Khamis, 3 Oktober 2019 | 8:38pm
Teknologi sinkrotron memancarkan cahaya lebih terang daripada matahari kepada fragmen skrol Herculaneum berusia 2,000 tahun. - Foto AFP
Profesor Sains Komputer Universiti Kentucky, Brent Seales, menyelidik fragmen skrol Herculaneum berusia 2,000 tahun. - Foto AFP

Teknologi cahaya supra-matahari rungkai misteri skrol kuno

LONDON: Saintis di Fasiliti Sinkrotron Kebangsaan di Britain menggunakan alur cahaya berkuasa tinggi untuk membuka dan menyahkod skrol rapuh berusia lebih 2,000 tahun.

Ia bertujuan memperoleh maklumat baharu mengenai dunia kuno.

Dua skrol dan empat fragmennya - dikatakan satu-satunya manuskrip berasal daripada Perpustakaan Herculaneum yang terselamat - ditenggelami serta terkarbon akibat letusan maut Gunung Berapi Vesuvius pada 79 Masihi, sekali gus sangat rapuh untuk dibuka.

Bahan itu diperiksa di Diamond Light Source, Oxfordshire yang menempatkan kemudahan sinkrotron di Britain, iaitu pemecutan zarah dalam orbit bulat yang menghasilkan cahaya lebih terang daripada matahari.


Pengarah Sains Fizik Diamond Light Source, Laurent Chapon, menunjukkan gambar kawasan eksperimen sinkrotron yang menyelidik fragmen skrol Herculaneum berusia 2,000 tahun. - Foto AFP

Pengarah Sains Fizik Diamond Light Source, Laurent Chapon, berkata ideanya seperti pengimbas CT yang mengambil imej manusia dalam bentuk tiga dimensi dan dapat memisahkan setiap organ berbeza.

“Kami menumpukan sinaran berkuasa tinggi kepada skrol itu dan mengesan imej dua dimensi bahagian lain.

“Daripada itu, kami membina semula imej tiga dimensi objek itu yang membolehkan untuk membaca teks tanpa memusnahkan skrol berkenaan,” katanya.


Kawasan eksperimen sinkrotron yang menyelidik fragmen skrol Herculaneum berusia 2,000 tahun. - Foto AFP

Dakwat pada skrol itu sukar untuk dilihat meskipun melalui sinkrotron kerana ia ditulis pada bahan berasaskan karbon seperti papirus. Namun, saintis berharap kepadatan kertas itu berbeza dengan tulisan yang tercatat.

Dengan mengimbas fragmen yang tulisan itu dapat dilihat, mereka berharap dapat mencipta algoritma pembelajaran mesin yang dapat menyahkodkan tulisan di skrol berkenaan.

Data yang dikumpul dalam proses itu akan dianalisis oleh saintis di Univesrsiti Kentucky, Amerika Syarikat (AS) menggunakan teknik pengkomputeran canggih untuk menyahkod isi kandungan skrol berkenaan.

Sementara itu, Profesor Sains Komputer Universiti Kentucky, Brent Seales, berkata Perpustakaan Herculaneum ialah satu-satunya perpustakaan yang terselamat daripada zaman kuno, sekali gus menjadikan kandungannya sangat bernilai tinggi.

“Teks daripada dunia kuno bersifat nadir dan bernilai serta tidak mudah didedahkan melalui proses sedia ada,” katanya. - Reuters


Fragmen skrol Herculaneum scroll. - Foto AFP
Berita Harian X