Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:43pm
Lukisan Am Not I A Man And A Brother dipulihara kembali untuk dipamerkan di Liverpool sempena ulang tahun memperingati penghapusan perdagangan hamba. - Foto ehsan Wikimedia Commons

Lukisan hiba abdi Afrika abad ke-18 dipulihara

LONDON: Lukisan nadir memaparkan abdi Afrika berlutut bakal yang dipulihara akan dipamerkan di Liverpool dekat sini sempena ulang tahun mengingati penghapusan perdagangan hamba, Jumaat ini.

Diperoleh Muzium Perhambaan Antarabangsa pada 2018, lukisan Am Not I A Man And A Brother itu menampilkan hamba Afrika berlutut dan dibelenggu rantai dan memandang ke langit.

Lukisan itu berdasarkan rekaan yang dikomisyenkan oleh Jawatankuasa Penghapusan Perdagangan Hamba pada 1787 dan digunakan usahawan tembikar, Josiah Wedgwood dalam kempen antiperhambaan, sekali gus buat contoh pertama logo digunakan untuk perjuangan politik.

Pengarah Muzium Nasional Liverpool, Laura Pye, berkata pihaknya melakukan pemuliharaan lukisan itu yang signifikan.

“Pasukan pemuliharaan melakukan tugasan mengagumkan untuk membersihkannya. Jadi, saya tidak fikir ada orang yang pernah melihat lukisan itu seperti sekarang,” katanya kepada Reuters.

23 Ogos ialah Hari Memperingati Perdagangan Hamba dan Penghapusannya Antarabangsa. Lukisan itu masih dipulihara dan dijangka dipamerkan hujung tahun ini.

Dalam pengiriman senjata dan serbuk letupan dari Eropah yang terbesar dalam sejarah, ia ditukar dengan jutaan abdi Afrika yang dihantar dengan kapal laut merentasi Laut Atlantik ke Amerika.

Jutaan lelaki, wanita dan kanak-kanak Afrika dipisahkan dari tanah air dan dibelenggu sebagai perdagangan antarabangsa paling kejam di dunia antara abad ke-15 hingga 19. Ramai mati dalam keadaan tidak berperikemanusiaan.

Orang yang terselamat pula terpaksa melalui kehidupan terbelenggu di ladang tebu, tembakau dan kapas. Britain menghapuskan perdagangan hamba rentas-Atlantik pada 1807 meskipun penghapusan sepenuhnya tidak berlaku hingga satu generasi kemudian.

207 dibaca
Berita Harian X