Jumaat, 16 Ogos 2019 | 7:17pm
Lakaran awal The Little Prince, novel pendek terkenal pengarang Perancis, Antoine de Saint-Exupery yang kematiannya masih misteri, ditemui di stor penyimpanan barang di utara Switzerland. - Foto AFP

Lakaran novel pengarang 'hilang secara misteri' ditemui

GENEVA: Lakaran awal The Little Prince, novel pendek terkenal pengarang Perancis, Antoine de Saint-Exupery, ditemui di stor penyimpanan barang di utara Switzerland.

Kurator Cultural Foundation of Winterthur, Elisabeth Grossmann, berkata lukisan itu dibeli oleh usahawan hartanah dan kolektor besar, Bruno Stefanini di sebuah lelongan, tiga tahun lalu.

Beliau berkata, lakaran The Little Prince itu ditemui berkeadaan baik dalam fail bersama-sama karya lain di sebuah bangunan di Winterthur.

“The Little Prince atau Le Petit Prince yang juga novella yang menyusur penerokaan angkasa lepas yang dilakukan wira, dijual sebanyak 145 juta naskhah dan diterjemah kepada 270 bahasa,” katanya.

Novelis itu melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) selepas pencerobohan Jerman ke atas Perancis dan menghasilkan karya terkenalnya ketika hidup dalam buangan pada 1942. Ia diterbitkan buat kali pertama pada 1943.

Pengarang terbabit menetap di Switzerland dari 1915 hingga 1917 dan bersekolah di Fribourg.

Stefanini, antara kolektor terbesar Switzerland memiliki puluhan ribu karya dan mengasaskan yayasan itu untuk menguruskan koleksi artistiknya sebelum meninggal dunia.

Beliau membeli lakaran Saint-Exupery di sebuah lelongan di Bevaix pada 1986, menurut laporan akhbar Landbote yang melaporkan penemuan itu, semalam.

Lakaran itu mengandungi imej The Little Prince berbicara dengan musang, The Tippler di planetnya dan imej ikonik ular boa yang menelan seekor gajah.

Grossmann berkata, muzium Winterthur akan menghubungi Perpustakaan Morgan di New York yang lakaran asal Saint-Exupery disimpan untuk memaklumkan penemuan itu.

Saint-Exupery yang juga juruterbang, hilang secara misteri di Mediterranean pada 31 Julai 1944 selepas bercuti daripada misi perangnya. - AFP

515 dibaca
Berita Harian X