutub penting kesusasteraan.

Ireland dalam geo-sastera dunia memang mencatat kedudukan penting khususnya melalui penganjuran Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin yang bukan sahaja terbuka kepada karya asli dalam bahasa Inggeris, bahkan terjemahan ke bahasa itu termasuk daripada khazanah bahasa Melayu.

Ia wajar dijadikan pedoman dan panduan kepada mana-mana ranah sastera yang mahu bersaing dengan sastera Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) serta Perancis yang menjadi ‘kuasa penting’ ekoran ‘menunggang’ gelombang imperialisme baik pada masa lalu mahupun masa kini.

Kita sendiri meskipun negara kecil dalam konteks sastera, sebenarnya berasal dari induk khazanah bahasa dan kesusasteraan utama dunia, iaitu bahasa Melayu.

Hakikat sejarah dan realiti semasa perlu dipadukan sebaik-baiknya termasuk membangunkan institusi yang dapat mengangkat sastera dan memanfaatkan teknologi maklumat yang kedua-duanya berada dalam jangkauan kita.

Muzium sastera bukan suatu asing daripada sastera Malaysia kerana sudah ada cadangan pembinaan muzium sastera di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baru dibaik pulih tetapi ia tentunya memerlukan keazaman politik dan juga sudah tentunya dana sepadan.

Pada masa sama, dunia siber dan media sosial perlu betul-betul ‘disambungkan’ dengan institusi seperti DBP supaya ia tidak melihatnya daripada kaca mata kabur.

Tanpa dua faktor itu, muzium sastera sekiranya berjaya dibuka di negara ini, ia pasti tidak mengikut jejak langkah MoLI, sebaliknya terkurung dalam ruang sendiri seperti Muzium Sastera Jepun.

Berita Harian X