Rabu, 9 Oktober 2019 | 5:59pm
Proses pencalonan, penilaian dan penganugerahan Hadiah Nobel Kesusasteraan. - Grafik BH

Reformasikan Anugerah Sastera Negara, ambil iktibar Hadiah Nobel

PENGUMUMAN Hadiah Nobel Kesusasteraan esok, tentu dinanti khalayak pembaca dan sastera seluruh dunia, malah tidak ketinggalan mereka yang prihatin terhadap budaya membaca serta kesusasteraan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Apatah lagi, hadiah Nobel kategori sastera ditangguh tahun lalu berikutan ledakan skandal seks dan polemik tidak terkawal mengenai cara menguruskan perbezaan dalam Akademi Sweden.

Ia mencetuskan kegemparan paling besar selepas sekian lama cara penilaian dan pemilihan pemenang oleh Akademi Sweden dikritik khususnya disebabkan mekanismenya yang penuh rahsia.

Cara penilaian dan pemilihan pemenang yang penuh rahsia hingga menelurkan polemik serta kritikan itu, mengingatkan khalayak sastera tanah air terhadap isu penganugerahan Sasterawan Negara (SN) di negara ini.

Mekanisme yang diselubungi kerahsiaan dalam Anugerah Sastera Negara (ASN) itu akhirnya membawa polemik yang kita saksikan dalam ranah sastera tanah air.

Pengumuman yang ditangguhkan dan kenyataan keras pengarang yang mendakwa sudah dipilih itu, menjadikan latar penilaian serta pemilihan pemenang antara ASN dengan Hadiah Nobel Kesusasteraan memiliki beberapa sisi persamaan.

Tidak seperti hadiah sastera dan buku yang bijak memanfaatkan media massa umpamanya Hadiah Booker serta Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin, kedua-dua hadiah berprestij dunia dan Malaysia itu memilih kaedah kerahsiaan yang sudah lapuk.

Dalam mekanisme lebih telus, biasanya penilaian karya dibuat sekurang-kurangnya membabitkan dua peringkat, iaitu senarai panjang dan senarai pendek.

Setiap kali senarai panjang atau pendek dikeluarkan, kenyataan media turut diberikan hingga pembaca dapat mengetahui calon yang berjaya dalam setiap penapisan.

Malah, lebih awal daripada itu, kenyataan media turut dikeluarkan untuk memaklumkan senarai nama dan latar belakang penilai atau hakim yang bakal membaca dan menilai karya terbabit.

Ini menjadikan ia bersifat telus dan penilai atau hakim tidak boleh membuat penilaian secara sambil lewa kerana mengetahui kredibiliti mereka menjadi taruhan. Ia juga boleh mengelakkan daripada sebarang tuduhan wujud campur tangan atau ‘calon helikopter’ kerana proses penilaian dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Malah dalam konteks Hadiah Booker dan Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin, mekanisme sebegini dapat menaikkan populariti karya yang berjaya dalam saringan itu, sekali gus meningkatkan jualannya di pasaran.

Nampaknya, Hadiah Nobel Kesusasteraan sedikit sebanyak belajar daripada mekanisme yang telus selepas dilanda gelombang paling besar dalam sejarah sejak diperkenalkan pada 1901.

Meskipun tidak mengguna pakai mekanisme itu seratus peratus, penganugerahan pada tahun ini didahului dengan klip video wawancara dengan Pengerusi Jawatankuasa Nobel di Akademi Sweden, Anders Olsson yang disiarkan di YouTube Nobel Prize.

Olsson dalam klip vide berjudul How is the Nobel Prize in Literature decided? berkata, biasanya pihaknya menerima sekitar 200 pencalonan dari seluruh dunia setiap tahun dengan proses penilaian bermula awal Februari.

“Kemudian kami menapisnya kepada lapan pengarang pada tahun ini yang diterima akademi sebelum cuti musim panas.

“Oleh itu, semua orang di akademi akan membaca (karya pengarang) senarai pendek ketika musim panas dan memilih dua pemenang pada tahun ini,” katanya.

Pemilihan pemenang tahun ini berbeza daripada kebiasaan kerana pemenang untuk sesi 2018 dan 2019 diumumkan serentak yang masing-masing bakal menerima pingat emas serta 9 juta kronor (RM3.8 juta).

Meskipun senarai pendek dan pemenang masih tidak didedahkan langsung, kesediaan Akademi Sweden untuk membuka sedikit pintu institusinya boleh menguak tirai kerahsiaan yang selama ini ditutup rapat.

Apatah lagi Olsson turut mengakui penilaian dan pemilihan sebelum ini lebih bersifat bertumpuan Eropah dan berfokus pengarang lelaki, sekali gus memperlihatkan kesediaan mereka untuk berubah.

Kita harus mengakui bukan senang untuk institusi setua Akademi Sweden untuk berubah tetapi sekali perubahan berlaku, ia sewajarnya diikuti dengan lebih banyak reformasi.

Hal sama juga, kita harapkan berlaku dalam konteks sastera tanah air termasuk ASN yang melayakkan penerimanya bergelar SN dan menerima hadiah wang tunai RM60,000.

Pengendalinya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mengkaji semula mekanisme penilaian dan pemilihan hadiah seperti ASN supaya lebih telus serta terbuka termasuk dalam perlantikan panel penilainya.

Senarai nama dan kepakaran panel perlu diumumkan terlebih dahulu supaya khalayak sastera serta pembaca dapat mengetahui kredibiliti mereka sama ada dalam kalangan sarjana mahupun SN itu sendiri.

Pengarang, penyair atau dramatis yang dicalonkan boleh sahaja diumumkan dalam bentuk senarai panjang dan pendek berdasarkan kesesuaian, sekali gus menjadikan penilaian panel lebih berwibawa mengingatkan mereka akan berdepan dengan kritikan.

Malah, ia dapat menutup pintu campur tangan yang tidak perlu dan boleh menjadi hujah terhadap sebarang tuduhan wujudnya elemen pilih kasih sama ada daripada ahli politik mahupun birokrat sastera.

Usah terlalu takut dan bimbang terhadap polemik dan kritikan, bahkan meletus terhadap senarai panjang atau pendek kerana ia lebih menghidup serta merancakkan sastera tanah air.

Sudah sekian lama, sastera tanah air dibelenggu oleh kebimbangan tidak berasas dan kerahsiaan yang tidak perlu disebabkan ketakutan dalam menerima pandangan bertentangan.

Dalam suasana politik yang dikatakan mahu terbuka dan bersifat baharu, mekanisme lapuk serta tindak-tanduk lama perlu dibuang terlebih dahulu daripada dunia sastera.

Sastera yang menjadi cerminan kepada perubahan sosiopolitik dan sosiobudaya negara perlu terlebih dahulu direformasikan, barulah boleh bertindak sebagai pancaran kepada Malaysia Baharu.

Tanpa komitmen dan kejujuran semua pihak daripada menteri dan birokrat hingga sasterawan serta pengarangnya, sastera akan kekal menjadi cermin retak yang membalikkan wajah palsu yang hanya merosakkan bukan sahaja ranah kesusasteraan, bahkan negara itu sendiri.

* Penulis adalah Pengarang Sastera & Agama Berita Harian

Berita Harian X