Jumaat, 30 Ogos 2019 | 3:42pm
10 novel wajib baca yang merakam kekejaman dan keganasan komunis di negara ini. - Foto NSTP

10 novel wajib baca rakam keganasan komunis

GENERASI muda tidak mampu memahami perjuangan anak watan dan perajurit tanah air menentang komunis jika sekadar membaca buku sejarah yang sangat sedikit perinciannya.

Teks sejarah memaparkan fakta sangat terbatas dan tidak menerobosi aspek psikologi manusia yang mengalami keperitan menentang komunis. Kekejaman komunis dan ideologi gerakan itu hakikatnya tidak banyak dipaparkan dalam teks sejarah.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata pemahaman erti jerit-perih mereka menentang kekejaman dan keganasan komunis mampu dihayati melalui novel sejarah.

Kata beliau, aspek kemanusiaan dan ideologi dibawa gerakan itu dapat difahami melalui wadah kreatif memandangkan sastera lebih berupaya menanam semangat nasionalisme dan makna perjuangan.

“Sejarah ditulis orang yang menang dan era sekarang seolah-olah memberikan isyarat pihak menang ialah golongan liberal yang menganggap perjuangan komunis menegakkan kemerdekaan.

“Hakikatnya komunis ialah kesinambungan gerakan antarabangsa oleh Parti Komunis China untuk menakluk rantau Asia.

“Ideologi komunis bukan sahaja untuk menghalau kuasa Barat, bahkan menolak agama kerana fahaman Marxist menyifatkannya sebagai candu,” katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur.


Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti (UM), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. - Foto Nik Hariff Hassan

Mohamad Saleeh mengingatkan, jangan sekali-kali menggadai kemerdekaan negara dengan ideologi baharu yang sudah lama ditolak. Sempena Sambutan Hari Kebangsaan esok, Sastera BH mengemukakan 10 novel yang wajar dijadikan bacaan generasi baharu, sekali gus memahami kekejaman komunis.

Ini termasuk pengorbanan pasukan keselamatan negara yang berjuang 20 tahun untuk menghapuskan gerakan itu dan menjadikan Malaysia negara pertama menamatkan perjuangan bersenjata komunis.

Bukit Kepong (Ismail Johari)


Replika Balai Polis Bukit Kepong sebelum dibakar dalam serangan komunis pada 23 Februari 1950 antara dipamerkan di Galeri Darurat di Bukit Kepong. - Foto NSTP

Karya yang pernah diadaptasi ke layar perak oleh Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin itu, berkisar perjuangan pasukan polis dan masyarakat tempatan di Bukit Kepong, Johor melawan komunis pada 1950.

Tarikh 23 Februari menjadi kemuncak pertempuran di balai polis Bukit Kepong yang mempunyai 18 anggota. Karya itu memaparkan semangat waja polis yang walaupun diserang 180 pengganas komunis, tetap berjuang hingga titisan darah terakhir.

Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi)

Diangkat daripada kisah benar Panglima Salleh yang terukir kerana kepahlawanan menentang komunis bermaharajalela di selatan tanah air.

Peristiwa berdarah itu, berlaku pada penghujung Perang Dunia Kedua. Nama Panglima Salleh sinonim dengan selempang merah kerana di situlah lambang kegagahan dan kepahlawanannya.

Tulang-Tulang Berserakan (Usman Awang)


Pasukan Polis Hutan dahulunya dikenali sebagai Jungle Squad dibentuk untuk menentang komunis di hutan. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Karya antipenjajahan menanam patriotisme dan memperjuangkan nilai keamanan ini, berkisar sejarah hitam melanda Persekutuan Tanah Melayu pada Jun 1948.

Pasukan Jungle Squad (Polis Hutan) dibentuk untuk berjuang menentang komunis di hutan dianggotai mereka yang kebanyakannya baru tamat latihan di Depot Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Sebahagian suka-duka pasukan itu, dirakamkan Usman berdasarkan pengalaman sendiri.

Kanang: Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin)

Kisah Pegawai Waran 1, Temenggong Datuk Kanang ini pernah diadaptasi ke layar perak, berkisar kecekalan dan kegigihan semangat anggota tentera keturunan Iban, Kanang Anak Langkau untuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Karya laris dijual dan malar segar ini, memaparkan keberanian dan semangat kental anggota tentera untuk mempertahankan kedaulatan negara dan semangat cintakan tanah air.

Platun Harimau: Dalam Misi Hutang Darah Dibayar Darah(Mohd Radzi Abd Hamid)


Rejimen Askar Melayu Diraja menerima tentangan daripada pengganas komunis yang dikenali sebagai Black Jacket. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Karya diangkat daripada kisah benar sekitar dekad 1980-an dilalui Rejimen Askar Melayu Diraja yang menerima tentangan hebat pengganas komunis dikenali sebagai Black Jacket.

Seramai 16 perajurit gugur dalam dua operasi di Gubir, utara Perak bersempadan dengan Betong, Thailand yang juga kawasan hitam pengganas komunis diketuai Chong Woo. Bagi pasukan Tentera Darat, hanya Platun Harimau layak menentang Black Jacket demi membela kematian 16 perajurit berkenaan.

Leftenan Fauzi dan Platun Harimau mula memburu Black Jacket hingga ibarat buku bertemu dengan ruas tetapi hanya pengalaman, kepakaran, kebijaksanaan dan nasib menentukan dendam siapa berbalas.

Penyeberang Sempadan (Dr Anwar Ridhwan)

Sikap mudah terpesona dengan ideologi kiri seperti komunisme dan sosialisme diangkat dalam novel ini. Ia bukan sahaja mengemukakan teknik penceritaan di luar konvensional, malah mengetengahkan ideologi memperjuangkan kebebasan tanah air yang ada pada masa itu, diilhamkan daripada gerakan di tanah air.

Penyeberang Sempadan membawa pembaca menjejaki perjuangan Kuay, anak muda Melayu dirasuk dendam selepas ayahnya mati dibunuh British semasa dalam tahanan. Kuay menyertai Angkatan Pemuda Insaf (API) kemudian terperangkap dengan ideologi komunis dalam Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya.

Kapten Hassan Wira Bangsa (Harun Johari)


Askar wataniah juga pernah mempertahankan negara daripada ancaman komunis. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Keberanian dan patriotisme mendorong Hassan menyertai pasukan tentera selepas melihat kekejaman Jepun dan komunis. Beliau tidak gentar menggempur tempat perkhemahan komunis.

Sepanjang perkhidmatan, Hassan berjaya membunuh 11 komunis dan apabila negara mencapai kemerdekaan, watak itu diberhentikan kerana gagal ujian.

Namun, semangat untuk menyertai pasukan tentera terus membara, akhirnya diterima menganggotai Askar Wataniah.

Limpahan Darah Di Sungai Semur (Zakaria Salleh)

Karya perjuangan pasukan Askar Melayu berdasarkan hidup Jamaluddin Mohamad yang sejak kecil bercita-cita menjadi tentera.

Jamaluddin dan askar Melayu pernah terbabit dalam peperangan menentang Jepun di Kampung Pasir Panjang, Singapura.

Selepas Jepun menyerah kalah, pasukan Askar Melayu terpaksa berhadapan ancaman komunis dan bermati-matian menentang pengganas berkenaan termasuk peristiwa berdarah di Sungai Semur yang menyebabkan ramai anggota terkorban.

Keberanian Jamaluddin menyebabkan beliau dinaikkan pangkat menjadi sarjan

Rahsia Malam Merdeka (Mohd Saat Omar)


Ideologi komunis turut mempengaruhi segelintir masyarakat Melayu. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Menyoroti pembabitan orang Melayu dalam gerakan komunis ketika gerakan itu bermaharajalela di Tanah Melayu. Ishak dan Selamat disalahertikan penduduk kampung kerana menyangka menjadi komunis, tetapi mereka tidak berdaya melawan gerakan berkenaan.

Rahim ingin membersihkan nama ayahnya yang dikatakan berjuang untuk komunis di tengah hutan dan diperkenalkan kepada wanita Cina, Swee Lan yang dikatakan ‘saudara kembar’nya.

Suatu enigma berlaku, kekusutan dan konflik keluarga, rahsia yang disimpan rapi demi menjaga martabat dan semangat wira keturunan Nadim, melihat bagaimana tanah airnya jatuh dan bersiap sentiasa melawan penjajah.

Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin)

Karya memenangi sagu hati Peraduan Novel Sepuluh Tahun Merdeka ini, memaparkan garis masa panjang sejarah nasionalisme di negara ini, bermula pendudukan Jepun hingga penghujung 1960-an.

Watak utama, Irwan dan Johari, mewakili nasionalis Melayu menentang penjajah Jepun, komunis, Malayan Union, Konfrontasi Malaysia-Indonesia dan legasi pemikiran neokolonialisme.

Pengarang jelas memaparkan identiti nasional sebagai manusia baharu selepas merdeka tanpa takut mempersoalkan warisan neokolonialisme.

543 dibaca
Berita Harian X